Khamis, 6 September 2012

KUALA PENYU SESUAI UNTUK LOKASI UNIVERSITI BARU

Daerah Kuala Penyu sangat berpotensi untuk menempatkan institusi pengajian tinggi jika kerajaan negeri bercadang untuk membina sebuah lagi universiti baru di negeri ini.

Bekas Bendahari Pergerakan Pemuda Upko pusat, Limus Jury (gambar), berkata kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman bahawa kerajaan negeri sedia menimbang kemungkinan untuk mewujudkan universiti kedua bagi Sabah telah menerima sambutan baik daripada rakyat.

Limus yang ketika ini menjadi seorang ahli perniagaan berjaya berpendapat perkembangan ini sangat diperlukan bagi menggerakkan kegiatan ekonomi dan pembangunan sosial di daerah ini.

"Dengan pembinaan universiti tersebut, ia secara langsung dapat menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat di Kuala Penyu dan Beaufort," katanya.

Selain itu, beliau yang juga bekas bendahari Upko Bahagian Beaufort, berkata Kuala Penyu amat berpotensi untuk terus memajukan sektor pelancongan dan pewujudan univerisiti baru itu akan merangsang sektor berkenaan.

Ketika berucap kepada pelajar baru Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu Isnin lepas, Musa berkata kerajaan negeri bersikap terbuka dengan sebarang pandangan dan bersedia menerima cadangan untuk membina sebuah lagi universiti berdasarkan keperluan dan kedudukan universiti yang sedia ada di Sabah.

"Kita akan tengok dan melakukan pengumuman yang perlu jika kita rasakan ia boleh dilaksanakan," katanya yang juga Pro Canselor UMS dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu, menurut laporan akhbar Berita Harian, dua lokasi iaitu Kuala Penyu dan Silam dicadangkan bagi tapak bagi pewujudan universiti baru di Sabah itu.

Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) di Beaufort di sini mengalu-alukan pandangan supaya universiti baru itu dibina di Kuala Penyu memandangkan sebelum ini terdapat cadangan supaya kawasan Menumbok yang berhampiran Pulau Labuan dijadikan sebagai hub institusi pengajian tinggi.

Ahli jawatankuasa BN Bahagian Beaufort yang juga Naib Ketua Upko bahagian berkenaan, Lokman Sunggim, berkata daerah Kuala Penyu masih mempunyai kawasan tanah yang luas yang boleh dijadikan tapak bagi tujuan itu.

"Kita mempunyai tanah yang belum dibangunkan seluas kira-kira 300 ekar di Matabawan selain kawasan tanah yang dicadangkan bagi projek Gula Sabah yang sudah dibatalkan kerajaan boleh dijadikan tapak pembinaan universiti tersebut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan