Ahad, 17 Julai 2022

NASIB TIDAK MENYEBELAHI SABAH FC

Bung Moktar bersalaman dengan pemain-pemain di bilik persalinan.

KOTA KINABALU--Nasib tidak menyebelahi Sabah FC apabila jaringan melalui sepakan bebas pada minit-minit akhir menyebabkan mereka dikecewakan pasukan JDT dalam perlawanan Liga Super  di Stadium Likas, Jumaat lepas.

Selepas terikat 1-1, pasukan pelawat memanfaatkan masa tambahan lima minit yang diberikan pengadil untuk menjaringkan gol kemenangan mereka melalui Fernando Forrestieri pada minit ke-94.

Sabah FC mempamerkan kesungguhan untuk mengekang JDT yang menyaksikan pemain tengah, Park Tae Su menjaringkan gol pendahulu pada minit ke-19 babak separuh masa pertama sebelum JDT mendapatkan gol penyamaan melalui Forrestieri tujuh minit kemudian.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata penyokong setia memberi sokongan moral mencukupi kepada Sabah FC dalam perlawanan tersebut.

"Cukup sokongan moral yang diberikan penyokong setia Sabah FC namun apakan daya nasib tidak memihak tuan rumah," katanya dalam satu hantaran di akaun facebook, semalam.

Menurut beliau, JDT adalah sebuah pasukan yang kuat dan mantap.

"Tahniah kepada JDT," tambahnya.

Sebelum permainan, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya sempat menemui pemain-pemain Sabah FC dan memberikan kata-kata perangsang kepada mereka di bilik persalinan.

Lebih 23 ribu penonton membanjiri Stadium Likas untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Turut menyaksikan perlawanan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bung Moktar bersama Ahmad Faizal (kanan) menyaksikan perlawanan Sabah FC dengan JDT.
 

Walaupun keputusan itu mengecewakan penonton namun Sabah FC akan terus bergerak ke hadapan untuk menghadapi beberapa perlawanan lagi yang bakal diharunginya.

Sabah FC akan turun menentang Terengganu FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas pada Selasa ini dan kemudian akan menentang Selangor FC dalam perlawanan Piala FA di venue yang sama pada 23 Julai ini.

Pasukan tuan rumah tentunya akan terus memerlukan sokongan padu penonton menggemuruh suasana stadium sebagaimana yang ditunjukkan dalam perlawanan dengan JDT itu.

Penonton yang membanjiri Stadium Likas untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan