Bung Moktar (tengah) bersama dengan romnongan J-KOM semasa kunjungan itu.
KOTA KINABALU--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) boleh memainkan peranan sebagai jambatan yang dapat menjalinkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat.
Katanya, ini sesuai dengan matlamat J-KOM bagi mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat selain mendapatkan maklum balas daripada mereka.
"Di era kemajuan teknologi maklumat masa kini, kita tidak dapat memisahkan diri dari pelbagai isu dan propaganda yang dimainkan pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada di media sosial, portal dan medium lain yang sengaja memutarbelitkan fakta yang boleh menjejaskan pemikiran rakyat," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya menyatakan perkara itu selepas menerima kunjungan hormat rombongan J-KOM pusat di pejabatnya pagi tadi.
Rombongan itu diketuai oleh Pengarah J-KOM, Dato Dr Zuraidi Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi komuniti), Dr Al Azharri Siddiq Kamunri, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Arfizan Ramli, Ketua Unit Perhubungan Awam, Siti Mahmudah Sudiman dan Pegawai Khas Ketua Pengarah/Pengarah Pendidikan J-KOM, Zulkifli Othman.
Bung Moktar berbincang dengan Dr Zuraidi dan pegawai-pegawainya mengenai peranan J-KOM.Ketua Umno Sabah itu berkata, kaedah yang digunakan J-KOM ialah dengan cara membangunkan komuniti khususnya di peringkat akar umbi dengan mempraktikkan budaya ilmu, kemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan 'pengupayaan komuniti'.
"Selain menyalurkan maklumat dari kerajaan kepada rakyat, kita juga mengharapkan J-KOM dapat menyampaikan maklumat dari akar umbi mengenai isu semasa terutama dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat," ujar beliau.
Menurut Bung Moktar, fungsi J-KOM juga tidak bersifat bertindih dengan agensi lain di bawah Kementerian Komunikasi dan Media Massa seperti Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), RTM dan FINAS yang mempunyai kumpulan sasar, pendekatan program dan aktiviti berlainan.
Beliau juga menyangkal dakwaan pembangkang bahawa J-KOM sebagai ejen penyebar propaganda untuk kepenting politik.
"Ketua Pengarah serta para pegawai jabatan itu, lantikan mereka melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan mereka adalah kombinasi golongan profesional dan pegawai tadbir yang bersahsiah tinggi," tambahnya.
Sementara itu, Dr Zuraidi memberitahu bahawa J-KOM akan membuka pejabatnya di Sabah di mana keutamaan diberikan kepada anak-anak Sabah yang berkelayakan di samping akan menempatkan pegawai-pegawainya di seluruh daerah mengikut kawasan Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan