Khamis, 23 April 2020

PUSAT KUARANTIN DI KOMPLEKS SUKAN LIKAS DIBUKA MINGGU DEPAN

Shafie mendengar taklimat Dr Christina di pusat kuarantin itu dan diperhatikan Frankie.

Dewan badminton Kompleks Sukan Likas di sini yang dijadikan Pusat Kuarantin pesakit COVID-19 yang baharu akan mula beroperasi minggu hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata, dewan itù telah diubahsuai dengan kos sebanyak RM2 juta dan kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan sejak 17 April lepas.

Katanya, pusat kuarantin itu menempatkan sebanyak 172 katil dan menjadi satu lagi cawangan kuarantin Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Katil yang disediakan di Dewan Badminton Kompleks Sukan Likas bagi menempatkan pesakit COVID-19.

Ketua Menteri menyatakan demikian selepas melakukan lawatan ke dewan berkenaan pada Rabu dan diberikan taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rudi.

Hadir sama Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Frankie Poon.

Menurut Shafie, pihaknya juga sudah bersedia menghadapi seberang kemungkinan peningkatan kes positif COVID-19 terutama jika Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan.

"Orang awam akan kembali kepada kehidupan normal di samping lebih banyak premis perniagaan dibuka, tentulah akan berlaku banyak kontek antara individu," katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, kerajaan negeri akan lebih teliti untuk memilih sektor yang akan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan permintaan dan keadaan semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan