Sabtu, 8 Oktober 2022

SABAH FA AKAN SERTAI PIALA PRESIDEN DAN PIALA BELIA MUSIM DEPAN

Jelani menyepak bola sebagai tanda perasmian Kejohanan Piala SAMORA.

KOTA KINABALU--Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) akan menghantar pasukan untuk bertanding dalam Piala Presiden dan Piala Belia musim depan.

Setiausaha Agung Sabah FA, Datuk Dr Jelani Hamdan yang mengesahkan perkara itu hari ini, berkata Sabah FA telah menerima jemputan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan sudah memaklumkan badan bola sepak negara itu untuk menyertai pertandingan itu.

Katanya, Sabah FA akan mengambil bahagian dalam dua pertandingan itu, selain Sabah FC yang memang mempunyai skuad Piala Presiden dan Piala Belia sebelum ini.

"Kita akan menyediakan kedua-dua pasukan berkenaan kerana Sabah FA sudah mengesahkan penyertaan kepada FAM," katanya selepas merasmikan Kejohanan bola sepak Piala Samora bawah 12 dan 11 tahun di padang SUKMA di sini.

Sebanyak 40 pasukan membabitkan B12 dan B11 mengambil bahagian dalam kejohanan dua hari anjuran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dengan kerjasama Sabah FA itu.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Sabah FA, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif, David Wisom, Ahli Majlis Tertinggi Sabah FA, Mustapha Tuah, Pengarah Teknikal Sabah FA, Omar Maya Amat, dua pemain legenda Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Sabah FA, Lokman Sunggim.

Kelihatan Jelani, Azman, David, James dan Hassan bergambar dengan sebahagian pemain yang menyertai kejohanan itu.

Mengikut FAM, had umur pemain Piala Presiden 2023 adalah bawah 20 tahun manakala Piala Belia 2023 adalah bawah 18 tahun.

Ia berdasarkan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan FAM pada 1 September lepas yang telah menetapkan had umur baharu bagi kedua-dua pertandingan itu.

Jelani yang juga Pengarah Sabah FC memberitahu, tiada masalah bagi Sabah FA untuk menyertai kedua-dua pertandingan itu secara berasingan dengan Sabah FC memandangkan selaku badan bola sepak negeri, ia sudah mempunyai pengalaman untuk menyedia dan mengurus pasukan terutama Piala Presiden dan Piala Belia.

Lagi pun katanya, ia akan menawarkan lebih banyak peluang kepada pemain-pemain muda untuk terus mendapat pendedahan bagi meningkatkan prestasi permainan selain membuka peluang kepada jurulatih di negeri ini untuk memberi khidmat mereka.

"Ia juga salah satu pendekatan untuk membolehkan pemain-pemain muda berbakat yang dicungkil bakat mereka melalui program pembangunan bola sepak agar mereka mampu pergi lebih jauh dalam sukan bola sepak," ujar beliau.

Jelani berucap ketika merasmikan kejohanan dua hari itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan