Isnin, 17 Mei 2021

KISAH INTERVIU BEKAS TYT KETIKA BERKHIDMAT PEGAWAI LPN

 
Bergambar bersama Tun Ahmadshah.

Tanpa dijangka, tiba-tiba saya terjumpa bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah di sebuah kompleks membeli-belah di ibu kota pada penghujung bulan Ramadan.

Saya menegur sapa Tun dan seperti biasa beliau pantas menjawap sungguh pun mungkin beliau tidak ingat saya lagi kerana terlalu lama tidak bertemu. Memang betul, beliau tidak perasan saya.

Lantas, saya memaklum beliau bahawa saya pernah menemuramah beliau pada pertengahan tahun 1980-an ketika itu beliau bertugas dengan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang pejabatnya terletak di bangunan Indrasabak.

Kebetulan saya baharu sahaja beberapa bulan bertugas sebagai pemberita di Sabah Times pada masa itu dan ia antara assignment awal yang diberikan editor kepada saya untuk menemubual pegawai tinggi LPN berhubung operasi lembaga itu di Sabah.

Sebagai seorang yang baharu dalam kewartawanan tentulah rasa gementar sentiasa ada di hati saya namun layanan baik dan mesra daripada seorang pegawai yang baik hati membuatkan saya berani pula mengajukan lebih banyak soalan kepadanya.

Saya beritahu Tun, sebenarnya saya takut-takut juga interviu beliau pada masa itu. Tetapi oleh kerana layanan baik itu menjadikan saya lebih berani dan yakin pula. Tun ketawa dan cerita saya itu seolah-olah membolehkan Tun dapat mengimbas kembali detik pertemuan di pejabat LPN itu suatu ketika dulu.

Tun kemudian sempat berkongsi banyak pengalaman ketika berkhidmat dengan LPN ketika itu yang menurut beliau, banyak pengalaman dan dugaan pahit manis dilaluinya.

Beliau turut menceritakan sebagai seorang budak kampung memang banyak rintangan untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

"Semua itu saya lalui dan alhamdulillah saya dapat berkhidmat dengan baik hingga tiba waktu persaraan,".

"Saya juga tidak pernah menjangka diberi peluang untuk menjadi TYT," kata beliau. Lantas saya memaklumkan Tun bahawa jika Allah mengizinkan, kita boleh menjadi apa sahaja, tiada yang mustahil.

Betul, tambah beliau.

Selepas lama juga bersembang dengan beliau, saya memohon untuk minta diri. Saya sempat mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada beliau dan isteri. Semoga kita dapat berjumpa lagi Tun.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan