Isnin, 21 Mei 2012

DOMPOK YAKIN PM AKAN UMUM RCI

Dompok (tengah) bersama Bumburing (kanan) ketika menikmati jamuan di Gerai Upko Bahagian Beaufort sempena sambutan Pesta Kaamatan Upko Nasional di Tanjung Aru.

Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok yakin bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat pengumuman mengenai Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah ketika kunjungan beliau yang dijadualkan bulan depan.

"Tiada lagi sebarang kekeliruan dan kebimbangan mengenai perkara ini. Perdana Menteri akan datang ke sini tidak lama lagi dan saya percaya beliau akan membuat pengumuman mengenainya,"kata beliau.

Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengulas rancangan Parti Keadilan  Rakyat (PKR) Sabah untuk mengadakan perhimpunan duduk bantah di Penampang pada 2 Jun ini bagi mendesak kerajaan menyegerakan penubuhan RCI.

Katanya, adalah menjadi kebiasaan bagi parti pembangkang untuk menyuarakan pandangan mereka.

"Mereka adalah pembangkang dan mereka perlu menyuarakan sesuatu,"katanya ketika ditemui pada sambutan Pesta Kaamatan Upko Nasional di Tanjung Aru, di sini.

Perdana Menteri dijadual akan melawat Keningau awal bulan depan.

Berikutan ketiadaan pengumuman mengenai RCI sebagaimana yang diharapkan rakyat Sabah mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk ada khabar angin menyebut bahawa Timbalan Presiden Upko, Datuk Wilfred Bumburing besar kemungkinan akan meninggalkan Barisan Nasional untuk menyertai parti pembangkang.

Ini kerana pemimpin nombor dua Upko itu adalah antara pemimpin yang lantang menyuarakan perlunya disegerakan penubuhan RCI kerana kebimbangan rakyat terhadap masalah PTI yang berlarutan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan