Aminah (dua kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada Amuilin, wakil Umno Sabah sambil diperhatikan Ag Aslee.
Oleh JAAFAR WAHID (SUA TKM).
BEAUFORT--Wanita Umno Bahagian Beaufort sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai komanden jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) di kawasan ini.
Ketuanya, Datuk Aminah Aching berkata, selaku sayap parti, mereka telah bersiap sedia sejak empat tahun lepas dan akan digerakkan bila-bila masa.
Menurut beliau, pucuk pimpinan tertinggi parti sudah mengamanahkan tugas kepada pergerakan wanita bahagian untuk melaksanakan tanggungjawab itu.
"Presiden parti (Datuk Seri Dr Zahid Hamidi) dan Ketua Umno Sabah (Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin) sudah memberikan peranan itu kepada sayap parti itu."
"Kita sudah bersedia pada bila-bila masa," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat perwakilan wanita bahagian di Dewan Pak Musa di sini.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ketua Umno bahagian, Datuk Ag Aslee Lakat dan turut dihadiri wakil Umno Sabah, Hajah Amuilin Junsin.
Statistik pemilih bagi Parlimen P.177 Beaufort.Ketika diajukan soalan sekiranya Umno atau Barisan Nasional (BN) diberikan peluang meletakkan calon di kawasan berkenaan pada pilihan raya kali ini, Aminah yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian, berkata ia lebih memudahkan gerak kerja jentera wanita yang sudah dibentuk membabitkan 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Kesemua PDM tersebut termasuk 12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan 12 lagi di DUN Klias.
"Kita telah bersedia sepenuhnya dan jentera wanita komited untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan dan kami (wanita) telah pun memperkemaskan jentera di setiap PDM berkenaan," katanya yang juga Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.
Mengenai ketetapan Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi Umno untuk memastikan 30 peratus yang bakal bertanding dalam PRU kali ini, Aminah berkata, ia merupakan langkah progresif dan dinamik bagi memastikan suara wanita diangkat dalam membuat keputusan merangka dasar dan menjadi wakil rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan