Rabu, 19 Jun 2013

GESAAN ADUN TANGANI SERIUS MASALAH AIR DI KUALA PENYU DISOKONG

Bersama ADUN Kuala Penyu, Limus Jury (tengah) dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih (kanan).
Lokman (kiri) bersama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Ombi (tengah) di Dewan Undangan Negeri Sabah.

KUALA PENYU: Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim menyokong gesaan supaya pihak kerajaan mengambil langkah serius untuk menangani masalah bekalan air di Kuala Penyu dan Menumbok yang sudah berlarutan berdekad lamanya.

Beliau berkata, gesaan yang dibuat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Limus Jury di Dewan Undangan Negeri kelmarin wajar mendapat perhatian serius kerajaan dan berusaha mengambil pendekatan komprehensif untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Sejak dari dahulu lagi, malah sebelum pilihan raya umum baru-baru dan selepas pilihan raya, isu air terus menjadi rungutan penduduk di Kuala Penyu dan Menumbok. Justeru, kita mahu kerajaan memfokuskan usaha untuk menanganinya dengan serius," katanya ketika ditemui di sini.

Lokman yang juga Anggota Jawatankuasa Barisan Nasional (BN) Bahagian Beaufort, berkata warga Kuala Penyu sudah tidak larat lagi untuk menanggung keperitan mengenai masalah ketiadaan air bersih yang mereka alami berdekad-dekad lamanya.

"Mereka meluahkan suara hati mereka melalui pelbagai cara termasuk mengadu kepada wakil rakyat, kepimpinan BN, pegawai kerajaan berkaitan malah melalui laman sosial seperti facebook. Sudah tiba masanya pihak kerajaan memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah ini secara tuntas," ujarnya.

Beliau bersetuju dengan Adun Kuala Penyu bahawa walaupun masalah air ini mengecewakan rakyat di Kuala Penyu dan Menumbok namun mereka masih lagi memberi kemenangan kepada BN di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum lepas.

Katanya, kedua-dua kerusi iaitu Parlimen Beaufort dan DUN Kuala Penyu berjaya dipertahankan oleh BN meskipun terpaksa bergelut dengan isu air ini.

"Kita wajar berterima kasih dengan sokongan yang diberikan rakyat dan sebagai menghargainya, kerajaan harus membantu menyelesaikan masalah yang menjejaskan kehidupan harian mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga berharap bahawa peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Naijib Tun Razak bagi membiayai pembinaan loji air baru di Beaufort yang bernilai RM226 juta sebelum ini dapat dilaksanakan kerana ia dijangka dapat menyelesaikan masalah bekalan air termasuk di Kuala Penyu dan Menumbok.

Menurutnya, jika masalah air ini dapat di atasi, ia bukan sahaja memberi keselesaan kepada rakyat tetapi juga dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi daerah kerana ia berupaya menarik minat pelabur untuk menerokai bidang-bidang yang berpotensi seperti sektor pelancongan dan industri berasaskan perikanan.



Selasa, 4 Jun 2013

SUKU PALAUH BERUMAH DALAM PERAHU

Suku kaum Palauh menjadikan perahu sebagai rumah untuk berteduh.

Mereka mendirikan pondok usang ketika singgah di kawasan daratan.

Kanak-kanak suku Palauh mencari rezeki di celah-celah batu dan longgokan sampah.

Sebut sahaja kaum Pala'u atau Palauh tentu terbayang kepada kita kehidupan kelompok masyarakat yang berumah di dalam perahu di laut dan menjalani sebahagian besar kehidupan dan mencari rezeki di situ.

Mereka ini seperti segelintir etnik di Vietnam yang juga gemar menjadikan bot sebagai rumah dan menjalani kehidupan harian di laut. 

Suku Pala'u atau biasa juga dipanggil "gipsi laut" boleh ditemui di pinggir laut dan kawasan perairan di daerah Semporna dan Lahad Datu. Sejumlah kecil suku ini juga ada ditemui tinggal di bawah beberapa jambatan di Likas dan Kota Kinabalu tidak lama dahulu tetapi mereka akhirnya berjaya ditangkap oleh Jabatan Imigresen.


Anehnya, rata-rata kalangan suku ini tidak mempunyai dokumen dan mereka juga dianggap sebagai masyarakat yang tidak bernegara walaupun mereka sebenarnya dipercayai datang dari negara Filipina. 

Negara ini menghadapi masalah untuk membantu menyelesaikan status suku kaum ini kerana walaupun mereka berjaya ditahan dan sepatutnya dihantar ke negara asal namun kerajaan Filipina dikatakan tidak mengiktiraf masyarakat ini sebagai warganya.
 

Oleh kerana itu, etnik ini diberi peluang untuk meneruskan kehidupan mereka di kawasan perairan dan pinggiran laut terutama di Lahad Datu dan Semporna.


Baru-baru ini, saya berpeluang menyaksikan beberapa keluarga suku ini singgah seketika di darat berhampiran pinggir laut di Lahad Datu dengan mendirikan pondok usang beratapkan bekas kotak dan serpihan karung sebagai tempat berteduh untuk mereka mencari rezeki di darat yang agak asing bagi mereka. 

Barangkali kerana sudah ada kesedaran sedikit bahawa rezeki itu ada di mana-mana termasuk di darat dan bukan semata-mata ada di lautan yang menjadi sebahagian besar kehidupan mereka, mendorong mereka membina pondok usang sementara untuk mencuba mencari rezeki sekali pun di celah-celah batu dan longgokan sampah.


Saya mendapati anak-anak suku Pala'u ini berkeliaran dan merayau di tepi-tepi rumah kedai berhampiran pinggir laut di Lahad Datu sambil membelek-belek longgokan sampah mungkin dengan harapan dapat menemui sesuatu yang boleh digunakan atau boleh dijamah.

Melihat situasi itu, ia sangat menyentuh hati kerana anak-anak kecil itu bukan sahaja mungkin tidak memiliki sebarang dokumen tetapi mereka sudah tentu tidak mempunyai peluang untuk belajar di sekolah sebagaimana anak-anak masyarakat lain yang menghabiskan kehidupan mereka di daratan. 

Adakah suku kaum ini akan terus menjadi masyarakat yang tidak memiliki negara dan secara terus menerus berumah di dalam perahu di laut, hanya masa dan keadaan yang akan menentukan situasi dan nasib mereka.