Bung Moktar bersalaman dengan perwakilan setibanya untuk merasmikan mesyuarat tersebut.
SANDAKAN--Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mengingatkan pemimpin dan ahli parti itu agar mempertahankan parti dan kepimpinannya dari terus menerima tohmahan dan fitnah daripada pihak lawan.
Katanya, mereka mesti sentiasa peka dengan sebarang serangan negatif dan memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk mempertahankan dari segala bentuk tohmahan dan fitnah yang tidak berasas.
"Beri perhatian serius terhadap perkara ini terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15). Kita perlu menjawap segala kritikan dan sebarang tohmahan dalam media sosial supaya orang ramai mendapat gambaran yang sebenar," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan di sini.
Menurut beliau, Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu mengaplikasi perkembangan media sosial yang berperanan sebagai pembela parti dan rakyat bagi menangani pelbagai isu ketika ini.
Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata pada waktu ini, Umno dan BN harus memanfaatkan saluran media sosial untuk menjawap segala tohmahan, persepsi negatif yang sengaja ditimbulkan khususnya pembangkang kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran rakyat.
"Persepsi negatif jika dibiarkan ia boleh merosakkan pemikiran rakyat dan mereka boleh terpedaya dengan tohmahan dan fitnah yang sengaja disebarkan walaupun sebenarnya ia berniat sekadar memburukkan pemimpin dan parti," katanya.
Bung Moktar (tengah) bersama Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Bendahari Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir (kiri) pada mesyuarat bahagian berkenaan.Beliau menambah bahawa masa kini maklumat, makluman dan data secara formal kurang memberi tarikan kepada masyarakat namun lebih mudah terpedaya dengan segala serangan-serangan berbentuk fitnah dan propaganda.
Tambahnya, walaupun Umno dan BN kerap dijadikan sasaran dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan namun pendekatan yang wajar digunakan untuk menjawapnya hendaklah berasaskan kepada fakta.
"Oleh kerana itu, Umno dan BN perlu menjawab fitnah dan berita palsu yang kini berleluasa bagi membetulkan keadaan dan jangan biarkan ia menjadi persepsi yang buruk terhadap parti."
"Media sosial sebenarnya berperanan penting dalam menjana persepsi imej sesuatu parti. Ia lebih menjurus mendorong persepsi yang tidak baik sekiranya ia terus ditularkan dan dikongsi banyak kali oleh netizen," tegasnya.
Justeru, kata Bung Moktar, Umno dan BN terutama biro penerangan, pergerakan pemuda dan puteri perlu memainkan peranan menyampaikan maklumat dan dasar perjuangan parti kepada masyarakat secara lebih jelas, kreatif dan berfakta melalui media sosial seperti facebook, whatsapp, instagram dan tiktok.
Beliau juga meminta rakyat khususnya ahli-ahli parti jangan mudah mempercayai berita yang ditularkan di media sosial sebaliknya membuat penelitian dan menilainya dengan bijak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan