KOTA KINABALU-- Ulang tahun Umno ke-76 yang disambut hari ini (11 Mei) memberi terjemahan untuk parti dan ahli kembali bangkit setelah melalui pelbagai ranjau dan cabaran khususnya ketika ia kehilangan kuasa selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.
Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar), berkata bersempena sambutan ulang tahun Umno ke-76 ini, ahli-ahli di semua peringkat wajar menanam iltizam untuk memperkukuhkan parti terutama dalam menghadapi PRU ke-15.
Katanya, Umno perlu kembali bangkit semula untuk mentadbir negara walaupun kini telah melalui ranjau perjalanan yang sukar susulan kekalahan pada PRU ke-14.
"Masa akan kembali menyebelahi Umno. Masyarakat juga ingin kembali menyokong Umno."
"Sebagai parti tertua yang mentadbir negara selama 76 tahun, rekod kecemerlangan Umno mengemudikan negara sudah tentu tidak dapat disangkal. Kita melihat rakyat percaya kestabilan hanya dapat dinikmati di bawah Barisan Nasional (BN) yang diterajuii Umno dan ini dibuktikan melalui pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor" katanya dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun Umno ke-76.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata keyakinan itu ditambahkan lagi dengan rekod mentadbir negara sebelum ini.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri itu meminta pemimpin dan ahli parti itu agar meneruskan perjuangan memertabatkan agama, bangsa dan tanah air serta memayungi seluruh masyarakat negara ini.
Mengenai Umno di Sabah, kata Bung Moktar, anak bongsu Umno yang kini mencapai usia 31 tahun bertapak di negeri ini memberi gambaran jelas parti itu masih relevan di hati rakyat.
Menurutnya, walaupun berlaku tsunami politik selepas PRU ke-14 di negeri ini, Umno masih kekal utuh tanpa satu bahagian pun dibubarkan.
"Ada yang tersasar perjuangan selepas PRU ke-14 namun menginsafinya dan mereka ingin kembali bersama Umno. Sebagai parti yang mengamalkan 'pintu terbuka', kita bersedia menerima mereka kembali mengikut peraturan parti sedia ada," tegasnya.
Beliau menambah, sejak Umno dan BN bertapak di Sabah, banyak perubahan dari aspek pembangunan dapat dinikmati rakyat.
Sambil mengucapkan selamat ulang tahun ke-76 kepada parti keramat itu, Bung Moktar turut berharap sambutan kali ini menjadi titik tolak untuk pemimpin dan ahli Umno di semua peringkat untuk bangkit memperkasakan parti bagi menghadapi PRU ke-15 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan