Rabu, 24 Ogos 2022

DUA PEMAIN LEGENDA MERIAHKAN PROGRAM KARNIVAL PELATIH TABS

KOTA KINABALU--Kehadiran dua pemain legenda negara, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani (gambar) turut memeriahkan program karnival bola sepak kanak-kanak TABS Safa Bandaraya di padang TABS SUKMA di sini, baru-baru ini.

Karnival siri kedua itu membabitkan penyertaan kira-kira 450 pemain yang berusia 12, 10 dan lapan tahun.

Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata pihaknya gembira atas kesudiaan kedua pemain legenda itu untuk hadir bersama  bagi menjayakan program karnival tersebut.

Katanya, ini sebagai tanda penghargaan kepada James dan Hassan yang banyak mengharumkan nama negara dan negeri dalam sukan bola sepak sebelum  ini, dengan harapan ada lagi pemain hebat seperti mereka dapat dihasilkan di Sabah.

"Walaupun kanak-kanak tidak mengenali mereka namun, ini salah satu usaha kita memperkenalkan mereka kepada generasi baharu, yang patut dicontohi kerana kecemerlangan mereka dalam sukan ini," kata Lokman.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata sumbangan kedua-dua pemain berkenaan dalam bola sepak negara sangat besar, sebab itu ia wajar dikenang dan dihargai malah mereka patut menjadi "lambang" kehebatan bola sepak di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya menyokong usaha yang diambil Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan yang memberi ruang dan peluang kepada bekas pemain negeri untuk terlibat dalam badan bola sepak negeri, pasukan wanita mahu pun dalam pasukan junior Sabah FC ketika ini.

Selain James dan Hassan, bekas pemain negeri yang turut dilibatkan dalam pengurusan pasukan ialah Matlan Marjan, Suharmin Yusof, Zainizam Marjan, Rozaimi Abdul Rahman dan Bobby Gonzales.

"Pendekatan ini sangat baik kerana selain mengenang dan menghargai jasa mereka, ia juga satu usaha memanfaatkan pengalaman mereka dalam bola sepak sebelum ini," tegasnya.

Beliau juga berharap agar khidmat bekas pemain yang berpengalaman seperti mereka ini wajar terus dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha Sabah meningkatkan kualiti dalam sukan bola sepak.

"Kita wajar kenang jasa mereka dan menghargai penglibatan mereka, kalau bukan kita siapa lagi?", soalnya.

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan