Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menegaskan bahawa beliau bukan tali barut yang menidakkan usaha untuk menuntut Perjanjian Malaysia (MA63) yang hangat dibincangkan sejak sekian lama.
Menurutnya, sebaliknya beliau hanya menyarankan supaya tiba masanya pemimpin Sabah bertindak bijak dalam menuntut hak rakyat Sabah yang termaktub dalam MA63 dari kerajaan Persekutuan.
"Saya bukan tali barut, jangan salah anggap. Saya hanya menyatakan sudah tiba masanya pemimpin Sabah bersikap secara lebih bijak, malah saya tidak pernah menidakkan perjanjian MA63 ini,".
"Apa yang saya katakan pemimpin yang bijak akan mencari penyelesaian tetapi sebaliknya pemimpin yang lemah dan rapuh akan terus memainkan isu walaupun dia sendiri tahu isu ini tidak akan selesai," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Umno Sabah mengulas tuduhan tidak berasas mengenai cadangan yang diluahkan pemimpin BN termasuk beliau sendiri berhubung usaha merealissikan sepenuhnya tuntutan MA63 pada Konvensyen BN Sabah, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, hanya pemimpin yang bijak mampu mencari jalan bagi mencapai tuntutan MA63 tanpa perlu menunjukkan emosi yang berlebihan.
"Ada pepatah menyebut pemimpin yang tidak bijak seumpama "anjing menyalak bukit", beratus-ratus tahun pun dia menyalak, bukit tidak akan runtuh."
"Sebaliknya pula pemimpin yang bijak ibarat seperti anjing yang pandai, kurang menyalak namun ia menyusuri jalan kecil ke puncak bukit dan mendapatkan apa yang dia mahu," tegas beliau.
Bung Moktar berkata, 'new deal' yang dicadangkan dalam isu tuntutan MA63 bermakna semua perkara yang menjadi halangan atau kekangan untuk melaksanakan perjanjian yang dipersetujui akan dihapuskan.
Dengan pendekatan demikian, katanya, Sabah akan mendapat lebih peruntukan dan bukan seperti yang diperjuangkan oleh pemimpin tertentu yang dilihat sebagai pejuang tetapi untuk mencari publisiti murahan semata-mata.
Katanya, MA63 telah dimeterai berpuluh-puluh tahun lalu tetapi belum ada penyelesaian walaupun sudah ramai pemimpin tampil memperjuangkan isu berkenaan termasuk ada yang dipenjarakan.
"Hakikatnya walaupun isu ini telah dibincangkan beratus kali, dibahas beribu kali, pemimpin pun datang dan pergi sehinggakan ada yang masuk penjara kerana terlalu emosi dan ekstrem namun isu MA63 masih tidak selesai."
"Perjuangan untuk mendapatkan hak Sabah dalam MA63 masih juga tidak dicapai," ujarnya.
Bung Moktar turut membidas pemimpin BN yang kini lantang bersuara mengenai MA63 ini tetapi hanya berdiam diri ketika mereka berada dalam kerajaan BN sebelum ini.
"Dalam isu ini, ramai pemimpin beremosi dan sesat di jalan yang terang. Presiden PBS, pemimpin Warisan, pemimpin Upko umpamanya, mereka semua ini berada dalam kerajaan BN dahulu."
"Ketika mereka dalam kerajaan BN, mereka memilih untuk berdiam diri dan apabila BN kalah, merekalah yang meninggalkan BN atau melompat lebih awal," katanya.
Beliau menambah, sekarang mereka tiba-tiba bersuara lantang semula memandangkan angin pilihan raya ke-15 sudah bertiup kencang dan pada fikirannya hanyalah untuk menang kerusi dalam pilihan raya sahaja dan mahu berkuasa semula.
"Saya fikir pemimpin seumpama ini, mereka bukan bekerja untuk memajukan Sabah sebaliknya semata-mata untuk mendapatkan kelebihan politik sahaja," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan