Rabu, 15 Jun 2022

BUNG MOKTAR SOKONG HASRAT SAFA DAERAH MILIKI PADANG SENDIRI

Bung Moktar (tengah) mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai SAFA.

KOTA KINABALU--Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menyokong sebarang usaha SAFA daerah untuk mempunyai padang sendiri bagi menjalankan program dan aktiviti bola sepak di daerah  masing-masing. 

Presidennya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata pihaknya sentiasa menyokong hasrat mana-mana SAFA daerah untuk berusaha memiliki padang mereka sendiri. 

Katanya, usaha sedemikian sangat dialu-alukan khususnya SAFA daerah yang sah berdaftar dan SAFA pusat akan sentiasa memberi sokongan yang perlu untuk memenuhi hasrat mereka itu. 

"Perkara ini boleh diusahakan dan selaku presiden, saya akan berusaha membantu dan memberi sokongan terhadap hasrat mana-mana SAFA daerah yang ingin berbuat demikian," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan para pegawai SAFA di kediamannya pada Rabu. 

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif, David Wisom, Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Lokman Sunggim, Pegawai Tadbir, Malim Surat dan ahli jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA, Johari Datuk Aklee.

Bung Moktar menerangkan sesuatu mengenai perancangan SAFA yang bakal dilaksanakan.

Bung Moktar menambah, hasrat beberapa SAFA daerah ingin memiliki padang sendiri adalah satu langkah yang baik bagi membolehkan mereka dapat berdikari dan mengelak kebergantungan mereka kepada padang yang dimiliki pihak lain. 

Menurutnya, ketika ini SAFA daerah hanya mengharapkan untuk menyewa padang untuk mereka mengadakan program dan aktiviti bola sepak. 

"Sekiranya mereka boleh memiliki padang sendiri, ia dapat mengurangkan kos penyewaan di samping boleh mengusahakan untuk menjanakan pendapatan sampingan memandangkan sambutan baik orang ramai terhadap sukan bola sepak masa kini," katanya. 

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya sedang merancang untuk membantu SAFA daerah untuk mendapatkan tapak yang boleh dijadikan padang bola sepak. 

"Ini memang ada dalam perancangan SAFA pusat dan berharap ia boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak termasuk pengurusan SAFA di daerah masing-masing," ujarnya.

 

 

Jumaat, 10 Jun 2022

J-KOM NADI PERHUBUNGAN ANTARA KERAJAAN DAN RAKYAT

Bung Moktar (tengah) bersama dengan romnongan J-KOM semasa kunjungan itu.

KOTA KINABALU--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) boleh memainkan peranan sebagai jambatan yang dapat menjalinkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat.

Katanya, ini sesuai dengan matlamat J-KOM bagi mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat selain mendapatkan maklum balas daripada mereka.

"Di era kemajuan teknologi maklumat masa kini, kita tidak dapat memisahkan diri dari pelbagai isu dan propaganda yang dimainkan pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada di media sosial, portal dan medium lain yang sengaja memutarbelitkan fakta yang boleh menjejaskan pemikiran rakyat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya menyatakan perkara itu selepas menerima kunjungan hormat rombongan J-KOM pusat di pejabatnya pagi tadi.

Rombongan itu diketuai oleh Pengarah J-KOM, Dato Dr Zuraidi Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi komuniti), Dr Al Azharri Siddiq Kamunri, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Arfizan Ramli, Ketua Unit Perhubungan Awam, Siti Mahmudah Sudiman dan Pegawai Khas Ketua Pengarah/Pengarah Pendidikan J-KOM, Zulkifli Othman.

Bung Moktar berbincang dengan Dr Zuraidi dan pegawai-pegawainya mengenai peranan J-KOM.

Ketua Umno Sabah itu berkata, kaedah yang digunakan J-KOM ialah dengan cara membangunkan komuniti khususnya di peringkat akar umbi dengan mempraktikkan budaya ilmu, kemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan 'pengupayaan komuniti'.

"Selain menyalurkan maklumat dari kerajaan kepada rakyat, kita juga mengharapkan J-KOM dapat menyampaikan maklumat dari akar umbi mengenai isu semasa terutama dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat," ujar beliau.

Menurut Bung Moktar, fungsi J-KOM juga tidak bersifat bertindih dengan agensi lain di bawah Kementerian Komunikasi dan Media Massa seperti Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), RTM dan FINAS yang mempunyai kumpulan sasar, pendekatan program dan aktiviti berlainan.

Beliau juga menyangkal dakwaan pembangkang bahawa J-KOM sebagai ejen penyebar propaganda untuk kepenting politik.

"Ketua Pengarah serta para pegawai jabatan itu, lantikan mereka melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan mereka adalah kombinasi golongan profesional dan pegawai tadbir yang bersahsiah tinggi," tambahnya.

Sementara itu, Dr Zuraidi memberitahu bahawa J-KOM akan membuka pejabatnya di Sabah di mana keutamaan diberikan kepada anak-anak Sabah yang berkelayakan di samping akan menempatkan pegawai-pegawainya di seluruh daerah mengikut kawasan Parlimen.

Khamis, 2 Jun 2022

SABAH FC DAN TABS METERAI MoU JAYAKAN PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK BELIA

 

Marzuki memotong riben menandakan rasminya papan tanda Program Pembangunan Belia antara Sabah FC dan TABS sambil diperhatikan Sulaiman, Lokman, Scott, Ong, Ramlye, Amsir dan Matasan di padang TABS SUKMA.

Oleh Penulis Sukan

KOTA KINABALU--Sabah FC memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan TABS SAFA Bandaraya bagi menjayakan Program Pembangunan Bola Sepak Remaja di Sabah. 

Memorandum persefahaman itu akan mengambil tempoh selama empat tahun. Ia sebagai susulan MoU membabitkan kedua-dua pihak selama setahun yang dimeterai tahun lalu. 

Mengikut persetujuan kolaborasi baharu ini, TABS SAFA Bandaraya akan menerima pakaian latihan, bola, bibs selain jurulatih mereka akan menerima "attachments" dengan Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pada masa sesuai yang ditentukan kedua pihak. 

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw akan bekerjasama rapat dengan TABS bagi menyesuaikan pelaksanaan program pembangunan tersebut termasuk mengenal pasti bakat-bakat baharu. 

"Dengan pengalaman TABS mengendalikan program pembangunan bola sepak lebih 20 tahun di samping dapat melahirkan ramai pemain mewakili pasukan negeri sebelum ini, ia akan membantu menjayakan kolaborasi kedua-dua pihak itu," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Nor, timbalannya, Lokman Sunggim dan Ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad atas kerjasama dan sokongan mereka dalam menjayakan kolaborasi itu. 

Berikutan itu, satu majlis memotong riben bagi pemasangan papan tanda di padang TABS SUKMA, venue Program Pembangunan Bola Sepak Belia antara Sabah FC dan TABS SAFA Bandaraya disempurnakan Pengurus pasukan Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir pada Rabu. 

Turut hadir ialah Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw, ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Nor, timbalannya, Lokman Sunggim dan Setiausaha Politik Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Naim DSP Bung Moktar. 

Sementara itu, Sulaiman berkata, TABS mengalu-alukan kolaborasi dengan kelab profesyenal itu dan berharap lebih ramai bakat-bakat baharu dapat diketengahkan melalui program pembangunan tersebut. 

"Sudah tentu kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam membimbing pemain-pemain muda dan seterusnya mengenal pasti bakat dan kualiti permainan mereka," katanya.

Dari kiri; Scott, Lokman, Sulaiman, Ong, Marzuki dan Ramlye selepas majlis pelancaran papan tanda program berkenaan.