Bung Moktar menerangkan sesuatu pada perjumpaan itu.
KOTA KINABALU--Jentera Barisan Nasional (BN) perlu berjuang habis-habisan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang disifatkan sebagai pilihan raya ibarat "hidup dan mati" sama ada BN dapat kembali memerintah negara atau sebaliknya.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata jentera BN di semua peringkat perlu menjadikan PRU-15 ini sebagai sesuatu yang serius dan berjuang semaksimum mungkin untuk memastikan calon-calon BN dan GRS menang di kawasan masing-masing.
Katanya, ini adalah penentu perjuangan hidup dan mati memandangkan berdasarkan pengalaman akibat kekalahan pada PRU-14, tiada yang menjangka bahawa BN boleh bangkit semula.
"Sewaktu PRK Kimanais tahun 2019 ketika Umno dan BN berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran, tiada siapa yang menduga kita mampu berhadapan dengan parti Warisan yang ketika itu menjadi kerajaan di Sabah."
"Namun dengan semangat juang yang tinggi serta ketentuan Allah S.W.T, BN mampu memenangi kerusi Parlimen berkenaan dan gelombang itu perlu kita perkasakan dalam menghadapi PRU-15 ini," kata Bung Moktar selepas mengadakan perjumpaan dengan sayap-sayap parti, wanita, pemuda dan puteri di Pejabat Umno Sabah di sini, kelmarin.
Bung Moktar pada satu mesyuarat dengan parti-parti komponen BN.Hadir sama Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Arifin, Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said, Ketua Umno Sabah, Datuk Jainab Ahmad, Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Abdul Aziz Julkarnain dan Ketua Puteri Umno Sabah, Datuk Dr Fadilah Sabri.
Menurut Ketua Umno Sabah itu, sayap-sayap parti, wanita, pemuda dan puteri tahu peranan masing-masing, justeru tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka perlu dilaksanakan sepenuhnya di kawasan masing-masing agar tidak diperdayakan pihak pembangkang.
"Wanita dengan Jalinan Rakyat (JR), pemuda dengan gerak gempurnya dan mendekati pengundi muda. Begitu juga puteri dengan informasi maklumat (IT) khususnya memainkan peranan di media sosial."
"Jika komponen ini dapat digemblengkan sepenuhnya sudah tentu usaha menawan hati pengundi akan menjadi lebih berkesan," ujarnya.
Bung Moktar berkata, Umno dan BN perlu beri penekanan semasa berkempen politik bahawa ia adalah parti yang sentiasa berkhidmat kepada rakyat dan bukan seperti pembangkang dengan politik fitnah, menghasut rakyat dan menabur janji-janji manis.
Beliau menambah dalam PRU-15 kali ini, jalinan kerjasama antara BN dan GRS sudah pun dipersetujui dan perjanjian secara bertulis akan dimeteraikan dalam tempoh terdekat.
Oleh itu, katanya, kedua pihak sama ada dari BN atau GRS perlu menghormati perjanjian dan kerjasama yang telah dipersetujui dengan harapan tiada elemen sabotaj yang pastinya akan menyumbangkan kepada kemenangan besar dalam pilihan raya ini bagi membolehkan penguasaan semula Putrajaya.