KOTA KINABALU--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar terkini) mengesahkan beliau dalam keadaan sihat ketika ini dan masih berada di Kuala Lumpur selepas menghadiri prosising mahkamah pada Jumaat lepas.
Dalam satu hantaran ringkas di akaun facebooknya, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya meminta rakan-rakan malah musuh-musuh politik jangan berasa bimbang mengenai keadaan kesihatannya.
"Saya kekal tenang di posisi dan masih sihat dalam perlindungan Allah," katanya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ketua Umno Sabah itu juga berkata, beliau akan bersama rakyat dan penokong-penyokong BN di Kota Belud pada 10 September ini bagi melancarkan program gelombang biru dan pelancaran Jentera Pilihan Raya Kota Belud dan Tuaran.
Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya, Jaafar Wahid memberitahu, dia tidak henti-henti menerima panggilan dan whatsapp daripada kalangan pemimpin dan rakan-rakan Timbalan Ketua Menteri itu bertanyakan khabar ekoran tularnya sekeping gambar di media sosial, yang menunjukkan Bung Moktar terbaring di katil sambil diziarahi Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jaffry Ariffin seolah-olah memberi gambaran Bung sakit dan menerima rawatan.
Katanya, sebenarnya gambar tersebut merupakan gambar lama sekitar tahun 2015 atau 2016 ketika Bung balik menjalani rawatan buah pinggang di China tetapi sengaja disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjejaskan reputasi Bung dalam kerjaya politiknya.
Berikutan itu, dia meminta orang ramai supaya tidak mudah mempercayai berita palsu yang ditularkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab memandangkan keadaan kesihatan Bung baik sebagaimana yang disahkan oleh beliau sendiri.
PALSU...gambar lama yang tular di media sosial seolah-olah memberi gambaran Bung mendapatkan rawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan