Rabu, 25 Mei 2022

JAMES WONG RANCANG KEMPEN DERMA DARAH SELURUH SABAH

 

Orang ramai yang menderma darah pada kempen itu di Wisma Muis. Kelihatan James bersama ahli jawatankuasa PBPBS memerhati mereka yang sedang menderma darah.

KOTA KINABALU--Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Sabah (PBPBS) merancang untuk mengadakan kempen menderma darah di seluruh negeri ekoran sambutan menggalakkan orang ramai terhadap kempen tersebut. 

Presidennya, Datuk James Wong, berkata kempen pertama kali diadakan persatuan itu dengan kerjasama Hospital Queen Elizabeth ternyata mendapat sambutan baik orang ramai. 

Kata beliau, pihaknya tidak menjangka kempen itu yang diadakan di tingkat bawah Wisma Muis hari ini mendapat sambutan sangat menggalakkan. 

"Sebenarnya kita tidak menjangka sambutan sedemikian kerana ini pengalaman pertama bekerjasama dengan pihak hospital untuk kempen derma darah," katanya selepas ditemui di lokasi kempen itu diadakan di Wisma Muis. 

Sehubungan itu, James yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkata, kempen itu akan diperluaskan ke seluruh negeri ini memandangkan respon yang baik daripada para penderma.

James (duduk dua kanan) bersama beberapa ahli jawatankuasa persatuan itu dan para pegawai SAFA yang turut bersama memberi sokongan kempen tersebut.

Katanya, usaha itu akan membantu pihak hospital untuk meningkatkan bekalan tabung darah bagi membantu orang ramai terutama mereka yang memerlukan rawatan. 

"Justeru, persatuan ini merancang untuk terus mengadakan kempen serupa ke seluruh negeri," ujarnya. 

Legenda bola sepak itu juga mengucapkan terima kasih kepada penderma yang tampil menjayakan kempen derma darah tersebut. 

"Bagi kami kerjasama dengan pihak hospital ini sangat dialu-alukan untuk kempen ini dan ia perlu diperluaskan lagi," tambahnya. 

Beberapa pegawai SAFA termasuk Penolong Setiausaha Agung, Azman Mastar dan Setiausaha Eksekutifnya, David Wisom turut hadir menjayakan kempen tersebut.

Seorang peminat (kanan sekali) mengambil peluang mendapatkan tanda tangan James di jersi yang menjadi koleksi peribadinya.

 

 

 

 

 

Ahad, 22 Mei 2022

ADUN SINDUMIN DITERIMA SEMULA KE PANGKUAN UMNO

Bung Moktar (kanan) bersama Dr. Yusof dalam satu majlis jamuan aidilfitri.

SIPITANG--Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yaacob diterima semula kembali ke pangkuan Umno.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang mengesahkan perkara itu hari ini, berkata Umno Sabah memutuskan untuk menerima semula beliau (Yusof) menyertai semula parti itu.

Katanya, selain Yusof, beberapa pemimpin dan ahli parti Warisan termasuk ketua-ketua penerangannya di lima bahagian turut menyertai semula Umno.

Menurut beliau, keputusan itu selari dengan polisi parti yang sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja termasuk bekas ahli-ahli Umno sendiri mahu pun mereka yang baharu menyertai Umno.

"Saya mengambil kesempatan hari ini untuk mengumumkan kemasukan Yusof yang sebelum ini keluar dari Warisan serta rakan-rakan bekas ahli Warisan yang lain,".

"Kita akan memastikan mereka dapat memainkan peranan untuk bersama-sama memperkukuhkan parti pada masa akan datang," katanya kepada media selepas menghadiri rumah terbuka aidilfitri Adun Sindumin itu di sini.

Bung Moktar berkata, kemasukan ahli baharu dan bekas ahli parti itu bukanlah suatu isu memandangkan Umno mempunyai polisi yang jelas berhubung perkara itu.

"Umno akan bertambah kuat apabila ia sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menjadi ahli parti," ujarnya.


TABS HANTAR 2 PASUKAN SERTAI KEJOHANAN B10 ANJURAN SABAH FC

  

Lokman (tiga dari kiri) hadir menyaksikan sesi latihan Program pembangunan bola sepak TABS di padang SUKMA, pagi tadi.

Oleh Penulis Sukan.

KOTA KINABALU--TABS SAFA Bandaraya akan menghantar dua pasukan untuk menyertai Kejohanan Bola Sepak Bawah Umur 10 Tahun anjuran Sabah FC di Stadium Likas pada 29 Mei ini. 

Timbalan Pengerusinya, Lokman Sunggim berkata, TABS menyediakan dua pasukan untuk kejohanan tersebut setelah mendapat jemputan dari kelab berkenaan. 

Katanya, kedua-dua pasukan kanak-kanak itu sudah pun dipilih dan pemain-pemainnya akan menjalani latihan beberapa hari sebelum kejohanan itu. 

"Jurulatih yang diberi tanggungjawab membimbing kategori umur B10 menyenaraikan 16 pemain untuk setiap pasukan dan ini bermakna seramai 32 pemain dijangka terlibat melakukan persiapan itu," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan TABS di padang SUKMA pagi tadi.

 Jurulatih sedang mengendalikan latihan pemain-pemain B10.

Menurut beliau, ketua jurulatih, Matasan Ahmad dan penolongnya, Roslan Wasli telah pun menugaskan jurulatih yang sesuai untuk mengendalikan persediaan kedua-dua pasukan. 

Beliau berharap kedua-dua pasukan tersebut akan melakukan yang terbaik dalam kejohanan itu yang diadakan sempena sambutan hari akar umbi (grassroots day) kelab tersebut. 

"Sudah tentu kedua-dua pasukan itu mampu memberi cabaran kepada pasukan lain dalam kejohanan berkenaan," katanya.

Lokman memberitahu, TABS juga akan mengambil bahagian dalam beberapa kategori umur dalam Liga Suparimau dan Piala Borneo dijadual diadakan di sini awal bulan depan.

 

 

 

Selasa, 17 Mei 2022

YURAN PENYERTAAN UNTUK TAMPUNG KOS PENGURUSAN KEJOHANAN - AZMAN

 

Azman (empat dari kanan) bergambar selepas sesi taklimat terakhir itu.

SANDAKAN-- Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar menjelaskan bahawa yuran penyertaan yang dikenakan untuk Kejohanan Piala SAFA Antara Kelab-Kelab sebenarnya akan digunakan untuk menampung kos pengurusan penganjuran kejohanan berkenaan.

Katanya, kos pengurusan itu membabitkan bayaran hadiah pertandingan, pengadil, padang, keselamatan, perubatan, pengutip bola dan kos logistik yang lain.

Menurut beliau, kesemua hasil perolehan daripada yuran penyertaan yang dikenakan jawatankuasa penganjur akan digunakan untuk membiayai kos keseluruhan penganjuran sepanjang kejohanan termasuk pertandingan peringkat lapan zon sehingga ke peringkat grand final.

"Kos penganjuran kejohanan antara kelab ini sangat tinggi dan JKPT berpendapat ia perlu mengenakan kadar yuran penyertaan yang bersesuaian bagi menampung kos pengurusan tersebut," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi taklimat terakhir kejohanan itu di Kompleks Sukan Sandakan di sini pada Ahad.

Sesi taklimat terakhir itu melibatkan Zon Pantai Timur Utara, Pantai Timur Selatan dan Zon Tengah.

Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA, berkata pihaknya sudah berbincang dengan zon terlibat dan mendengar pandangan mereka berhubung penganjuran kejohanan yang julung kali diadakan itu.

"JKPT sebenarnya sentiasa mendengar dan mengambil kira serta berusaha mempertimbangkan secara positif pandangan semua pihak berhubung kejohanan tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu, Pengerusi JKPT itu mengumumkan bahawa yuran penyertaan bagi kejohanan itu telah dikurangkan kepada RM3,500 dan ia termasuklah yuran pendaftaran kelab di SAFA daerah masing-masing.

Katanya, kelab-kelab yang ingin menyertai kejohanan itu bolehlah berhubung dengan pengerusi-pengerusi penyelaras di setiap zon yang telah diamanahkan oleh JKPT selaku penganjur di peringkat zon.

Beliau berkata, serentak dengan keputusan mengurangkan kadar yuran penyertaan itu maka hadiah wang tunai yang ditawarkan juga telah dikurangkan bagi membolehkan penganjuran kejohanan akan dapat diteruskan dan berjalan lancar.

Juara di peringkat grand final akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 beserta piala dan medal, naib juara menerima wang tunai RM20,000 beserta piala dan medal dan tempat ketiga menerima wang tunai RM10,000 beserta piala dan medal.

Manakala di peringkat zon, juara akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, piala dan medal dan naib juara menerima RM2,000, piala dan medal dan tempat ketiga menerima RM1,000, piala dan medal.

Menurut Azman, tarikh tutup penyertaan yang dijadualkan pada 21 Mei ini juga akan dianjakkan ke suatu tarikh yang sesuai dan akan dimaklumkan kepada semua zon kemudian.

Beliau berharap lebih banyak kelab-kelab bola sepak dari seluruh daerah akan berpeluang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut susulan pertimbangan fleksibel terhadap penganjurannya.

Ahli-ahli JKPT mengabadikan kenangan dengan Datuk Suhaimi Nasir (lima dari kiri) ketika menghadiri majlis rumah terbuka aidilfitri Naib Presiden SAFA itu di Sandakan pada Isnin. Turut kelihatan Datuk Yakub Khan dan Datuk Jafry Ariffin.

"JKPT telah mengambil kira pandangan setiap zon di samping respon dari kelab-kelab di seluruh negeri bagi membantu pihak jawatankuasa memperhalusi dan kemudian memberi pertimbangan fleksibel ini," tambahnya.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan antara kelab ini sememangnya termasuk dalam kalender perancangan SAFA sebelum ini dan ia akan direalisasikan susulan kejayaan Kejohanan Piala BMR B18 tahun lepas dan Piala Sabah merebut piala sumbangan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor pada Mac lalu.

"Dalam kedua-dua kejohanan itu, SAFA mendapat sokongan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memudahkan penganjuran dilaksanakan berbanding kejohanan antara kelab yang bakal kita anjur ini, kos penganjuran sepenuhnya akan menggunakan hasil kutipan yuran penyertaan yang diperoleh," tegas Azman.

 

Rabu, 11 Mei 2022

UMNO AKAN KEMBALI BANGKIT, KATA BUNG MOKTAR

KOTA KINABALU-- Ulang tahun Umno ke-76 yang disambut hari ini (11 Mei) memberi terjemahan untuk parti dan ahli kembali bangkit setelah melalui pelbagai ranjau dan cabaran khususnya ketika ia kehilangan kuasa selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar), berkata bersempena sambutan ulang tahun Umno ke-76 ini, ahli-ahli di semua peringkat wajar menanam iltizam untuk memperkukuhkan parti terutama dalam menghadapi PRU ke-15.

Katanya, Umno perlu kembali bangkit semula untuk mentadbir negara walaupun kini telah melalui ranjau perjalanan yang sukar susulan kekalahan pada PRU ke-14.

"Masa akan kembali menyebelahi Umno. Masyarakat juga ingin kembali menyokong Umno."

"Sebagai parti tertua yang mentadbir negara selama 76 tahun, rekod kecemerlangan Umno mengemudikan negara sudah tentu tidak dapat disangkal. Kita melihat rakyat percaya kestabilan hanya dapat dinikmati di bawah Barisan Nasional (BN) yang diterajuii Umno dan ini dibuktikan melalui pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor" katanya dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun Umno ke-76.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata keyakinan itu ditambahkan lagi dengan rekod mentadbir negara sebelum ini.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri itu meminta pemimpin dan ahli parti itu agar meneruskan perjuangan memertabatkan agama, bangsa dan tanah air serta memayungi seluruh masyarakat negara ini.

Mengenai Umno di Sabah, kata Bung Moktar, anak bongsu Umno yang kini mencapai usia 31 tahun bertapak di negeri ini memberi gambaran jelas parti itu masih relevan di hati rakyat.

Menurutnya, walaupun berlaku tsunami politik selepas PRU ke-14 di negeri ini, Umno masih kekal utuh tanpa satu bahagian pun dibubarkan.

"Ada yang tersasar perjuangan selepas PRU ke-14 namun menginsafinya dan mereka ingin kembali bersama Umno. Sebagai parti yang mengamalkan 'pintu terbuka', kita bersedia menerima mereka kembali mengikut peraturan parti sedia ada," tegasnya.

Beliau menambah, sejak Umno dan BN bertapak di Sabah, banyak perubahan dari aspek pembangunan dapat dinikmati rakyat.

Sambil mengucapkan selamat ulang tahun ke-76 kepada parti keramat itu, Bung Moktar turut berharap sambutan kali ini menjadi titik tolak untuk pemimpin dan ahli Umno di semua peringkat untuk bangkit memperkasakan parti bagi menghadapi PRU ke-15 nanti.


Selasa, 10 Mei 2022

STAF SAFA ZIARAHI PUSARA ALLAHYARHAM LAJIM

 

Azman (lima dari kiri) bersama kakitangan SAFA ketika menziarahi pusara allahyarham.

BEAUFORT--Rombongan pegawai dan staf Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) kelmarin menziarahi pusara bekas Ahli Majlis Tertinggi SAFA, allahyarham Datuk Seri Panglima Lajim Ukin di Beaufort. 

Ia diketuai Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar bersama beberapa pegawai dan kakitangan persatuan itu yang kebetulan berada di daerah berkenaan sebelum mereka meneruskan tugasan ke daerah Keningau. 

"Memang kami merancang untuk menziarahi pusara arwah sebelum ini namun baru sekarang kami berkesempatan untuk turun ke Beaufort, alhamdulillah," katanya. 

Menurut Azman, allahyarham Lajim seorang pemimpin yang baik dan begitu dikenali dan pemergiannya disifatkan satu kehilangan kepada rakyat di Beaufort serta SAFA juga. 

Turut bersama ialah dua Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Shamsuddin Mohd Shah, Mustapha Tuah, Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim dan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat.