Jumaat, 10 Ogos 2012

UPKO BEAUFORT TERUS BEKERJASAMA DENGAN RAKAN KOMPONEN BN


Lokman (kanan) bersama Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasneh yang kelihatan membetulkan songkoknya.

KUALA PENYU: Upko Bahagian Beaufort akan bekerjasama rapat dengan rakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama Umno dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi memastikan gabungan itu di bahagian Beaufort sentiasa mantap dalam menghadapi Pilihan raya umum akan datang.

Naib Ketua Bahagian 1 parti itu, Lokman Sunggim, berkata kerjasama erat yang sedia wujud akan terus diperkukuhkan demi kesinambungan perjuangan BN di bahagian ini.

“Kita mahu melihat BN Bahagian Beaufort bukan sahaja sentiasa kukuh malah sedia menghadapi pelbagai cabaran di hadapan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa Umno Bahagian Beaufort di 
Masjid Kg. Siaun di sini pada Khamis. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Ketua Umno bahagian, Isnin Aliasnih, Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian, Datuk Hajjah Azizah DSP Mohd Dun, Ketua Pergerakan Pemuda bahagian, Ishak Haji Ibrahim dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Penyu, John Teo Mau Sing.

Lokman yang juga Ahli Jawatankuasa Barisan Nasional Bahagian Beaufort, berkata para pemimpin dalam gabungan itu memainkan peranan penting dalam memberi penjelasan sekiranya wujud seberang kekeliruan di kalangan rakyat berhubung senario politik di bahagian ini.

“Kita akan sama-sama galas tanggungjawab ini dengan memberi maklumat tepat mengenai BN dan kerajaan agar rakyat khususnya di bahagian ini sentiasa mendapat gambaran situasi yang sebenar,” katanya.

Beliau berharap kerjasama serta kesepakatan dalam kalangan pemimpin parti-parti komponen di bahagian ini akan membantu memudahkan penyaluran maklumat yang lebih tepat dan menepis sebarang kekeliruan.

“Bagi kita, pemimpin datang dan pergi serta silih berganti mengikut keadaan namun perjuangan BN perlu diteruskan kerana inilah yang sentiasa diharapkan oleh rakyat yang telah memberi sokongan dan mandat kepada pemimpin dari dahulu hingga sekarang,” tegasnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Isnin Aliasneh atas pelantikan sebagai Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort dan rakan-rakannya dalam bahagian yang komited meneruskan perjuangan kepimpinan dalam bahagian berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan