MUSA...syukuri nikmat keamanan dan kemakmuran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman yakin rakyat di Sabah
akan memberi sokongan padu terhadap pelbagai insiatif dan program transformasi
yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk usaha
menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju.
Katanya, ini kerana niat kerajaan adalah murni ingin membina satu
bangsa Malaysia yang bersatu padu dan progresif.
Bagaimanapun, menurut beliau, sejak akhir-akhir ini ada pihak yang
tidak bertanggungjawab sering mengeksploitasikan pendekatan yang dilakukan
kerajaan atas kepentingan tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan kepada
masyarakat.
“Dalam hal ini, gambaran yang tepat dan maklumat yang lengkap amat
penting bagi memastikan niat murni kerajaan dapat dihayati selain mendapat sokongan
segenap lapisan rakyat,” katanya pada Majlis penutupan Seminar Wasatiyyah dan
1Malaysia di Wisma Muis, di sini.
Sehubungan itu, Ketua Menteri mengajak rakyat supaya sentiasa
menghargai dan mensyukuri nikmat kemerdekaan, keamanan serta kemakmuran yang
dikecapi ketika ini.
Beliau berkata, asas yang dibina oleh para pemimpin terdahulu dan
kerajaan pada hari ini perlulah dipertahankan, yang telah menjadi tunjang
kejayaan dan kemakmuran serta keharmonian rakyat.
Katanya, pendekatan kesederhanaan bertepatan dengan prinsip
wasatiyyah yang diketengahkan Perdana Menteri dalam beberapa pertemuannya
dengan para pemimpin Barat.
“Konsep wasatiyyah perlu menjadi pegangan kita pada hari ini
dengan mengambl jalan syura serta dialog sebagai asas untuk menyelesaikan
masalah dan sebarang pertikaian.
Musa percaya konsep wasatiyyah yang menjadi pegangan kepimpinan
negara sangat bertepatan dengan gagasan 1Malaysia bagi melahirkan masyarakat
yang bersatu padu dan bersikap sederhana berteraskan Perlembagaan Persekutuan
dan prinsip Rukun Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan