Selasa, 24 Julai 2012

BUMBURING LEPAS JAWATAN, UMUM HALA TUJU POLITIK AHAD INI

Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing (gambar) yang sebelum ini diura-urakan akan menyertai parti pembangkang mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Tuaran berkuatkuasa pada Isnin (23 Julai).


Katanya, peletakan jawatan itu bagi membolehkan kepimpinan baru BN bahagian berkenaan mengambil alih peranan bagi melakukan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.


Bumburing, 60, berkata surat peletakannya sudah dihantar kepada Ibu Pejabat BN di Kuala Lumpur melalui faks serta pejabat Pengerusi BN Sabah.


Katanya, salinan surat itu juga dihantar kepada Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Wilfred M. Tangau.


Bagaimanapun bekas anggota kabinet negeri itu tidak menyebut alasan beliau mengambil keputusan itu.


Bumburing dan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin sejak beberapa bulan lepas menjadi tumpuan apabila kedua-dua MP BN tersebut dikaitkan dengan spekulasi untuk meninggalkan BN bagi menyertai pembangkang.


Namun kedua-dua mereka belum menyatakan pendirian muktamad.


Bagi Bumburing sendiri, apakah tindakannya ini menjadi petanda beliau sudah semakin hampir mengesahkan untuk menyertai pembangkang.


Katanya, beliau akan membuat pengumuman penting mengenai hala tuju politiknya pada perhimpunan khas di Dalit, Tuaran pada Ahad ini.

Isnin, 23 Julai 2012

RADIN DAKWA DR. JEFFREY TERDESAK


Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan Pengerusi Star Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (gambar) sebagai seorang yang sangat terdesak lantas nekad melakukan apa sahaja untuk memenuhi impiannya menjadi Ketua Menteri.

Naib Presiden parti itu, Datuk Radin Malleh, berkata Jeffrey berani mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar mengenai abangnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden PBS dan ini menggambarkan beliau (Jeffrey) seorang “desperado”.

Sambil mengesali tindakan Pengerusi Star Sabah itu, kata Radin, Jeffrey tidak berterima kasih dengan Pairin kerana jika bukan abangnya itu, beliau tidak akan menjadi Pengarah Eksekutif Yayasan Sabah selain menjadi wakil rakyat sebelum ini.

“Apa yang beliau lakukan lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan kerana beliau melakukan semata-mata untuk kepentingan peribadi dengan berselindung disebalik kepentingan negeri dan bukan untuk Malaysia.”

“Justeru, tindakannya itu sudah pasti akan memakan dirinya sendiri kerana beliau akan ketulahan kepada abangnya yang juga Huguon Siou,” tegasnya.

Jeffrey baru-baru ini dilaporkan mendakwa bahawa Pairin mereka cerita dan mengarut (mogunsamang) dalam cubaan mengekalkan sokongan pengundi di Keningau dan Tambunan.

Beliau juga mendakwa abangnya yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur bekerja keras untuk menarik hati bos-bosnya dalam Barisan Nasional (BN).

Jumaat, 20 Julai 2012

BELIA DARI LAPAN KAMPUNG TERIMA SUMBANGAN PERALATAN SUKAN

SERAH...Lokman menyampaikan sumbangan bola dan jaring bola tampar kepada Pengerusi JKKK Kg. Seliku, En. Jamal sambil diperhatikan Fredolin (tengah).
KENANGAN...rombongan Upko Bahagian Beaufort bergambar bersama pengerusi JKKK dan wakil-wakil belia selepas penyerahan sumbangan itu di Kg. Manggis.


Rombongan Upko Bahagian Beaufort baru-baru ini menyampaikan sumbangan berupa peralatan sukan kepada belia-belia di lapan kampung di Kuala Penyu dalam dua majlis berasingan.


Rombongan itu diketuai Naib Ketua Bahagiannya, Lokman Sunggim dan turut disertai Timbalan Ketua Pemuda Upko Bahagian, Fredolin Penggo dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian terdiri daripada Jain Haji Bisnin, Haji Asmat Misrin, Kanda Jurih, Jamaluddin Henry dan John Chin.


Pada majlis penyerahaan sumbangan itu di Balairaya Kg. Manggis, sumbangan diserahkan kepada pengerusi JKKK dan wakil belia dari enam kampung - Manggis, Melikai, Lambidan, Paringan, Jungkun dan Sarap.


Kemudian rombongan itu menyampaikan sumbangan serupa kepada belia-belia dari Kg. Tempurong dan Seliku pada satu majlis di Kg. Tempurong.


Penyerahan sumbangan perlatan sukan itu dilakukan oleh Lokman dan Fredolin.


Sumbangan itu sebagai dorongan kepada belia-belia bagi menggerakkan aktiviti kesukanan di kampung masing-masing dengan harapan mereka akan dapat mengisi masa lapang dengan bersukan sekali gus mampu menghindarkan mereka daripada kegiatan yang tidak sihat.


Bagi Upko bahagian, ia merupakan sebahagian program mereka untuk mendekati masyarakat khususnya golongan belia di luar bandar.


Melalui pendekatan itu diharapkan Upko, salah sebuah anggota komponen Barisan Nasional akan lebih dekat dengan masyarakat dan ia sudah tentu membantu mengukuhkan parti.

Sabtu, 14 Julai 2012

SPEKULASI MENGENAI LAJIM DAN BUMBURING MELESET LAGI


Lajim (kanan) dan Bumburing menjadi tumpuan kerana spekulasi.

Spekulasi berhubung dua Anggota Parlimen di Sabah, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing yang diura-urakan akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai pembangkang pada 15 Julai ini meleset lagi berikutan tiada tanda-tanda mereka berbuat demikian.

Sehingga lewat petang ini, tiada petunjuk bahawa Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Bumburing yang juga Timbalan Presiden Upko akan meninggalkan BN, malah program yang dijadual akan dihadiri kedua-dua MP BN itu di SM Kian Kok di sini esok (Ahad) difahamkan sudah dibatalkan.

Ini bermakna dakwaan sebelum ini bahawa majlis itu yang dijangka dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya berupa spekulasi semata-mata untuk menarik perhatian khususnya para penyokong Lajim dan Bumburing.

Sungguh pun tiada alasan secara pasti diperoleh daripada Bumburing, Pengerusi Amanah Sabah itu dilaporkan tidak mempunyai seberang program yang berkaitan pada Ahad manakala Lajim pada hari ini (Sabtu) berada di Kuala Penyu dan Beaufort kerana menghadiri beberapa majlis termasuk Hari Keluarga di SK Menunggang, Kuala Penyu pada sebelah pagi dan kemudian merasmikan perayaan Pesta Kaamatan di Kg. Kabatung sebelum menghadiri majlis kenduri sekampung di Kg. Tenambak pada sebelah tengah hari.

Satu majlis yang mengaitkan Bumburing di Tamparuli yang dijadual diadakan pada pagi esok (Ahad) dikatakan juga telah dibatalkan manakala satu program yang sepatutnya akan dihadiri Lajim di Kg. Batu Linting pada pagi Ahad juga turut dibatalkan.

Perkembangan yang berlaku itu seolah-olah menepis dakwaan bahawa dua MP BN berkenaan yang kebelakangan ini menjadi tumpuan kerana diselubungi spekulasi, tidak akan menjadi kenyataan.

Sejak beberapa bulan lepas, kedua-dua pemimpin BN itu menjadi fokus media termasuk blogger dan laman sosial facebook kerana desas-desus yang mengaitkan mereka dengan parti pembangkang selain percaturan masa depan politik mereka.

Bagaimanapun, Lajim yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno sebelum ini pernah menafikan dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan BN untuk menyertai pembangkang.

Menurut beliau, semua itu adalah hanya khabar angin yang sengaja digembar-gemburkan pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap dirinya.

Kepimpinan Upko pula beberapa bulan lepas menjelaskan tidak benar dakwaan bahawa Bumburing mendesak parti itu supaya mengambil tindakan untuk keluar meninggalkan BN.


Jumaat, 13 Julai 2012

RAKYAT SOKONG TRANSFORMASI YANG DILAKUKAN PM, KATA MUSA


MUSA...syukuri nikmat keamanan dan kemakmuran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman yakin rakyat di Sabah akan memberi sokongan padu terhadap pelbagai insiatif dan program transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk usaha menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju.

Katanya, ini kerana niat kerajaan adalah murni ingin membina satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan progresif.

Bagaimanapun, menurut beliau, sejak akhir-akhir ini ada pihak yang tidak bertanggungjawab sering mengeksploitasikan pendekatan yang dilakukan kerajaan atas kepentingan tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Dalam hal ini, gambaran yang tepat dan maklumat yang lengkap amat penting bagi memastikan niat murni kerajaan dapat dihayati selain mendapat sokongan segenap lapisan rakyat,” katanya pada Majlis penutupan Seminar Wasatiyyah dan 1Malaysia di Wisma Muis, di sini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri mengajak rakyat supaya sentiasa menghargai dan mensyukuri nikmat kemerdekaan, keamanan serta kemakmuran yang dikecapi ketika ini.

Beliau berkata, asas yang dibina oleh para pemimpin terdahulu dan kerajaan pada hari ini perlulah dipertahankan, yang telah menjadi tunjang kejayaan dan kemakmuran serta keharmonian rakyat.

Katanya, pendekatan kesederhanaan bertepatan dengan prinsip wasatiyyah yang diketengahkan Perdana Menteri dalam beberapa pertemuannya dengan para pemimpin Barat.

“Konsep wasatiyyah perlu menjadi pegangan kita pada hari ini dengan mengambl jalan syura serta dialog sebagai asas untuk menyelesaikan masalah dan sebarang pertikaian.

Musa percaya konsep wasatiyyah yang menjadi pegangan kepimpinan negara sangat bertepatan dengan gagasan 1Malaysia bagi melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan bersikap sederhana berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara.