Wences ketika mempengerusikan mesyuarat khas itu. Turut kelihatan Adun Kuala Penyu, John Teo Mau Sing.
Naib Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wences Angang berkata, siapa sahaja calon yang diputuskan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding bagi kerusi DUN Kuala Penyu pada pilihan raya umum nanti perlu diberi sokongan bagi memastikan kemenangan BN.
Katanya, soal siapa yang dipilih menjadi calon BN di kawasan ini akan ditentukan oleh pucuk pimpinan.
"Kita perlu memberi sokongan kepada calon berkenaan tidak kira siapa individu itu bagi memastikan kemenangan BN," katanya.
Wences yang juga Ketua Upko Bahagian Beaufort berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat khas bahagian serta tiga sayap parti bahagian itu, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Komulakan di pejabat parti di pekan Kuala Penyu, di sini.
Beliau berkata, semua anggota parti hendaklah terus bekerjasama dan sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.
"Pilihan raya mungkin boleh diadakan pada Jun atau bila-bila masa sebelum April tahun depan. Masa semakin singkat," ujarnya.
Katanya, pemimpin bahagian dan sayap parti perlu membuat perancangan rapi dan mengatur strategi bagi memastikan calon BN memenangi kerusi DUN kawasan ini.
Menurut beliau, terdapat lebih 13,000 pemilih berdaftar di kawasan ini pada masa ini iaitu meningkat lebih 1,000 pengundi berbanding pengundi pada pilihan raya umum yang lepas iaitu lebih 12,000 orang.
Spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13 dijangka diadakan pada Jun semakin hangat dengan pelbagai petanda akhir-akhir ini.
Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keadaan politik semasa menunjukkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mewajarkan pilihan raya umum ke-13 diadakan bila-bila masa dari sekarang.
Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor pula sudah menghantar surat kepada parti-parti komponen meminta supaya mereka mengemukakan senarai nama calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum dalam masa dua minggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan