Khamis, 2 Jun 2022

SABAH FC DAN TABS METERAI MoU JAYAKAN PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK BELIA

 

Marzuki memotong riben menandakan rasminya papan tanda Program Pembangunan Belia antara Sabah FC dan TABS sambil diperhatikan Sulaiman, Lokman, Scott, Ong, Ramlye, Amsir dan Matasan di padang TABS SUKMA.

Oleh Penulis Sukan

KOTA KINABALU--Sabah FC memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan TABS SAFA Bandaraya bagi menjayakan Program Pembangunan Bola Sepak Remaja di Sabah. 

Memorandum persefahaman itu akan mengambil tempoh selama empat tahun. Ia sebagai susulan MoU membabitkan kedua-dua pihak selama setahun yang dimeterai tahun lalu. 

Mengikut persetujuan kolaborasi baharu ini, TABS SAFA Bandaraya akan menerima pakaian latihan, bola, bibs selain jurulatih mereka akan menerima "attachments" dengan Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pada masa sesuai yang ditentukan kedua pihak. 

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw akan bekerjasama rapat dengan TABS bagi menyesuaikan pelaksanaan program pembangunan tersebut termasuk mengenal pasti bakat-bakat baharu. 

"Dengan pengalaman TABS mengendalikan program pembangunan bola sepak lebih 20 tahun di samping dapat melahirkan ramai pemain mewakili pasukan negeri sebelum ini, ia akan membantu menjayakan kolaborasi kedua-dua pihak itu," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Nor, timbalannya, Lokman Sunggim dan Ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad atas kerjasama dan sokongan mereka dalam menjayakan kolaborasi itu. 

Berikutan itu, satu majlis memotong riben bagi pemasangan papan tanda di padang TABS SUKMA, venue Program Pembangunan Bola Sepak Belia antara Sabah FC dan TABS SAFA Bandaraya disempurnakan Pengurus pasukan Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir pada Rabu. 

Turut hadir ialah Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw, ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Nor, timbalannya, Lokman Sunggim dan Setiausaha Politik Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Naim DSP Bung Moktar. 

Sementara itu, Sulaiman berkata, TABS mengalu-alukan kolaborasi dengan kelab profesyenal itu dan berharap lebih ramai bakat-bakat baharu dapat diketengahkan melalui program pembangunan tersebut. 

"Sudah tentu kerjasama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam membimbing pemain-pemain muda dan seterusnya mengenal pasti bakat dan kualiti permainan mereka," katanya.

Dari kiri; Scott, Lokman, Sulaiman, Ong, Marzuki dan Ramlye selepas majlis pelancaran papan tanda program berkenaan.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan