Musa (tengah) berbual dengan Datuk Seri Najib Razak sambil diperhatikan Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, ini penting dilakukan supaya BN tidak mempunyai masalah ketika menghadapi pilihan raya nanti.
"Ini yang penting, fokus hendaklah bekerja keras dengan berjumpa dan berusaha mengetahui masalah rakyat. Dengan itu, kita tidak akan bermasalah dan boleh menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa," katanya sebagi mengulas kenyataan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V.K Liew bahawa LDP satu-satunya parti yang layak bertanding di kawasan yang dimiliki parti pembangkang, Parti Maju Sabah (SAPP).
SAPP yang sebelum ini merupakan anggota BN memenangi enam kawasan (DUN dan Parlimen) yang ditandinginya pada pilihan raya umum 2008 tetapi kemudian bertindak keluar dari gabungan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan kuih-muih hari raya di Menara Tun Mustapha di Likas di sini, Musa yang juga Pengerusi BN Negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri turut menyambut baik penubuhan jawatankuasa terpilih Parlimen bagi membincangkan tranformasi proses pilihan raya yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Sebagaimana yang selalu kita katakan, tiada apa yang hendak disorok. Kita sedia untuk beri penjelasan dan penerangan apa yang selama ini kita lakukan secara terbuka dan telus supaya tidak wujud pra sangka dalam kalangan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya," tegasnya.
Beliau berkata, rakyat dapat melihat sendiri pilihan raya yang dijalankan dalam keadaan aman damai dan secara telus.
Mengenai sumbangan kuih-muih sempena menjelang hari raya, Ketua Menteri berkata, ia tanda penghargaan dan terima kasih di atas jasa dan pengorbanan seluruh warga anggota pasukan keselamatan yang sentiasa berkhidmat untuk menjaga keselamatan dan kestabilan negara.