Ahad, 19 Jun 2011

DUN K. PENYU PERLUKAN "WINNABLE CANDIDATE"


NAJIB...guna pendekatan yang disenangi rakyat.

Apabila disentuh saja politik di Kuala Penyu, kebanyakkan orang akan senyum. Tidak pasti kenapa, ada reaksi sedemikian namun itulah senario yang berlaku.

Kadangkala ramai juga tidak faham dan menjadi bingung sebaik sahaja bercerita tentang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu. Bukan kerana kerusi ini pernah dimenangi Bebas satu penggal sebelum ia berjaya dimenangi semula oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kecil tetapi mungkin kerana “permainan” politik yang tiada kesudahan di kawasan ini.

Ramai melihat ini termasuk kalangan penggiat politik, pemimpin parti komponen BN dan rakyat biasa sebagai sesuatu yang tidak baik untuk masa hadapan rakyat di kawasan ini. Malah, ada yang menyifatkan situasi ini sebagai suatu yang membosankan pengundi.

Rakyat semakin muak dengan permainan berterusan seumpama ini dan tidak sama sekali mengambil ikhtibar daripada pengalaman-pengalaman yang dilalui serta tidak berlandaskan realiti sebenar. Yakni melihat kepada hakikat yang nyata dengan mengambil kira kehendak dan aspirasi rakyat di kawasan ini.

Setiap kali timbul ura-ura pilihan raya akan menjelang tiba, maka ramailah daripada kalangan individu baik yang sudah lama di dalam parti atau pun yang baru seminggu dua berkecimpung dalam parti sibuk mempromosikan diri dengan tujuan mengharapkan diberi peluang menjadi calon dalam pilihan raya.

Trend ini sudah lama berlarutan sehingga sekarang dan ini amat menyentuh hati rakyat yang mengundi calon-calon yang dipilih itu tetapi akhirnya tidak menepati aspirasi yang mereka harapkan.

Ada juga kalangan pemimpin dalam parti tidak mempunyai sikap suka melobi ini kerana atas keyakinan ingin meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan memilih calon yang benar-benar mempunyai potensi untuk menang dan sekali gus melakukan perubahan di segi pendekatan layanan dengan rakyat serta mempunyai kewibawaan untuk berusaha sebaik mungkin menyelesaikan masalah rakyat yang wujud.

Berdasarkan situasi sekarang, kehendak dan aspirasi rakyat di Kuala Penyu kini menjadi kayu pengukur untuk memastikan kemenangan calon BN serta memulihkan semangat dan keyakinan rakyat yang mula luntur berikutan penonjolan calon sebelum ini yang memaksakan diri mereka menangkan walaupun dengan keadaan terpaksa “menutup mata” demi lambang dacing yang sangat berjasa kepada mereka.

Apabila ini berlaku maka istilah popular sekarang “winnable candidate” atau calon yang boleh menang yang dicanangkan oleh Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi perkiraan utama dalam memilih calon di kawasan DUN Kuala Penyu pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pemilihan winnable candidate ini dengan sendirinya akan mengekang sikap pemimpin tertentu yang bersikap mengabaikan suara rakyat dengan menggunakan kuasa mutlak untuk memilih calon dengan cara tangkap muat atau bidan terjun, yang sudah tentu tidak sama sekali mengambil kira pandangan rakyat selain saluran risikan kerajaan mengenai potensi seseorang indivdu atau bakal calon di sesuatu kawasan tersebut.

Ramai berpendapat bahawa pendekatan yang dilakukan Datuk Seri Najib itu akan membantu membolehkan lebih ramai calon yang berpotensi untuk menang dapat diketengahkan dan membawa perubahan dalam menghimpun pemimpin yang bukan sahaja disenangi rakyat tetapi juga mampu memberi input dan idea baru dalam memastikan transformasi yang dilaksanakan dalam kerajaan memberi impak besar kepada rakyat jelata.

Ia juga sudah tentu berupaya mengubati kebosanan kebanyakkan pemimpin parti-parti komponen yang sudah tidak larat lagi dengan wakil rakyat yang mereka bantu dengan sepenuh kudrat semasa kempen pilihan raya tetapi tidak mampu memain peranan sebagaimana yang mereka harapkan selepas diberi mandat.

Kesetiaan pemimpin dan rakyat tentu ada hadnya dan ini harus menjadi ikhtibar pemimpin atasan supaya melihat ke bawah dan memastikan pemilihan calon adalah berlandaskan apa yang dikehendaki rakyat selain mengambil kira kredibiliti seseorang calon tersebut.

Pilihan raya umum semakin diambang pintu dan mereka yang berangan-angan besar sudah tentu awal-awal lagi sudah menyelinap untuk memperagakan diri mereka untuk memancing kepimpinan atasan untuk membolehkan diri mereka diberi peluang menjadi calon.

Bermacam-macam kaedah dilakukan untuk menyakinkan pimpinan atasan walaupun sebenarnya mereka tidak dikenali rakyat di kawasan tetapi mereka masih terbawa-bawa trend lama yang mungkin boleh memihak mereka secara rambang dan bidan terjun, yang sudah tidak dapat diterima lagi oleh rakyat sekarang.

Mudah-mudahan konsep winnable candidate yang diperkenalkan Perdana Menteri akan dipraktikkan secara menyeluruh di Sabah dan ini dilihat boleh memberi semangat baru kepada rakyat untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

1 ulasan:

  1. Beri peluang kpd calon yg punya suara utk bercakap bah..baru terbangun tu Kuala Penyu..kalo ndak..alamat la..tidur semalaman dan mimpi di siang hari la sudanya daerahmu tercinta itu..

    BalasPadam