Jumaat, 24 Jun 2011

MASALAH TEMPAT LETAK BAS SELESAI

PERJELAS...Abidin (tengah) mendengar penerangan Alijus mengenai tempat yang disediakan itu sambil diperhatikan YB Johnny (belakang Mayor) dan Lokman (dua dari kanan).

Masalah ketiadaan tempat khas meletakkan bas di pekan Inanam yang dihadapi pengusaha sejak puluhan tahun selesai apabila Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersetuju menyediakan kemudahan itu berhampiran dengan Pejabat Pos di pekan berkenaan.

Mayor DBKK, Datuk Abdidin Madingkir meluluskan lot letak kereta di kawasan itu dijadikan sebagai tempat khas bagi bas-bas yang beroperasi dari pekan ke Kg. Kionsom.

Lokasi itu dicadangkan Wawasan Iktisas Sdn. Bhd., syarikat pengendali lot letak kereta dan diterima baik oleh pengusaha-pengusaha terlibat.

"Kita memutuskan menyediakan tempat ini khususnya untuk bas-bas sahaja," katanya ketika meninjau kawasan tersebut dan seterusnya menemui pengusaha bas terbabit.

Turut hadir ialah Adun Kawasan Inanam, Datuk Johnny Goh, Pengarah Jabatan Perancang Bandar DBKK, Alijus Sipil, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sabah (PPBBS), Lokman Sunggim, Pengurus Operasi Wawasan Iktisas Sdn. Bhd., Jimon Jahim dan para pegawai DBKK yang lain.

Dengan penyediaan tempat khas itu bukan sahaja melegakan pengusaha bas malah ia juga mengakhiri penantian mereka untuk mendapatkan tempat khas seumpama yang dipohon oleh PPBBS Cawangan Inanam sejak sekian lama.

Ketika mengalu-alukan usaha DBKK menyediakan tempat khas tersebut, Presiden PPBBS, Lokman Sunggim menyifatkan kepekaan dan tindakan pro aktif Datuk Mayor telah mengubati kekecewaan pengusaha-pengusaha sebelum ini yang bertungkus lumus berusaha mendapatkan kemudahan itu tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Menurut beliau, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Mayor kerana merealisasikan penyediaan kemudahan itu.

"Sudah pasti keprihatinan Datuk Mayor ini akan sentiasa diingati oleh pengusaha-pengusaha bas di kawasan Inanam. Beliau melakukan tindakan yang sangat memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata, pihak persatuan meminta DBKK mencari penyelesaian terhadap masalah itu demi kebaikan semua pihak terutama orang awam, pengusaha dan pihak berkuasa tempatan.

"Keadaan pengusaha bas sebelum ini yang terpaksa meletakkan kenderaan mereka bercampur dengan kereta persendirian sangat tidak sesuai dan ini mendorong pihak persatuan mahu DBKK mencari penyelesaian terbaik," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan