Loji rawatan air di Beaufort.
Oleh DATUK MURSHIDI ABD GHAFFAR
Masalah air di kawasan Parlimen Beaufort ini bukannya masalah baharu. Ianya merupakan masalah yang sudah berkurun lamanya. Sejak dari zaman British lagi sebenarnya terutamanya di daerah Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbok merupakan kawasan yang amat teruk sekali mengalami masalah ini.
Sejak kebelakangan ini ianya menjadi bertambah buruk lebih-lebih lagi pada musim banjir sekarang ini. Amukkan rakyat dengan sumpah saranah mereka macam sudah tidak dapat dibendung lagi.
Rakyat di kawasan ini sudah hilang sabar. Maka isu ketiadaan air ini ibarat lagu bangau oh bangau, pemimpin dan yang lain-lain terlibat masing masing saling salah menyalahkan. Ada Yang Berhormat (YB) cakap salah jabatan, orang jabatan cakap salah kerajaan termasuklah YB. Mereka sudah buat cadangan tetapi kerajaan yang bertanggung jawab menyediakan peruntukan.
Bagaimana mahu selasaikan masalah jika tiada peruntukan. Ianya memerlukan peruntukan yang besar. Ratusan juta ringgit kalau pun bukan billion ringgit. Jadi kata mereka adalah menjadi tanggungjawab YB-YB memohon peruntukan kepada kerajaan, kerajaan pula bertanggung jawab untuk memberikan peruntukan tersebut manakala jabatan pula akan melaksanakannya. Ada benarnya rungutan jabatan tersebut. Tetapi adakah alasan tersebut 100% tepat.
Mari kita berbalik kisah beberapa tahun mungkin sepuluh tahun yang lalu. Ini sepanjang pengetahuan saya. Sebelum pilihan raya ke-13, kerajaan pada masa tersebut dibawah Barisan Nasional (BN) telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk mengganti paip dari Kg Kayul ke Limbawang yang dikatakan menjadi punca masalah air di daerah Kuala Penyu dan Menumbok.
Susulan itu sebuah loji baharu juga telah dibina hasil cadangan daripada pihak jabatan air. Apa yang terjadi ialah bekalan air pulih seketika iaitu hanya untuk beberapa bulan sahaja. Selepas itu masalah sama kembali berulang. Di mana lagi silapnya?.
Penduduk terpaksa menadah air hujan untuk mendapatkan air bersih.- Gambar dari FB Lilkiplee Hj Kadir.Kali ini, pihak jabatan pula memberi alasan, kita kena ganti semua saluran paip-paip yang telah usang atau kecil kepada yang baharu. Tangki-tangki air juga perlu diganti atau diperbesarkan bagi menampung keperluan air yang semakin tinggi.
Selain itu pam-pam air yang selalu rosak di Kayul perlu diganti baharu dan ditambah jumlahnya. Jika ganti semua itu pun tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah air ini. Apa lagi?. Masalah loji air di Limbawang. Loji tersebut tidak dapat berfungsi ketika musim hujan lebat atau apabila air sungai melimpah kerana air sungai menjadi keruh dan banyak lumpur dan sisa-sisa kayu yang akan merosakkan mesin di loji.
Loji tersebut telah dibina tanpa ada retention pond di mana air dari sungai sebelum diproses disalurkan dulu ke kolam ini untuk menghilangkan lumpur dan benda-benda lain.
Hampir semua masalah ini berlarutan hingga ke hari ini. Yang kita nampak ada beberapa projek air sedang dilaksanakan di kawasan Menumbok tetapi projek tersebut akan menjadi sia-sia jika masalah utama di loji dan pam air di Kayul dan beberapa tempat lain tidak diperbaiki atau diganti.
Untuk menuduh YB-YB tidak berusaha sama sekali tidaklah begitu adil. Datuk Hajjah Azizah Mohd Dun selaku Anggota Parlimen Beaufort, Datuk Limus Jury sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu dan ketika itu Datuk Isnin Aliasnih merupakan Ketua Umno Bahagian Beaufort juga Adun Klias berjaya mendesak kerajaan BN supaya dapat menyalurkan peruntukan.
Lori-lori majlis daerah digunakan untuk mengangkut catuan bekalan air kepada penduduk.Peruntukkan ada, kerja-kerja pemilihan kontraktor pun sudah selesai. Malangnya sebelum projek berjalan kerajaan BN tumbang diambil-alih kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH). Semua projek projek tersebut di KIV dan ada yang di batalkan terus walaupun kesemua YB terbabit melompat menyertai parti kerajaan, maka sekali lagi rakyat seolah menjadi mangsa.
Kesimpulannya;
Jabatan air boleh disifatkan bersalah dalam hal ini kerana tidak menyediakan perancangan menyeluruh bagi mengatasi masalah tersebut.
YB-YB menjadi sasaran kemarahan sebab walaupun sudah bertukar parti tetapi tidak mampu juga menyelesaikan masalah. Masa bertambah kritikal apabila berminggu-minggu tidak ada air dan YB yang berkaitan pula tidak bertindak mencari jalan penyelesaian sementara seperti membekalkan air melalui lori-lori mengangkut air untuk keperluan penduduk terlibat.
Sehinggalah rakyat benar-benar marah. Ada saya dengar kosnya dikatakan tinggi. Jangan pula itu dijadikan alasan kerana rakyat bukan meminta dari poket YB tetapi kerajaan harus bersedia memberikan peruntukan untuk membekalkan air sementara untuk keperluan penduduk.
Air adalah keperluan asas yang penting begitu juga elektrik. Rakyat perlu minum, makan, mandi dan sembahyang bagi orang Islam. Bekerjalah untuk rakyat. Jika kerajaan tidak mendengar suara-suara YB baik fikirlah sesuatu demi kebaikan rakyat yang meletakkan anda di kedudukan anda sekarang.
Di pihak kerajaan, majoriti rakyat memilih kerajaan baharu dengan harapan hidup mereka akan menjadi lebih baik. Semua projek-projek kerajaan yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelumnyanya janganlah dibatalkan. Itu untuk kebaikan rakyat. Teruskan. Tengok apa jadi dengan kebodohan PH yang berdendam yang akhirnya merugikan rakyat. PH menjungkang sendiri.
Akhirnya bekerjalah untuk menyelesaikan masalah. Berhentilah menyalahkan sesama sendiri. Jika pengarah jabatan air itu benar-benar gagal melaksanakan tanggungjawab, tukarkan saja. Kuasa di tangan kamu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan