Selasa, 21 Disember 2021

TKM BINCANG DENGAN KPLB PELAKSANAAN PROJEK LUAR BANDAR DI SABAH

Bung Moktar (dua kanan) mengadakan perbincangan dengan Ramlan di pejabat KPLB di Putrajaya.

KUALA LUMPUR--Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yakin banyak masalah dapat di atasi berhubung pelaksanaan projek luar bandar di Sabah terutama pelaksanaan bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar.

Katanya, ia berikutan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLD), Dato Ramlan Harun di pejabat kementerian berkenaan pagi tadi.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menyatakan perkara itu dalam satu hantaran di akaun facebooknya selepas beliau dan rombongan mengadakan kunjungan hormat dengan Ramlan di pejabatnya.

Bung Moktar bersama Lingkapo dalam perbincangan tersebut.

Turut bersama dalam rombongan beliau ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Jasmin Julpin dan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Datuk Edward Lingkapo.

"Dalam kunjungan itu, beberapa perkara termasuk pelaksanaan projek bekalan air luar bandar dan lain-lain telah dibincangkan,".

"Melalui perbincangan ini, saya yakin banyak masalah dapat di atasi dari segi pelaksanaan antaranya bekalan air luar bandar, elektrik dan jalan-jalan di luar bandar," katanya.

Ramlan menyatakan sesuatu ketika perbincangan itu sambil diperhatikan Jasmin.


Isnin, 20 Disember 2021

UMNO BEAUFORT ULANGI PENDIRIAN BERTANDING KERUSI TRADISI PARLIMEN BEAUFORT

Awang Aslee ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Beaufort.

UMNO Bahagian Beaufort mengulangi pendiriannya untuk bertanding di kerusi Parlimen P.177 Beaufort pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ketua bahagiannya, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata Parlimen Beaufort merupakan kerusi tradisi yang ditandingi UMNO setiap kali pilihan raya dan parti itu tidak akan berganjak dengan pendirian tersebut.

"Inilah pendirian bahagian untuk bertanding di kerusi tradisi parti di kawasan ini," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di Dewan DSP Dun Banir di sini pada Ahad. 

Menurutnya, pendirian untuk mempertahankan kerusi berkenaan juga sebagai memenuhi aspirasi akar umbi parti.

Awang Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, berkata kekuatan UMNO adalah kerana kesetiaan dan perjuangan ahli di peringkat akar umbi.

"Mereka adalah tunjang kekuatan dan kebangkitan semula UMNO dan ia adalah asas untuk kita menuntut kerusi Parlimen Beaufort ini ditandingi calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO," tegasnya.

Awang Aslee menerima borang permohonan menyertai UMNO daripada Judin Asli bersama 27 orang yang lain.

Pada pilihan raya umum lepas, kerusi Parlimen Beaufort dimenangi calon BN dari UMNO, Datuk Hajjah Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun namun kemudian telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Umno bahagian itu bagaimanapun mengingatkan ahli-ahli UMNO bahagian supaya terus memperkasakan jentera parti di semua peringkat termasuk cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi membolehkan sentiasa siap siaga menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

"Kita perlu bersiap sedia selain sentiasa setia kepada parti, mempunyai komitmen dan kekuatan. Ini merupakan faktor penting untuk kita menuntut kerusi tradisi parti di kawasan Parlimen Beaufort," ujar beliau.

Katanya, pendirian bahagian itu untuk kekal bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya umum akan datang merupakan salah satu usul pada mesyuarat perwakilan berkenaan.

Sementara itu, UMNO bahagian juga telah membuat ketetapan untuk terus menyokong kepimpinan Presiden parti, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.


Sabtu, 18 Disember 2021

UMNO SABAH PATUH KEPUTUSAN UMNO PUSAT

 
Bung Moktar berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian berkenaan.

UMNO Sabah mengambil pendirian yang sama dengan UMNO Pusat dalam menentukan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Ketuanya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata walaupun UMNO Sabah mempunyai autonomi namun ia hanya membabitkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, di peringkat Parlimen, keputusan tertakluk kepada UMNO Pusat kerana jawatan Perdana Menteri ditentukan oleh kepimpinan Pusat dan bukannya di Sabah.

"Pendirian UMNO Sabah seiring dengan Semenanjung. Autonomi yang berkaitan dengan kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya untuk PRN saja," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan, hari ini.

Ketibaan Bung Moktar diberi sambutan oleh ahli jawatankuasa pelaksana dan para perwakilan.

Mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi UMNO, Bung Moktar yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, memberitahu ia bergantung kepada keputusan Barisan Nasional (BN).

"Kalau mereka kata beryanding 25 kerusi Parlimen, 25 kerusilah," katanya.

Timbalan Ketua Menteri itu menambah, senarai calon parti itu untuk PRU-15 sudah dikenal pasti tetapi pihaknya akan membaut penilaian semula melalui satu kajian di setiap Parlimen bulan hadapan.

"Yang penting kita mahu ketengahkan calon yang menjadi pilihan rakyat," tegasnya.

Menurut beliau, UMNO Sabah juga akan mengetengahkan usul untuk memperkasakan parti dan Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.

Katanya, pemimpin UMNO tidak boleh bertelagah sesama sendiri sebaliknya semua pemimpin perlu sedar tanggungjawab dan peranan mereka dalam memperkukuhkan parti.

DSP NOR RAFIDAH KETUA POLIS DAERAH WANITA PERTAMA DI SABAH

Shahrudin menyerahkan dokumen kepada Nor Rafidah pada majlis serah tugas itu sambil disaksikan Jauteh (tengah).

Sabah mencipta sejarah apabila seorang pegawai polis wanita, Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Keningau yang baharu.

Nor Rafidah, bekas staf pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontijen Sabah menggantikan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Shahrudin Mat Husain yang akan berpindah ke Kota Belud untuk mengetuai pasukan itu di sana.

Penyerahan tugas antara Shahrudin dan Nor Rafidah diadakan di Bilik Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau kelmarin disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan beberapa pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Sabah.

Jauteh ketika ditemui kemudian mengesahkan Nor Rafidah adalah pegawai polis wanita yang pertama dilantik sebagai Ketua Polis Daerah.

"Kita berharap pelantikan ini akan menjadi motivasi kepada pegawai polis wanita lain bahawa mereka juga boleh dilantik ke jawatan sedemikian," katanya.

Menurut beliau, pihaknya memahami bukan mudah untuk mengetuai pasukan itu di Keningau namun kita harap Ketua Polis Daerah yang baharu itu mampu menghadapi cabaran tersebut.

Sementara itu, Nor Rafidah berharap akan mendapat kerjasama daripada masyarakat yang akan sentiasa mesra dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebagai wanita, ia bukan satu tanggungjawab yang mudah tetapi saya akan berusaha melakukan yang terbaik dan berusaha menggalas amanah yang diberikan kepada saya," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Polis Kontijen Sabah atas pelantikannya ke jawatan berkenaan.

 


Isnin, 13 Disember 2021

DUA MAYAT REMAJA YANG HILANG 21 TAHUN LALU DITEMUI

Kereta yang ditemui itu dikeluarkan dari Sungai Calfkiller.

Seorang YouTuber di Washington dilaporkan menemui mayat dua remaja Amerika Syarikat yang hilang 21 tahun lalu ketika menyelam di dasar Sungai Calfkiller di Tennessee, baru-baru ini.

Jeremy Beau Slides dari Exploring Wit Nug, sebuah saluran selam skuba menemui kereta jenis Pontiac Grand Am di dasar sungai berkenaan dipercayai terdapat mayat Erin Foster dan Jeremy Bechtel.

Pasangan remaja itu hilang pada 3 April 2000 ketika berusia 18 dan 17 tahun di bandar Sparta di Tennessee.

Pencarian remaja terbabit dihentikan selepas beberapa kali siasatan dan polis mengklasifikasikan cold case (kes tidak dapat diselesaikan) sehinggalah penemuan terkini oleh Slides pada 24 November lepas.

Slides yang terkenal dengan perkongsian video menyelam dan mencari objek serta orang hilang tiba di bandar itu pada awal November.

Video mengenai penemuan berkenaan telah ditonton lebih 250,000 orang dan mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada masyarakat bandar itu yang menghargai usahanya serta terharu apabila rakan mereka akhirnya dijumpai.

Dalam perkembangan berkaitan, polis yang dipetik USA Today mengesahkan kenderaan yang dikeluarkan dari sungai itu milik Foster dan terdapat rangka manusia di dalamnya.

Rangka manusia tersebut sudah dihantar ke makmal bagi menjalani ujian DNA, manakala kedua-dua keluarga sudah dimaklumkan mengenai penemuan berkenaan. -HM.