Isnin, 28 Mac 2011

SARANAN PERKASA BN BEAUFORT DISOKONG

SIDANG MEDIA...Lajim bercakap dalam sidang media selepas sesi rehat pada konvensyen tersebut.

Lajim bersama ketua-ketua parti komponen BN pada Konvensyen BN Beaufort.

MESRA...Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Beaufort, Datuk Hajjah Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun bergambar dengan pemimpin parti-parti komponen BN. Dari kiri; Lokman Sunggim (Upko), Peter Tseu (MCA), Hj Samin Ongki, Datuk Kimjos Duim (Umno), Datuk Wences Angang (Upko) dan Sebastian Anjim (PBS) ketika menghadiri Konvensyen BN Beaufort.
 
Naib Ketua Bahagian 1 Upko Beaufort, Lokman Sunggim menyokong saranan supaya pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) bahagian ini menyuburkan keakraban dan semangat kekeluargaan dalam kalangan mereka bagi memperkasakan gabungan itu di kawasan Parlimen Beaufort. 

Beliau berkata, ini amat penting dalam usaha untuk terus menyakinkan rakyat di bahagian ini sekali gus mampu mempertahankan semula ketiga-tiga kerusi termasuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Penyu dan Klias pada pilihan raya akan datang.  

Katanya, saranan ke arah jalinan kesepakatan yang berkesan dalam kalangan barisan kepimpinan BN Beaufort amat bertepatan sekali dalam usaha untuk menghadapi pilihan raya umum yang ke-13.

Lokman yang juga anggota Jawatankuasa BN Bahagian Beaufort mengulas saranan Pengerusi BN Bahagian berkenaan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin yang mahu para pemimpin dan anggota parti komponen di bahagian berkenaan supaya menyuburkan semangat kekeluargaan sebagai satu elemen penting dalam memperkasa perjuangan BN bagi menghadapi cabaran akan datang.

Menurut Lajim, pra syarat utama kea rah merealisasikan semangat tersebut ialah dengan bersatu hati, bertolak-ansur dan saling mempercayai dalam kalangan pemimpin dan ahli gabungan itu.

Ketika merasmikan Konvensyen BN Bahagian Beaufort yang pertama, kelmarin, beliau yang juga Anggota Parlimen Beaufort dan Anggota Majlis Tertinggi Umno turut menekankan betapa pentingnya anggota komponen BN bahagian supaya melakukan transformasi politik sejajar dengan program transformasi kerajaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lokman yang juga anggota jawatankuasa pelaksana konvensyen, berkata Konvensyen BN Beaufort yang julung kali diadakan mencerminkan kesungguhan barisan kepimpinan BN bahagian untuk memantapkan persefahaman dan kesepakatan dalam gabungan selain menjadikan saluran untuk terus mendekati anggota di peringkat akar umbi.

Katanya, Upko akan terus memberi kerjasama erat kepada kepimpinan BN Beaufort terutama dalam menjayakan sebarang program atau aktiviti yang dapat meningkatkan jalinan kerjasama dan kesepakatan dalam gabungan itu.

Beliau juga yakin kepimpinan BN bahagian ini yang diterajui oleh Lajim, yang juga Ketua Umno Bahagian Beaufort sentiasa mendapat sokongan padu rakyat pelbagai lapisan kerana beliau telah membuktikan kepimpinan yang begitu peka dan memahami aspirasi rakyat di kawasan Parlimen Beaufort dan sentiasa berusaha menangani keperluan dan permasalahan mereka.

“Kita memerlukan pemimpin yang memiliki nilai-nilai yang disenangi rakyat dan mempunyai iltizam politik kerana ini akan menyumbangkan kepada kekuatan BN sekali gus dapat memastikan kejayaan cemerlang dalam pilihan raya,” tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan