Lajim (kanan) dan Bumburing menjadi tumpuan kerana spekulasi.
Spekulasi berhubung dua Anggota Parlimen di Sabah, Datuk Seri
Panglima Lajim Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing yang diura-urakan
akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai pembangkang pada 15
Julai ini meleset lagi berikutan tiada tanda-tanda mereka berbuat demikian.
Sehingga lewat petang ini, tiada petunjuk bahawa Lajim yang juga
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Bumburing yang juga
Timbalan Presiden Upko akan meninggalkan BN, malah program yang dijadual akan
dihadiri kedua-dua MP BN itu di SM Kian Kok di sini esok (Ahad) difahamkan sudah
dibatalkan.
Ini bermakna dakwaan sebelum ini bahawa majlis itu yang dijangka
dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya berupa spekulasi
semata-mata untuk menarik perhatian khususnya para penyokong Lajim dan
Bumburing.
Sungguh pun tiada alasan secara pasti diperoleh daripada
Bumburing, Pengerusi Amanah Sabah itu dilaporkan tidak mempunyai seberang
program yang berkaitan pada Ahad manakala Lajim pada hari ini (Sabtu) berada di
Kuala Penyu dan Beaufort kerana menghadiri beberapa majlis termasuk Hari
Keluarga di SK Menunggang, Kuala Penyu pada sebelah pagi dan kemudian
merasmikan perayaan Pesta Kaamatan di Kg. Kabatung sebelum menghadiri majlis
kenduri sekampung di Kg. Tenambak pada sebelah tengah hari.
Satu majlis yang mengaitkan Bumburing di Tamparuli yang dijadual
diadakan pada pagi esok (Ahad) dikatakan juga telah dibatalkan manakala satu
program yang sepatutnya akan dihadiri Lajim di Kg. Batu Linting pada pagi Ahad
juga turut dibatalkan.
Perkembangan yang berlaku itu seolah-olah menepis dakwaan bahawa
dua MP BN berkenaan yang kebelakangan ini menjadi tumpuan kerana diselubungi
spekulasi, tidak akan menjadi kenyataan.
Sejak beberapa bulan lepas, kedua-dua pemimpin BN itu menjadi
fokus media termasuk blogger dan laman sosial facebook kerana desas-desus yang
mengaitkan mereka dengan parti pembangkang selain percaturan masa depan politik
mereka.
Bagaimanapun, Lajim yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno
sebelum ini pernah menafikan dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan BN untuk
menyertai pembangkang.
Menurut beliau, semua itu adalah hanya khabar angin yang sengaja digembar-gemburkan pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap dirinya.
Kepimpinan Upko pula beberapa bulan lepas menjelaskan tidak benar
dakwaan bahawa Bumburing mendesak parti itu supaya mengambil tindakan untuk
keluar meninggalkan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan