Jabatan Hidupan Liar diminta agar mengambil tindakan pro aktif untuk menangani ancaman buaya di Sungai Kinabatangan termasuk menangkap reptilia tersebut.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar), berkata tindakan itu perlu diambil jabatan berkenaan bagi mengurangkan risiko yang dihadapi penduduk yang mencari rezeki di sungai tersebut.
Menurut beliau, pihaknya mahu pihak berkuasa mengambil tindakan serius bagi memastikan penduduk yang menggunakan Sungai Kinabatangan sama ada untuk laluan seharian atau sebagai lokasi mencari sumber pendapatan melalui aktiviti memancing tidak terancam.
Minggu lepas, seorang wanita maut dibaham buaya ketika keluar memancing di sebuah anak Sungai Kinabatangan di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya.
Mayat mangsa Norsila Sayong, 32, ditemui dalam keadaan tidak sempurna oleh penduduk kampung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian mangsa diserang reptilia itu.
Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan, berkata kejadian itu bukan yang pertama kali berlaku malah sudah ramai mangsa menjadi korban ekoran serangan buaya di sungai tersebut.
"Justeru tindakan segera untuk menangani masalah ini wajar dilakukan pihak berkuasa agar keselamatan penduduk di kawasan terbabit sentiasa terjamin," ujarnya.
Beliau juga menambah kerajaan perlu mengambil langkah dengan mewujudkan peraturan atau akta sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dalam menangani ancaman buaya di beberapa sungai yang ada di Sabah.
Katanya, ia termasuk usaha menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik untuk mengurangkan ancaman haiwan tersebut kepada manusia.
Mayat mangsa dibaham buaya sedang diangkat anggota bomba dan penyelamat di anak Sungai Kinabatangan, baru-baru ini.Susulan kejayaan Malaysia menurunkan taraf kategori buaya daripada apendiks 1 kepada apendiks II pada Mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesis Flora dan Fauna Liar Terancam (CITIES) di Afrika Selatan, Anggota Parlimen Kinabatangan itu berharap keputusan tersebut akan membolehkan buaya di Sabah diburu dan diperdagangkan.
"Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan pihak berkuasa mengenai isu ini dan tindakan susulan dapat kita lakukan bagi mengurangkan populasi buaya di negeri ini demi menjamin keselamatan penduduk khususnya mereka yang tinggal di kawasan berhampiran sungai," tegas beliau.
Sambil mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa terbaru dibaham buaya di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya itu, Bung Moktar juga menasihati penduduk di kawasan terlibat supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai agar kejadian sedemikian tidak berulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan