Penyerang import dari Liberia, Sam Johnson (gambar) mengambil keputusan pulang ke Liberia untuk bersama keluarga tersayang dan menamatkan kontraknya dengan Sabah FC.
Dia yang menyertai Sabah FC ketika kempen saingan Liga Super pada Februari lepas bermula menyatakan mahu berehat dari sukan bolasepak atas faktor keadaan keluarga di negaranya.
"Saya mahu pulang ke Liberia untuk bersama orang tersayang di sana ketika ini," katanya dalam posting di fb rasmi Sabah FC.
Ia sebagai penjelasan berhubung desas-desus yang tersebar mengenai dirinya di media sosial.
Sam berkata, tiada sebarang konflik antaranya dengan kelab Sabah FC.
"Memang benar saya tidak akan bermain bersama Sabah FC dalam pertemuan dengan Kedah Darulaman FC (semalam)," katanya.
Posisinya diambil alih penyerang baharu dari Croatia, Josip Ivancic atau lebih dikenali rakan-rakannya sebagai "Yoyo" yang menandatangi kontrak ketika jendela perpindahan dibuka bulan ini.
Tuan rumah mengalami kekalahan tipis 0-1 kepada Kedah Darulaman FC selepas perlawanan itu ditangguhkan kira-kira sejam akibat hujan lebat yang menyebabkan keadaan padang di Stadium Likas ditakungi air.
Pada masa sama, Sabah FC mengharapkan yang terbaik untuk penyerang itu agar dia terus diberi semangat dan kekuatan.
Perlawanan semalam adalah yang terakhir kerana semua pasukan Liga Super akan berehat panjang lebih sebulan sebelum saingan disambung semula.
Ivancic dalam aksi sulung bersama Sabah FC menentang Kedah Darulaman FC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan