Rabu, 24 Ogos 2022

DUA PEMAIN LEGENDA MERIAHKAN PROGRAM KARNIVAL PELATIH TABS

KOTA KINABALU--Kehadiran dua pemain legenda negara, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani (gambar) turut memeriahkan program karnival bola sepak kanak-kanak TABS Safa Bandaraya di padang TABS SUKMA di sini, baru-baru ini.

Karnival siri kedua itu membabitkan penyertaan kira-kira 450 pemain yang berusia 12, 10 dan lapan tahun.

Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata pihaknya gembira atas kesudiaan kedua pemain legenda itu untuk hadir bersama  bagi menjayakan program karnival tersebut.

Katanya, ini sebagai tanda penghargaan kepada James dan Hassan yang banyak mengharumkan nama negara dan negeri dalam sukan bola sepak sebelum  ini, dengan harapan ada lagi pemain hebat seperti mereka dapat dihasilkan di Sabah.

"Walaupun kanak-kanak tidak mengenali mereka namun, ini salah satu usaha kita memperkenalkan mereka kepada generasi baharu, yang patut dicontohi kerana kecemerlangan mereka dalam sukan ini," kata Lokman.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata sumbangan kedua-dua pemain berkenaan dalam bola sepak negara sangat besar, sebab itu ia wajar dikenang dan dihargai malah mereka patut menjadi "lambang" kehebatan bola sepak di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya menyokong usaha yang diambil Setiausaha Agung SAFA, Datuk Dr Jelani Hamdan yang memberi ruang dan peluang kepada bekas pemain negeri untuk terlibat dalam badan bola sepak negeri, pasukan wanita mahu pun dalam pasukan junior Sabah FC ketika ini.

Selain James dan Hassan, bekas pemain negeri yang turut dilibatkan dalam pengurusan pasukan ialah Matlan Marjan, Suharmin Yusof, Zainizam Marjan, Rozaimi Abdul Rahman dan Bobby Gonzales.

"Pendekatan ini sangat baik kerana selain mengenang dan menghargai jasa mereka, ia juga satu usaha memanfaatkan pengalaman mereka dalam bola sepak sebelum ini," tegasnya.

Beliau juga berharap agar khidmat bekas pemain yang berpengalaman seperti mereka ini wajar terus dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha Sabah meningkatkan kualiti dalam sukan bola sepak.

"Kita wajar kenang jasa mereka dan menghargai penglibatan mereka, kalau bukan kita siapa lagi?", soalnya.

 

 

 

 

Isnin, 22 Ogos 2022

PROGRAM PEMBANGUNAN BERTERUSAN BANTU MAJUKAN BOLA SEPAK - DR JELANI

Dr Jelani memotong riben sebagai tanda perasmian karnival itu sambil diperhatikan David dan Lokman.

KOTA KINABALU--Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, program pembangunan bola sepak secara berterusan di peringkat akar umbi dapat membantu melahirkan ramai pemain berbakat di negeri ini.

Katanya, program pembangunan sedemikian boleh membantu memajukan sukan bola sepak.

"Kita perlukan program secara berterusan dari semasa ke semasa dan ia tentunya mampu mengetengahkan ramai bakat-bakat baharu," katanya ketika merasmikan Karnival bola sepak B12, B10 dan B8 TABS SAFA Bandaraya di padang TABS SUKMA di sini, kelmarin.

Aksi pemain B8 turut mendapat perhatian ibu bapa pelatih.

Jelani yang juga Pengarah Sabah FC menyifatkan karnival bola sepak siri dua anjuran TABS SAFA Bandaraya sebagai program yang baik untuk mengetengahkan pemain-pemain muda yang berbakat.

Menurutnya, melalui karnival sedemikian, pelatih-pelatih khususnya kanak-kanak dapat dikenal pasti bakat mereka untuk diberi bimbingan berterusan dalam sukan berkenaan.

"Ini kali kedua saya merasmikan karnival seumpama ini dan program ini sebenarnya sangat baik untuk pelatih-pelatih mendapat pendedahan," ujarnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa Sabah FC sendiri berkolaborasi dengan TABS melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam aspek program pembangunan bola sepak.

Dr Jelani ditemuramah RTM mengenai dengan program karnival itu.

"Melalui kolaborasi ini, di pihak Sabah FC akan sentiasa meneliti perkembangan dan keperluan yang wajar diberikan dari semasa ke semasa kepada TABS untuk menjayakan kerjasama tersebut," tambahnya.

Jelani juga berkata, sambutan memberangsangkan pemain terhadap karnival tersebut mungkin kerana ketiadaan aktiviti bola sepak diadakan dalam tempoh dua tahun lepas.

"Ini masa yang sesuai untuk mereka kembali aktif dalam program dan aktiviti bola sepak selepas terjejas akibat pandemik Covid-19 sebelum ini," katanya.

Turut hadir pada karnival itu ialah Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, timbalan pengerusi TABS Bandaraya, Lokman Sunggim, legenda bola sepak negara, Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani, Setiausaha SAFA Bandaraya Kota KInabalu, Juraidah Datuk Abdul Rahim, naib pengerusi TABS, S.A Ramlye dan setiausaha TABS, Amsir Abdullah.

Lokman (enam dari kanan) bersama sebahagian ahli jawatankuasa penganjur dan beberapa ahli jawatankuasa TABS Bandaraya.

 

 

Rabu, 17 Ogos 2022

PERSIDANGAN PARTI PENTING HADAPI PRU KE-15

KOTA KINABALU--Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar), berkata persidangan cawangan dan sayap parti, wanita, pemuda dan puteri yang sedang berjalan sekarang boleh menjadi platform penting bagi memperkasakan solidariti dalam parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Katanya, persidangan yang bermula Isnin lepas dan akan berakhir pada 18 September ini merupakan medan yang sesuai untuk memperkukuhkan parti.

"Justeru semua ahli perlu bersatu hati memberikan komitmen yang tinggi menjayakan mesyuarat di peringkat cawangan ini," katanya dalam satu perutusan beliau sempena dengan persidangan cawangan Umno di Sabah.

Menurut beliau, pemimpin dan ahli parti di peringkat akar umbi perlu memahami persidangan kali ini adalah platform untuk membincangkan agenda parti khususnya dalam menghadapi PRU ke-15 ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno meminta ahli-ahli parti membulatkan tekad dan semangat agar parti keramat itu sentiasa menjadi tunjang rakyat dalam menjunjung kepentingan bangsa, agama dan negara.

Tambahnya, persidangan kali ini juga boleh menjadi landasan untuk menangani segala permasalahan yang timbul bagi membentuk mentaliti positif untuk memenangi pilihan raya.

"Mentaliti dan semangat menang perlu dibentuk dalam diri setiap anggota parti,"

"Perkara yang penting juga dalam Umno, kita kena bersatu selain bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Ibarat dalam rumah tangga, kita perlu diperbetulkan terlebih dahulu," tegasnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa Umno akan sentiasa bekerjasama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang ada di bahagian masing-masing.

Walaupun mungkin bilangan ahli mereka lebih kecil tetapi pembabitan mereka dalam konsep berpasukan penting untuk memastikan kemenangan BN, ujarnya.

Bung Moktar menegaskan jawatankuasa BN seharusnya sudah dibentuk di bahagian masing-masing dari sekarang bagi membolehkan persiapan dapat diperkasakan lagi.

Selasa, 16 Ogos 2022

JANGAN SEKAT DEMOKRASI DALAM UMNO: BUNG MOKTAR

Bung Moktar bersalaman dengan seorang pemimpin Umno Melaka setibanya ke majlis tersebut.

KOTA KINABALU--Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mengingatkan pemimpin-pemimpin parti itu di semua peringkat supaya tidak menyekat mana-mana cawangan untuk bergerak aktif termasuk menghalang golongan muda dan profesional menyertai Umno.

Katanya, terdapat beberapa kes di beberapa bahagian, yang melakukan sekatan terhadap cawangan-cawangan termasuk menyekat mereka mengadakan mesyuarat perwakilan dan mengadakan aktiviti hanya kerana pemimpin di cawangan itu tidak sehaluan dengan pemimpin terbabit.

"Perkara ini memang ada berlaku di beberapa bahagian disebabkan pemimpin cawangan tidak menyokong kepimpinan bahagian menyebabkan cawangan tersisih dan tidak dapat mengadakan mesyuarat yang sepatutnya", katanya ketika merasmikan Program retreat Umno Negeri Melaka di Hotel Hilton di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh dan Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan.

Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah berkata perbuatan menyekat cawangan yang mungkin tidak sehaluan bukanlah amalan demokrasi yang sihat dalam parti malah bolah menjejaskan kekuatan parti.

"Alhamdulillah di Sabah, saya belum menerima laporan kejadian seperti ini. Bagaimanapun sekiranya berlaku tindakan tegas akan diambil termasuklah menggantung bahagian berkenaan," katanya.

Menurut beliau, pemimpin Umno perlu mengelak perbuatan sedemikian sebaliknya memberi keutamaan terhadap usaha untuk memperkukuhkan parti.

Bung Moktar menerima cenderahati daripada Datuk Seri Abd Rauf.

Beliau juga menyeru pemimpin parti itu supaya sentiasa bersikap positif dan tidak dibayangi ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat cawangan dan golongan muda serta profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan Umno itu sendiri.

Katanya, jika kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan sentiasa bekerja keras melaksanakan kerja-kerja parti, mereka tidak perlu gusar kehilangan jawatan kerana ahli akan terus menyokong mereka.

Mengenai program retreat Umno Melaka yang memilih Sabah sebagai lokasi program, Ketua Umno Sabah itu berharap pemukiman tersebut akan dapat memberikan inspirasi baharu kepimpinan Umno Melaka untuk mengukuhkan parti.

"Kita telah mengembalikan maruah Umno dengan kemenangan besar semasa pilihan raya negeri Melaka, solidariti perjuangan ini perlu terus dipertingkatkan."

"Harapan kita pemilihan Sabah sebagai lokasi program ini akan memberi cetusan idea baharu kepada pemimpin Umno Melaka memandangkan Sabah mempunyai sejarah perjuangan yang berliku selepas PRU ke-14 kerana ditinggalkan ramai pemimpin termasuk beberapa Anggota Parlimennya," ujar beliau.

Namun demikian kerana masih ada pemimpin Umno yang teguh dengan prinsip perjuangan, Umno Sabah bangkit semula dalam pilihan raya negeri ke-16 dan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, tambahnya.

Rabu, 3 Ogos 2022

TANGANI ANCAMAN BUAYA DI SUNGAI KINABATANGAN - BUNG MOKTAR

Jabatan Hidupan Liar diminta agar mengambil tindakan pro aktif untuk menangani ancaman buaya di Sungai Kinabatangan termasuk menangkap reptilia tersebut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar), berkata tindakan itu perlu diambil jabatan berkenaan bagi mengurangkan risiko yang dihadapi penduduk yang mencari rezeki di sungai tersebut.

Menurut beliau, pihaknya mahu pihak berkuasa mengambil tindakan serius bagi memastikan penduduk yang menggunakan Sungai Kinabatangan sama ada untuk laluan seharian atau sebagai lokasi mencari sumber pendapatan melalui aktiviti memancing tidak terancam.

Minggu lepas, seorang wanita maut dibaham buaya ketika keluar memancing di sebuah anak Sungai Kinabatangan di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya.

Mayat mangsa Norsila Sayong, 32, ditemui dalam keadaan tidak sempurna oleh penduduk kampung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian mangsa diserang reptilia itu.

Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan, berkata kejadian itu bukan yang pertama kali berlaku malah sudah ramai mangsa menjadi korban ekoran serangan buaya di sungai tersebut.

"Justeru tindakan segera untuk menangani masalah ini wajar dilakukan pihak berkuasa agar keselamatan penduduk di kawasan terbabit sentiasa terjamin," ujarnya.

Beliau juga menambah kerajaan perlu mengambil langkah dengan mewujudkan peraturan atau akta sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dalam menangani ancaman buaya di beberapa sungai yang ada di Sabah.

Katanya, ia termasuk usaha menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik untuk mengurangkan ancaman haiwan tersebut kepada manusia.

Mayat mangsa dibaham buaya sedang diangkat anggota bomba dan penyelamat di anak Sungai Kinabatangan, baru-baru ini.

Susulan kejayaan Malaysia menurunkan taraf kategori buaya daripada apendiks 1 kepada apendiks II pada Mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesis Flora dan Fauna Liar Terancam (CITIES) di Afrika Selatan, Anggota Parlimen Kinabatangan itu berharap keputusan tersebut akan membolehkan buaya di Sabah diburu dan diperdagangkan.

"Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan pihak berkuasa mengenai isu ini dan tindakan susulan dapat kita lakukan bagi mengurangkan populasi buaya di negeri ini demi menjamin keselamatan penduduk khususnya mereka yang tinggal di kawasan berhampiran sungai," tegas beliau.

Sambil mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa terbaru dibaham buaya di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya itu, Bung Moktar juga menasihati penduduk di kawasan terlibat supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai agar kejadian sedemikian tidak berulang.