Sabtu, 21 April 2012

ALLAHYARHAM KAMARUDDIN, SAHABAT DAN WARTAWAN YANG BERDEDIKASI


Menyirami pusara allahyarham yang disemadikan di tanah perkuburan orang Islam Kg. Lawa, Gadong di Beaufort.

Pemergian wartawan kanan New Sabah Times, allahyarham Kamaruddin Liusin yang meninggal dunia kelmarin (Jumaat) kira-kira jam 10.50 malam merupakan satu kehilangan besar terhadap bidang kewartawanan dan persuratkhabaran di Sabah.

Sebagai bekas editor di akhbar tempatan sebelum ini, saya amat mengenali allahyarham malah boleh saya anggap kami sangat rapat baik ketika sama-sama di pejabat mahu pun di luar pejabat.

Pada saya, allahyarham Kamaruddin adalah seorang wartawan yang berdedikasi dan komited terhadap tugas, berdikari serta mempunyai kesungguhan dalam menulis artikel selain sentiasa berusaha mendapatkan bahan-bahan yang mempunyai “nilai berita”.

Inilah sebahagian pengalaman yang saya lalui ketika pernah bertugas bersama allahyarham di dua surat khabar tempatan iaitu Sabah Times pada awal 1990-an dan Harian Mercu pada lewat 1990-an.

Allahyarham Kamaruddin memang sangat meminati bidang kewartawan dan sebab itu beliau sentiasa memberi tumpuan terhadap apa sahaja tugasan yang diberikan kepada beliau.

Ketika bertugas di bawah saya baik di Sabah Times mahu pun di Harian Mercu suatu ketika dulu, allahyarham banyak membantu memudahkan kami mendapatkan berita yang bagus.

Sebagai seorang yang sudah berpengalaman, saya sentiasa menaruh kepercayaan terhadap allahyarham apabila menugaskannya di mana sahaja bagi membuat liputan berita.

Allahyarham Kamaruddin.

Sepanjang yang saya ingat, allahyarham Kamaruddin diterima menjadi pemberita di Sabah Times ketika saya secara kebetulan menjadi editor bahagian Bahasa Melayu akhbar tersebut pada awal 1990-an.

Pada ketika itu allahyarham hanya merupakan pemberita sambilan tetapi apabila terdapat kekosongan jawatan pemberita sepenuh masa di Sabah Times ketika itu, saya telah mengajak beliau memohon jawatan itu dan telah diterima.

Sejak itu bermulalah kerjaya beliau sebagai seorang pemberita sepenuh masa namun akibat masalah yang dihadapi akhbar berkenaan pada masa itu menyebabkan beliau berpindah ke akhbar lain, kalau tak silap saya ke Borneo Mail kemudian menyertai akhbar Utusan Borneo. Saya pula menganggur beberapa ketika sebelum menyertai akhbar Daily Express.

Kemunculan akhbar Harian Mercu, sebuah akhbar berbahasa Melayu penuh pada 1996 telah menarik minat allahyarham untuk menyertai akhbar tersebut yang berpejabat di Likas.

Saya kemudian mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan di Daily Express selepas mendapat tawaran bertugas di Harian Mercu. Ini membolehkan saya dapat bertugas bersama sekali lagi dengan allahyarham.

Sebagai sebuah akhbar harian berbahasa Melayu yang baru ternyata banyak cabaran yang kami tempuhi bersama dan ia sudah tentulah banyak membantu mematangkan seluruh kakitangannya.

Situasi yang tidak dapat dielakkan apabila akhbar harian itu telah diminta oleh pihak pengurusan supaya menukarkan terbitannya daripada harian kepada mingguan. Rupanya itu menjadi petanda yang tidak baik di mana tidak lama kemudian akhbar itu telah memutuskan untuk menghentikan penerbitannya menyebabkan beberapa kakitangan terpaksa diserapkan ke syarikat lain manakala yang lain mengundurkan diri secara sukarela.

Allahyarham Kamaruddin jika tidak silap saya, telah mendapat tawaran untuk bertugas dengan akhbar New Sabah Times (sebelumnya dikenali Sabah Times) sehinggalah pada hari beliau mengalami serangan strok pada Rabu lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat ketika usia 47 tahun.

Saya sempat menziarahinya pada hari pertama beliau dimasukkan ke wad kecemasan Queen Elizabeth Hospital (QEH) dan pada hari ketiga sebelum saya menerima makluman mengenai pemergian selama-lama arwah oleh editor Bahasa Melayu New Sabah Times,  sdra Amin Muin pada tengah malam Jumaat.

Pemergian mengejut allahyarham sangat dirasai oleh semua rakan pengamal media yang mengenali beliau.

Allahyarham memang mempunyai ramai rakan wartawan baik yang berkhidmat dengan media tempatan mahu pun media nasional selain kalangan pemimpin politik yang saya percaya turut merasai kehilangan beliau.

Jenazah allahyarham disemadikan di tanah perkuburan orang Islam Kampung Lawa, Gadong di Beaufort pada hari ini (Sabtu) selepas waktu zohor.

Upacara pengkebumian itu turut dihadiri Anggota Parlimen Sipitang yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri, Datuk Sapawi Ahmad selain rakan-rakan wartawan dari media tempatan, Bernama dan RTM.

Kita telah kehilangan seorang sahabat yang baik dan kita hanya mampu mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat.

Takziah kepada keluarga allahyarham dan berharap mereka bersabar atas pemergiannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan