Sabtu, 9 Julai 2022

SAFA, TABS SAFA BANDARAYA HULUR SUMBANGAN MANGSA KEBAKARAN

David (enam dari kanan) menyampaikan sumbangan SAFA kepada Roslan diperhatikan Lokman, Juraidah, Ramlye dan Matasan.

KOTA KINABALU--Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan TABS SAFA Bandaraya menghulurkan sumbangan wang tunai kepada jurulatih Roslan Wasli yang mana rumahnya terlibat dalam satu kebakaran di Kampung Contoh, Petagas baru-baru ini. 

Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom menyerahkan sumbangan itu kepada Roslan yang juga penolong ketua jurulatih TABS SAFA Bandaraya pagi ini (Sabtu). 

Manakala Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim mewakili pengurusan TABS menyerahkan sumbangan itu kepada jurulatih berkenaan.

Turut menghulurkan sumbangan ialah SAFA Bandaraya Kota Kinabalu yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusinya, Othman Abdullah kemudian.

Lokman (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan pengurusan TABS kepada Roslan.

David berkata, sumbangan SAFA itu bagi membantu meringankan bebanan Roslan sekeluarga akibat musibah yang berlaku. 

Katanya, SAFA bersimpati dengan musibah yang menimpa jurulatih itu dan keluarganya dan berharap mereka bersabar dengan dugaan yang dihadapi. 

Ketika ini, Roslan dan keluarganya sedang merancang untuk membina semula rumah di tapak berkenaan. 

Lokman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA pula berharap Roslan sekeluarga bersabar dalam menghadapi dugaan tersebut.

"Kita sangat bersimpati dengan musibah menimpa Roslan sekeluarga kerana dia merupakan seorang jurulatih yang aktif dalam bola sepak di Sabah malah pernah menjadi jurulatih skuad B19 Sabah pada 2021 dan juga penolong jurulatih skuad tersebut sebelum itu," katanya.

Roslan menerima sumbangan SAFA Bandaraya yang disampaikan Othman (tiga dari kiri).  

Sementara itu, Roslan ketika ditemui di sini mengucapkan terima kasih kepada SAFA dan TABS SAFA Bandaraya serta semua penyumbang yang menghulurkan sumbangan kepada mereka selepas kejadian tersebut. 

"Kami sekeluarga sangat menghargai bantuan semua penyumbang dan mengucapkan terima kasih kepada mereka," katanya. 

Pada majlis itu, Setiausaha Eksekutif SAFA juga menyampaikan sumbangan bola kepada TABS SAFA Bandaraya yang diterima Lokman mewakili pengurusan tertinggi TABS. 

Turut hadir Setiausaha SAFA Bandaraya, Juaridah Datuk Abd Rahim, Naib pengerusi TABS, S.A Ramlye, ketua jurulatih, Matasan Ahmad dan ahli jawatankuasa TABS, Moksin Dusin.

David menyampaikan sumbangan bola kepada TABS SAFA Bandaraya yang diterima Lokman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan