Khamis, 27 Mei 2021

MASALAH AIR DI BEAUFORT: SALAH SIAPA?.

Loji rawatan air di Beaufort.

Oleh DATUK MURSHIDI ABD GHAFFAR

Masalah air di kawasan Parlimen Beaufort ini bukannya masalah baharu. Ianya merupakan masalah yang sudah berkurun lamanya. Sejak dari zaman British lagi sebenarnya terutamanya di daerah Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbok merupakan kawasan yang amat teruk sekali mengalami masalah ini.

Sejak kebelakangan ini ianya menjadi bertambah buruk lebih-lebih lagi pada musim banjir sekarang ini. Amukkan rakyat dengan sumpah saranah mereka macam sudah tidak dapat dibendung lagi. 

Rakyat di kawasan ini sudah hilang sabar. Maka isu ketiadaan air ini ibarat lagu bangau oh bangau, pemimpin dan yang lain-lain terlibat masing masing saling salah menyalahkan. Ada Yang Berhormat (YB) cakap salah jabatan, orang jabatan cakap salah kerajaan termasuklah YB. Mereka sudah buat cadangan tetapi kerajaan yang bertanggung jawab menyediakan peruntukan. 

Bagaimana mahu selasaikan masalah jika tiada peruntukan. Ianya memerlukan peruntukan yang besar. Ratusan juta ringgit kalau pun bukan billion ringgit. Jadi kata mereka adalah menjadi tanggungjawab YB-YB memohon peruntukan kepada kerajaan, kerajaan pula bertanggung jawab untuk memberikan peruntukan tersebut manakala jabatan pula akan melaksanakannya. Ada benarnya rungutan jabatan tersebut. Tetapi adakah alasan tersebut 100% tepat.

Mari kita berbalik kisah beberapa tahun mungkin sepuluh tahun yang lalu. Ini sepanjang pengetahuan saya. Sebelum pilihan raya ke-13, kerajaan pada masa tersebut dibawah Barisan Nasional (BN) telah  memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk mengganti paip dari Kg Kayul ke Limbawang yang dikatakan menjadi punca masalah air di daerah Kuala Penyu dan Menumbok. 

Susulan itu sebuah loji baharu juga telah dibina hasil cadangan daripada pihak jabatan air. Apa yang terjadi ialah bekalan air pulih seketika iaitu hanya untuk beberapa bulan sahaja. Selepas itu masalah sama kembali berulang. Di mana lagi silapnya?.

Penduduk terpaksa menadah air hujan untuk mendapatkan air bersih.- Gambar dari FB Lilkiplee Hj Kadir.

Kali ini, pihak jabatan pula memberi alasan, kita kena ganti semua saluran paip-paip yang telah usang atau kecil kepada yang baharu. Tangki-tangki air juga perlu diganti atau diperbesarkan bagi menampung keperluan air yang semakin tinggi. 

Selain itu pam-pam air yang selalu rosak di Kayul perlu diganti baharu dan ditambah jumlahnya. Jika ganti semua itu pun tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah air ini. Apa lagi?. Masalah loji air di Limbawang. Loji tersebut tidak dapat berfungsi ketika musim hujan lebat atau apabila air sungai melimpah kerana air sungai menjadi keruh dan banyak lumpur dan sisa-sisa kayu yang akan merosakkan mesin di loji. 

Loji tersebut telah dibina tanpa ada retention pond di mana air dari sungai sebelum diproses disalurkan dulu ke kolam ini untuk menghilangkan lumpur dan benda-benda lain. 

Hampir semua masalah ini berlarutan hingga ke hari ini. Yang kita nampak ada beberapa  projek air sedang dilaksanakan di kawasan Menumbok tetapi projek tersebut akan menjadi sia-sia jika masalah utama di loji dan pam air di Kayul dan beberapa tempat lain tidak diperbaiki atau diganti.

Untuk menuduh YB-YB tidak berusaha sama sekali tidaklah begitu adil. Datuk Hajjah Azizah Mohd Dun selaku Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Limus Jury sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu dan ketika itu Datuk Isnin Aliasnih merupakan Ketua Umno Bahagian Beaufort juga Adun Klias berjaya mendesak kerajaan BN supaya dapat menyalurkan peruntukan.

Lori-lori majlis daerah digunakan untuk mengangkut catuan bekalan air kepada penduduk.

Peruntukkan ada, kerja-kerja pemilihan kontraktor pun sudah selesai. Malangnya sebelum projek berjalan kerajaan BN tumbang diambil-alih kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH). Semua projek projek tersebut di KIV dan ada yang di batalkan terus walaupun kesemua YB terbabit melompat menyertai parti kerajaan, maka sekali lagi rakyat seolah menjadi mangsa.

Kesimpulannya;

Jabatan air boleh disifatkan bersalah dalam hal ini kerana tidak menyediakan perancangan menyeluruh bagi mengatasi masalah tersebut.

YB-YB menjadi sasaran kemarahan sebab walaupun sudah bertukar parti tetapi tidak mampu juga menyelesaikan masalah. Masa bertambah kritikal apabila berminggu-minggu tidak ada air dan YB yang berkaitan pula tidak bertindak mencari jalan penyelesaian sementara seperti membekalkan air melalui lori-lori mengangkut air untuk keperluan penduduk terlibat.

Sehinggalah rakyat benar-benar marah. Ada saya dengar kosnya dikatakan tinggi. Jangan pula itu dijadikan alasan kerana rakyat bukan meminta dari poket YB tetapi kerajaan harus bersedia memberikan peruntukan untuk membekalkan air sementara untuk keperluan penduduk. 

Air adalah keperluan asas yang penting begitu juga elektrik. Rakyat perlu minum, makan, mandi dan sembahyang bagi orang Islam. Bekerjalah untuk rakyat. Jika kerajaan tidak mendengar suara-suara YB baik fikirlah sesuatu demi kebaikan rakyat yang meletakkan anda di kedudukan anda sekarang.

 Di pihak kerajaan, majoriti rakyat memilih kerajaan baharu dengan harapan hidup mereka akan menjadi lebih baik. Semua projek-projek kerajaan yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelumnyanya janganlah dibatalkan. Itu untuk kebaikan rakyat. Teruskan. Tengok apa jadi dengan kebodohan PH yang berdendam yang akhirnya merugikan rakyat. PH menjungkang sendiri.

Akhirnya bekerjalah untuk menyelesaikan masalah. Berhentilah menyalahkan sesama sendiri. Jika pengarah jabatan air itu benar-benar gagal melaksanakan tanggungjawab, tukarkan saja. Kuasa di tangan kamu.

Isnin, 17 Mei 2021

KISAH INTERVIU BEKAS TYT KETIKA BERKHIDMAT PEGAWAI LPN

 
Bergambar bersama Tun Ahmadshah.

Tanpa dijangka, tiba-tiba saya terjumpa bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah di sebuah kompleks membeli-belah di ibu kota pada penghujung bulan Ramadan.

Saya menegur sapa Tun dan seperti biasa beliau pantas menjawap sungguh pun mungkin beliau tidak ingat saya lagi kerana terlalu lama tidak bertemu. Memang betul, beliau tidak perasan saya.

Lantas, saya memaklum beliau bahawa saya pernah menemuramah beliau pada pertengahan tahun 1980-an ketika itu beliau bertugas dengan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang pejabatnya terletak di bangunan Indrasabak.

Kebetulan saya baharu sahaja beberapa bulan bertugas sebagai pemberita di Sabah Times pada masa itu dan ia antara assignment awal yang diberikan editor kepada saya untuk menemubual pegawai tinggi LPN berhubung operasi lembaga itu di Sabah.

Sebagai seorang yang baharu dalam kewartawanan tentulah rasa gementar sentiasa ada di hati saya namun layanan baik dan mesra daripada seorang pegawai yang baik hati membuatkan saya berani pula mengajukan lebih banyak soalan kepadanya.

Saya beritahu Tun, sebenarnya saya takut-takut juga interviu beliau pada masa itu. Tetapi oleh kerana layanan baik itu menjadikan saya lebih berani dan yakin pula. Tun ketawa dan cerita saya itu seolah-olah membolehkan Tun dapat mengimbas kembali detik pertemuan di pejabat LPN itu suatu ketika dulu.

Tun kemudian sempat berkongsi banyak pengalaman ketika berkhidmat dengan LPN ketika itu yang menurut beliau, banyak pengalaman dan dugaan pahit manis dilaluinya.

Beliau turut menceritakan sebagai seorang budak kampung memang banyak rintangan untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

"Semua itu saya lalui dan alhamdulillah saya dapat berkhidmat dengan baik hingga tiba waktu persaraan,".

"Saya juga tidak pernah menjangka diberi peluang untuk menjadi TYT," kata beliau. Lantas saya memaklumkan Tun bahawa jika Allah mengizinkan, kita boleh menjadi apa sahaja, tiada yang mustahil.

Betul, tambah beliau.

Selepas lama juga bersembang dengan beliau, saya memohon untuk minta diri. Saya sempat mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada beliau dan isteri. Semoga kita dapat berjumpa lagi Tun.


Ahad, 9 Mei 2021

SYOR WUJUDKAN JAWATANKUASA KABINET TANGANI MASALAH RUMAH DHAIF

Keadaan rumah sebuah keluarga di Paitan yang tidak mempunyai bilik dan tandas.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, Haji Samin Ongki mencadangkan kerajaan negeri supaya mewujudkan sebuah Jawatankuasa Kabinet untuk menangani masalah rumah dhaif di negeri ini.

Katanya, beberapa menteri boleh bergabung dalam jawatankuasa itu.

Penubuhan jawatankuasa tersebut dijangka boleh menjadi kaedah terbaik untuk membantu mengenal pasti rumah-rumah dhaif penduduk di Sabah dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.

Pengarah YADIM Sabah itu sebelum ini telah merintis misi dalam program Teratak Prihatin untuk membantu penduduk miskin membina rumah baharu dengan kerjasama beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam posting terbaharunya di facebook peribadi beliau hari ini, Samin berkata, pihaknya juga akan menulis surat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dalam masa terdekat agar nasib keluarga di sebuah kampung di Daerah Kecil Paitan yang mempunyai sebuah rumah tanpa bilik dan tandas mendapat pembelaan.

Rumah keluarga berkenaan terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut dan kawasan Parlimen Beluran.

"Berdasarkan gambar yang diterima keadaan rumah itu sangat dhaif dan ia tidak mempunyai bilik dan tandas dan nasib keluarga ini harus dibela," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada imam dan Pegawai Dakwah YADIM, Ustaz Mahijal Marhama yang memberikan laporan itu kepadanya.

SAM PULANG KE LIBERIA UNTUK BERSAMA KELUARGA

Penyerang import dari Liberia, Sam Johnson (gambar) mengambil keputusan pulang ke Liberia untuk bersama keluarga tersayang dan menamatkan kontraknya dengan Sabah FC.

Dia yang menyertai Sabah FC ketika kempen saingan Liga Super pada Februari lepas bermula menyatakan mahu berehat dari sukan bolasepak atas faktor keadaan keluarga di negaranya.

"Saya mahu pulang ke Liberia untuk bersama orang tersayang di sana ketika ini," katanya dalam posting di fb rasmi Sabah FC.

Ia sebagai penjelasan berhubung desas-desus yang tersebar mengenai dirinya di media sosial.

Sam berkata, tiada sebarang konflik antaranya dengan kelab Sabah FC.

"Memang benar saya tidak akan bermain bersama Sabah FC dalam pertemuan dengan Kedah Darulaman FC (semalam)," katanya.

Posisinya diambil alih penyerang baharu dari Croatia, Josip Ivancic atau lebih dikenali rakan-rakannya sebagai "Yoyo" yang menandatangi kontrak ketika jendela perpindahan dibuka bulan ini.

Tuan rumah mengalami kekalahan tipis 0-1 kepada Kedah Darulaman FC selepas perlawanan itu ditangguhkan kira-kira sejam akibat hujan lebat yang menyebabkan keadaan padang di Stadium Likas ditakungi air.

Pada masa sama, Sabah FC mengharapkan yang terbaik untuk penyerang itu agar dia terus diberi semangat dan kekuatan.

Perlawanan semalam adalah yang terakhir kerana semua pasukan Liga Super akan berehat panjang lebih sebulan sebelum saingan disambung semula.

Ivancic dalam aksi sulung bersama Sabah FC menentang Kedah Darulaman FC.

Khamis, 6 Mei 2021

SABAH FC BOLEH TERUS RAIH KEMENANGAN JIKA KONSISTEN

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) yakin Sabah FC boleh terus mencatat kemenangan jika pemain-pemain konsisten dengan corak permainan mereka sekarang.

Katanya, mereka perlu konsisten dengan strategi dan corak permainan mereka bagi membolehkan pasukan meraihkan kemenangan berterusan.

"Corak permainan pemain-pemain ketika ini khususnya dalam dua perlawanan di halaman sendiri meyakinkan kita untuk memenangi perlawanan lain selepas ini," katanya ketika diminta mengulas kejayaan Sabah FC menewaskan Melaka United FC 3-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Sebelum ini, Sabah FC turut mengutip tiga mata penuh ke atas pasukan Perak FC di Stadium Likas menyaksikan tuan rumah menang 2-1.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata Sabah FC sudah menemui rentak permainan yang menyakinkan dan diharap mereka terus konsisten dengan persembahan tersebut.

"Jika mereka konsisten dengan corak permainan sedemikian, kita yakin Sabah FC juga boleh mencatat kemenangan dalam pertemuan dengan KDA FC di Stadium Likas, Sabtu ini," katanya.

Sabah FC ketika ini menduduki tempat ketujuh dalam takhta Liga Super dengan mengutip 16 mata dari 12 perlawanan setakat ini.

Bekas pemain kebangsaan, Amri Yahyah, 40, menjadi perhatian penyokong apabila menyumbangkan tiga gol dalam dua perlawanan tersebut termasuk dua gol dalam perlawanan menentang Melaka United FC, malam tadi.

Sementara itu, Sabah FC juga dijangka mendapat khidmat penyerang baharu dari Croatia, Josip Ivancic sebaik sahaja ia mengikat kontrak ketika jendela perpindahan dibuka bulan ini.

Ivancic, 30, sudah berada di Kota Kinabalu dan dia dilihat menjalani latihan bersama skuad Sabah FC dan terbabit dalam pasukan bawah 22 tahun Sabah menghadapi dua perlawanan persahabatan dengan pasukan bawah 19 Sabah dan pasukan Tuaran.