Bung Moktar bersama Mohamad Hassan pada majlis itu.
KOTA KINABALU--Masih terdapat beberapa perkara perlu diperhalusi dan ditambah baik dalam jentera Barisan Nasional (BN) di beberapa bahagian di Sabah bagi memantapkan lagi persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata ibu pejabat BN Pusat dan negeri tidak hanya semata-mata bergantung kepada laporan atas kertas tetapi melihat kekuatan keseluruhan jentera di peringkat akar umbi yang akan menentukan kemenangan BN dalam pilihan raya nanti.
Katanya, jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan harus diperkasakan serta melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.
"Kunci kemenangan adalah kekuatan jentera akar umbi dengan melaksanakan kerja yang terbaik di peringkat PDM dan cawangan,".
"Kita mesti bekerja cara mahu menang dan semangat seperti itu yang kita perlukan," katanya selepas menghadiri sesi Libat Urus PRU-15 Biro Politik Umno Bahagian negeri Sabah bersama Timbalan Presiden Umno, Dato Seri Utama Mohamad Hassan di bangunan Umno di sini, Ahad lepas.
Hadir sama Naib Presiden Umno, Dato Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan, Setiausaha BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wadji Dusuki dan Ketua Wanita, Datuk Seri Dr Noraini Sulong.
Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah berkata, Umno mahu pun BN tidak seharusnya hanya kuat di peringkat bahagian saja namun di peringkat PDM juga sewajarnya diperkemaskan.
Justeru, tambahnya, di peringkat PDM, masing-masing perlu dimantapkan dan sentiasa dalam kesiapsiagaan bila-bila masa menghadapi pilihan raya.
"Jentera pilihan raya serta ahli-ahli perlu menampilkan semangat bekerja dalam jentera yang luar biasa bagi memastikan kemenangan untuk membentuk kerajaan yang stabil,' tegasnya.
Menurut beliau, pada pilihan raya kali ini, jentera negeri akan berhadapan secara bersendirian jadi kesiapsiagaan perlu lebih menyeluruh.
Oleh kerana itu, semua parti dalam komponen BN di setiap bahagian akan bergerak sebagai jentera BN dan bukannya mewakili parti masing-masing, katanya.
Tok Mat diiringi Bung Moktar untuk menghadiri sesi Libat Urus PRU-15 Biro Politik Umno bahagian-bahagian parti itu di Bangunan Umno Sabah.Mengenai sambutan ahli-ahli parti dalam BN bagi program gelombang biru dan pelancaran jentera BN yang telah diadakan di Tawau dan Kota Belud baru-baru ini, Bung Moktar, berkata sambutan yang diberikan agak luar biasa.
"Semangat dengan kehadiran yang ramai ketika pelancarannya menunjukkan komitmen tinggi dalam kalangan ahli dan semangat sedemikian perlu kita bawa turun ke akar umbi semasa pilihan raya nanti," jelasnya.
Ditanya berhubung soal pemilihan calon BN, beliau berkata BN Sabah khususnya Umno sudah menerima senarai calon yang dicadangkan dari setiap bahagian di Sabah.
"Kita sedang meneliti dan memperhalusi sebelum memuktamadkan untuk diumumkan sebagai calon BN," katanya.