Ahad, 22 Mei 2022

ADUN SINDUMIN DITERIMA SEMULA KE PANGKUAN UMNO

Bung Moktar (kanan) bersama Dr. Yusof dalam satu majlis jamuan aidilfitri.

SIPITANG--Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yaacob diterima semula kembali ke pangkuan Umno.

Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang mengesahkan perkara itu hari ini, berkata Umno Sabah memutuskan untuk menerima semula beliau (Yusof) menyertai semula parti itu.

Katanya, selain Yusof, beberapa pemimpin dan ahli parti Warisan termasuk ketua-ketua penerangannya di lima bahagian turut menyertai semula Umno.

Menurut beliau, keputusan itu selari dengan polisi parti yang sentiasa bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja termasuk bekas ahli-ahli Umno sendiri mahu pun mereka yang baharu menyertai Umno.

"Saya mengambil kesempatan hari ini untuk mengumumkan kemasukan Yusof yang sebelum ini keluar dari Warisan serta rakan-rakan bekas ahli Warisan yang lain,".

"Kita akan memastikan mereka dapat memainkan peranan untuk bersama-sama memperkukuhkan parti pada masa akan datang," katanya kepada media selepas menghadiri rumah terbuka aidilfitri Adun Sindumin itu di sini.

Bung Moktar berkata, kemasukan ahli baharu dan bekas ahli parti itu bukanlah suatu isu memandangkan Umno mempunyai polisi yang jelas berhubung perkara itu.

"Umno akan bertambah kuat apabila ia sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menjadi ahli parti," ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan