Jumaat, 21 Februari 2014

KEHADIRAN TIGA PELAJAR SABAH DINANTIKAN DI SMK MUTIARA IMPIAN



SELAMAT DATANG...jurulatih Cikgu Rakhi Mat Saad (kiri) membawa Radzee, Hizaz dan Sabre meninjau Stadium Mini SMK Mutiara Impian ketika mereka melaporkan diri di sekolah berkenaan.

PULAU PINANG: Tiga pelajar sekolah menengah dari Sabah yang terpilih memasuki Sekolah Sukan Negeri (SSN) Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian mendapat layanan baik daripada rakan-rakan pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan.

Kedatangan ketiga-tiga pelajar terbabit – Mohd Hizaz Lokman, Radzee S.A Ramli dan Mohd Sabre Fazree Awang Tashim memang ditunggu-tunggu oleh rakan-rakan baru mereka di sekolah ini, kata Cikgu Rakhi Mat Saad yang juga jurulatih pasukan bolasepak bawah 14 tahun sekolah berkenaan.

Menurutnya, beberapa pelajar yang mewakili pasukan bawah 14 tahun memang sudah mengenali mereka ketika ketiga-tiga pelajar tersebut mengikuti pemilihan pemain bolasepak sekolah itu akhir tahun lepas.

“Secara kebetulan SMK Mutiara Impian kehilangan enam pemain bawah 14 tahun kerana dipilih bermain di Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang di Gambang dan Frenz United.”

“Justeru kehadiran pelajar-pelajar dari Sabah ini mampu mengisi kekosongan itu kerana mereka pun boleh bermain dengan baik,” kata Rakhi.

Pemilihan ketiga-tiga pemain tersebut dilakukan oleh panel pemilih SMK Mutiara Impian yang diketuai oleh Noraffendi Taib.

Keratan akhbar yang melaporkan penampilan ketiga-tiga pelajar dari Sabah itu dalam pasukan SMK Mutiara Impian, SSN Pulau Pinang.

Rakhi memberitahu, sekolah itu juga terpaksa menangguhkan majlis perkhemahan yang dirancang pihak sekolah kerana semata-mata menanti kedatangan ketiga-tiga pelajar itu supaya mereka dapat bersama-sama menjayakannya.

Bagi penampilan pertama sehari selepas tiba di sekolah berkenaan,Mohd  Hizaz, Radzee dan Mohd Sabre telah disenaraikan dalam pasukan ketika mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan bawah 14 tahun daerah Kulim di Kedah pada Isnin lepas.

Perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 di mana gol tunggal SMK Mutiara Impian dijaringkan oleh Mohd Hizaz di separuh masa pertama.

Menurut Hizaz yang memakai jersi nombor 11, pada awalnya dia diberi peranan di posisi sayap kiri namun jurulatih Rakhi Mat Saad mendapati dia lebih menyengat jika diletakkan di bahagian serangan utama dan ternyata dia berjaya menghasilkan jaringan.

Dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Perlis petang tadi (Jumaat) di negeri Indera Kayangan itu, Hizaz sekali lagi membuktikan keupayaannya menjaringkan gol tunggal di separuh masa pertama bagi memastikan kemenangan1-0 memihak SMK Mutiara Impian.

Rakannya Radzee yang bermain di posisi tengah memakai jersi nombor 15 manakala Sabre yang beraksi di posisi bek kanan memakai jersi 25.

Jurulatih Rakhi Mat Saad, berkata pasukan sekolah itu akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bulan depan.

SMK Mutiara Impian merupakan juara bertahan Liga Super KPM.

Pasukan sekolah itu dijadual akan menentang pasukan SSM Pahang (Gambang) dalam perlawanan Piala Sumbangsih Liga KPM di Stadium Mini sekolah pada 8 Mac ini.

Rabu, 12 Februari 2014

GADIS JERMAN TERBUNUH DI PUNCAK GUNUNG KINABALU

Seorang pelancong warga Jerman berusia 22 tahun terbunuh selepas terjatuh kira-kira 30 meter dari puncak Low (Low's Peak) Gunung Kinabalu di Kundasang, Ranau pada Isnin lepas.
Adalah dipercayai ia merupakan kejadian pertama berlaku di puncak tertinggi gunung tersebut pada ketinggian 4,095 meter, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara itu.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Abdul Rahman Kassim mengenal pasti mangsa sebagai Viktoria Poulsen, seorang penuntut di Universiti Xiamen di China.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.00 pagi dan pihak polis dimaklumkan mengenainya jam 7.00 pagi.


Keadaan mayat Viktoria ketika ditemui pasukan penyelamat.

Mayat mangsa telah dibawa turun dan telah dihantar ke Hospital Daerah Ranau untuk bedah siasat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu, berkata pihaknya masih menunggu laporan dan beliau tidak dapat mengesahkan butiran lengkap insiden itu.

"Apa yang saya dapat katakan waktu ini, seorang pelancong Jerman berusia 22 tahun telah terjatuh di puncak Gunung Kinabalu dan terbunuh," katanya.

Menurut pandu pendaki gunung yang enggan namanya disebutkan, gadis itu melancong bersama seorang lelaki dipercayai berasal dari Norway.

 Mangsa dipercayai berdiri di puncak untuk sedia diambil gambar ketika mereka menunggu matahari terbit apabila dia tergelincir selepas terpijak batu rapuh di tepi dan terjatuh kira-kira 30 meter dari puncak berkenaan.

Ahad, 9 Februari 2014

TIGA PEMAIN REMAJA SABAH DITAWARKAN MEMASUKI SSN PULAU PINANG

MATASAN...Ketua jurulatih TABS Safa Bandaraya.
KOTA KINABALU: Tiga pemain remaja pasukan bawah 13 tahun Safa Bandaraya telah mendapat tawaran untuk memasuki Sekolah Sukan Negeri (SSN) di Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian bulan ini.

Mereka ialah Mohd Hizaz Lokman, Radzee S.A Ramli dari SMK Likas dan Mohd Syabre Fazree Awang Tashim dari SMK Datuk Peter Mojuntin.

Ketiga-tiga mereka dijangka berangkat ke Pulau Pinang selewat-lewatnya pada Khamis ini.



Gambar atas: Hizaz (kiri) dan Syabre (kanan) bersama rakan mereka, Enel yang berpeluang menjalani latihan singkat di Akademi Bolasepak Cardiff City, UK. Gambar bawah: Radzee S.A Ramli.

Dengan kemasukan mereka itu, mereka akan mewakili pasukan bawah 14 tahun sekolah sukan berkenaan dalam Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang dijadual bermula hujung bulan ini.

Dua lagi rakan mereka, Mohd Zainal Hasyir Hamid ditawarkan memasuki Sekolah Sukan SMK Datuk Peter Mojuntin manakala Enel Raudell Tan terpilih untuk mengikuti latihan selama dua minggu di Akademi Bolasepak Cardiff City di United Kingdom mulai 14 Mac ini.

Ketua jurulatih TABS Safa Bandaraya, Matasan Ahmad, memberitahu pemain remaja terbabit telah beraksi cemerlang dalam pasukan bawah 13 Safa Bandaraya dalam Kejohanan Belia Safa 2013, Piala Borneo dan Liga Bolasepak Remaja Kota Kinabalu tahun lepas.

Katanya, mereka merupakan tonggak dalam pasukan itu yang membolehkan pasukan menduduki naib juara kategori bawah 13 tahun Kejohanan Piala Belia Safa 2013, tempat ketiga Piala Borneo 2013 dan naib juara Liga Bolasepak Remaja Kota Kinabalu 2013.

"Pemilihan mereka ke sekolah sukan adalah peluang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana mereka sangat berbakat dan berpotensi untuk menjadi pemain yang berkaliber pada masa hadapan," katanya ketika ditemui di sini.

Matasan berkata, Safa Bandaraya yang diterajui Presidennya, Alijus Sipil akan terus mengenal pasti pemain-pemain muda yang berbakat untuk terus digilap dan seterusnya dapat diketengahkan bakat mereka sehingga berpeluang untuk menyarung jersi pasukan negeri dan kebangsaan.

"Kita memang mempunyai ramai pemain remaja yang mempunyai bakat dan TABS Safa Bandaraya akan memberi latihan berterusan dan pendedahan kepada mereka supaya mereka mampu meningkatkan keupayaan mereka dalam bolasepak," ujarnya.

Isnin, 23 Disember 2013

RM1 JUTA WANG TEBUSAN DIBAYAR SELAMATKAN WANITA TAIWAN?

Evelyn cuba ditenangkan pegawai pihak berkuasa Filipina selepas dibebaskan oleh penculik.

KOTA KINABALU: Sejumlah RM1 juta (US$300,000) dipercayai dibayar untuk menyelamatkan penculikan seorang wanita warga Taiwan, Evelyn Chang An-wei daripada kumpulan bersenjata Abu Sayaff yang berbahaya di Kepulauan Jolo, Selatan Filipina.

Sungguhpun para pegawai di Filipina dan Taiwan menyatakan bahawa An-wei, 58, yang diculik anggota kumpulan itu di Pulau Pom-Pom di Semporna, Sabah pada 15 November lepas telah berjaya diselamatkan, spekulasi berhubung bayaran wang tebusan itu telah disebar-luas oleh media Taiwan.

Abang wanita berkenaan, Richard Ta Kong tidak menolak spekulasi laporan media apabila beliau menyatakan, adiknya itu tidak diapa-apakan sepanjang penculikannya dan para penculik hanya mahukan wang.

Ta Kong yang berkomunikasi dengan anggota penculik dalam tempoh 36 hari adiknya itu diculik bagaimanapun tidak bercakap menjurus mengenai pembayaran wang tebusan dilakukan keluarganya kepada penculik bagi pembebasan itu.

An-wei yang suaminya Lim Min-hu, 57, ditembak mati oleh penculik ketika penculikan dilakukan di sebuah resort telah ditinggalkan keseorangan di luar kawasan hutan dekat sebuah perkampungan Talipao di Jolo ketika pasukan petugas Filipina menjumpainya kira-kira 4 petang Jumaat lalu hasil dari maklumat.

Pegawai Filipina yang biasa dengan operasi pembebasan tebusan menjelaskan Kumpulan Abu Sayaff biasanya akan membebaskan tebusan mereka sebaik saja ada persetujuan sejumlah wang dihantar melalui perantara.

Kumpulan itu dipercayai masih menahan sekurang-kurangnya sedozen termasuk dua warga Eropah yang telah diculik di wilayah Tawi-Tawi tahun lepas.

Ta Kong mengucapkan terima kasih kepada Polis Anti Penculikan Kebangsaan Filipina kerana membantunya untuk berkomunikasi dengan para penculik dan adiknya sepanjang penculikan itu.

Beliau yang turut berterima kasih dengan Polis DiRaja Malaysia dan polis Filipina atas kerja-kerja dalam misi menyelamat, berkata beliau telah mendapat bantuan keluarga kawan yang baik, Yu Ching yang dikenal pasti kemudian sebagai anak saudara Presiden Taiwan Ma Ying-jeou.

Yu Ching ialah bekas green beret yang mendapat latihan di Akademi Tentera Amerika Syarikat di West Point dan mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan termasuk membantu operasi ke atas Kumpulan Abu Sayaff.

An-wei yang dilaporkan sahabat baik isteri Presiden Taiwan ketika ini menjalani pemeriksaan perubatan di sebuah hospital di Taiwan memberitahu, dia lega dengan kesukaran yang dilalui dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertanggungjawab bagi pembebasannya.

Sabtu, 7 Disember 2013

SAYA BUKAN JURULATIH OLAHRAGA SAHAJA, KATA JURULATIH KKBS


KECERGASAN...jurulatih KKBS, Sulaiman Arman memberi latihan kecergasan kepada pemain-pemain bawah 13 tahun Kota Kinabalu di Stadium Likas.

Jurulatih dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Sulaiman Arman berkata dia bukan hanya seorang jurulatih olahraga tetapi juga boleh membantu memberi khidmat dalam bidang sukan lain termasuk bolasepak.

Katanya, memanglah secara kebetulan dia banyak terlibat dalam memberi latihan dalam olahraga sebelum ini namun ini tidak bermakna dia tidak boleh membantu memberi khidmat terutama memberi latihan kecergasan kepada pemain bolasepak.

"Ada pihak tersalah anggap bahawa saya cuma seorang jurulatih olahraga. Pada saya itu tidak tepat kerana saya juga berkeupayaan membantu memberi khidmat dalam sukan-sukan lain seperti bolasepak, hoki dan sepaktakraw."

"Kalau kita tengok sebelum ini saya juga pernah memberi latihan kecergasan kepada pemain-pemain bolasepak skuad negeri, maknanya saya pun boleh membantu dalam sukan-sukan lain juga," tegasnya.

Sulaiman menunjukkan bola khas yang digunakan untuk meningkatkan kecekapan menimang bola. 

Malah, kata Sulaiman, dia kini mempunyai beberapa peralatan bagi membantu pemain bolasepak seperti bola khas untuk menimang bola dengan lebih cekap, teknik penghantaran bola yang betul serta peralatan yang boleh digunakan bagi mengelecek bola dengan lebih bagus.

"Jadi saya fikir tidak wajar bagi sesetengah individu yang terbabit dalam bolasepak menganggap saya hanya sekadar jurulatih olahraga kerana saya juga sebenarnya boleh membantu dalam bidang sukan lain," ujarnya.

Bekas atlit lompat kijang itu yang memiliki Diploma Kejurulatihan dari Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF), berkata walaupun berkeupayaan membantu memberi khidmat dalam sukan-sukan lain, tetapi ia tidak perlu dihebohkan.

"Pada saya jika seseorang jurulatih mempunyai banyak pengalaman dan tidak terbatas kepada satu bidang sukan sahaja, ini adalah satu kelebihan dan ia haruslah dihargai," katanya.

Menurut Sulaiman, latihan kecergasan, kecekapan dari segi teknik serta kepantasan mengelecek adalah penting bagi seseorang pemain bolasepak umpamanya kerana ia akan memberi kelebihan terhadap seseorang pemain itu apabila beraksi di padang.

 "Sebab itu secara peribadi saya tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain bolasepak," katanya.

Mengimbas kembali kejayaannya sebagai jurulatih tukul besi negara, Sulaiman berkata, peserta bagi acara itu, Wong Tee Kue pernah merangkul pingat emas Sukan Sea pada tahun 2001.

"Kalau tak silap saya, peserta tukul besi negara pernah memenangi pingat emas di Sukan Sea sebanyak tiga kali sejak tahun 1993 dan secara kebetulan sepanjang tempoh itu, saya menjadi jurulatih dalam acara tersebut," katanya.

Sulaiman memerhati peralatan untuk digunakan bagi latihan kecergasan kepada pemain bolasepak.

Ketika ditemui di pejabatnya di Stadium Likas di sini, Sulaiman turut menunjukkan pelbagai peralatan sukan yang membuktikan dia boleh membantu memberi perkhidmatan kejurulatihan dalam sukan-sukan lain.

Jurulatih itu tidak bersetuju jika dia dilabelkan sekadar seorang jurulatih olahraga sahaja kerana menurutnya dia boleh memberi khidmat dalam aspek kecergasan kepada pemain-pemain dalam sukan lain.

"Saya sendiri tidak faham ada orang tertentu beranggapan saya hanya layak menjadi jurulatih olahraga yang pada saya, ia tidak seharusnya begitu."

"Anda boleh lihat peralatan yang ada di pejabat saya seperti bola khas untuk menimbang bola, peralatan untuk membantu mengelecek bola selain peralatan untuk membantu melakukan penghantaran bola dengan tepat. Dengan semua peralatan ini, saya juga boleh membantu pemain bolasepak dalam latihan mereka," katanya.

Sabtu, 2 November 2013

ROMBONGAN UPKO BEAUFORT SERAH SUMBANGAN KE RUMAH ANAK YATIM AL-AMAN


Fredolin menyampaikan sumbangan peribadi kepada penghuni Rumah Anak Yatim Al-Aman.

BEAUFORT: Rombongan Upko Bahagian Beaufort yang diketuai timbalan ketua bahagiannya, Fredolin Penggo menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 45 penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Al-Aman di Bingkul di sini, Jumaat lepas.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Upko Bahagian Beaufort turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kakitangan rumah anak yatim berkenaan.

Kakitangan rumah berkenaan, Ustaz Nizam Sulaiman memberitahu, penghuninya terdiri para pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah, kebanyakkannya dari sekitar kawasan Beaufort selain ada juga dari daerah lain seperti Pitas dan Kuala Penyu.

Menurut beliau, pihaknya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rombongan ahli perniagaan itu yang sudi menghulurkan sumbangan tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim, pegawai penerangan Upko bahagian, Jafari Kunin, ahli jawatankuasa Upko bahagian, Jain Haji Bisnin dan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Beaufort, Jefridin.
Rombongan Upko Bahagian Beaufort bergambar bersama penghuni dan kakitangan rumah tersebut.

EMPAT DARI SABAH TERPILIH KE SEKOLAH SUKAN MUTIARA IMPIAN DAN GAMBANG


TERPILIH...dari kiri; Enel, Radzee, Hizaz (lima dari kiri) dan Sabri.

PULAU PINANG: Empat pemain bolasepak bawah 13 tahun dari Sabah terpilih memasuki di dua sekolah sukan - SMK Mutiara Impian di sini dan sekolah sukan Gambang di Pahang Darulmakmur selepas berjaya dalam ujian pemilihan yang dijalankan di SMK Mutiara Impian di sini, baru-baru ini.

Mereka yang dipilih ke SMK Muitiara Impian ialah Mohd Hizaz Lokman, Sabri Tashim dan Radzee S. A Ramli manakala rakan mereka, Enel Raudell Tan dipilih memasuki sekolah sukan Gambang.

Ujian pemilihan selama tiga hari itu disertai lebih 200 pemain dari seluruh negara.

Pihak pengurusan SMK Mutiara Impian memaklumkan bahawa mereka yang dipilih memasuki sekolah berkenaan akan dikehendaki melaporkan diri pada Februari tahun depan.

"Ibu bapa semua pemain terbabit akan dihubungi dalam masa terdekat," kata seorang jurucakap sekolah tersebut.

Menurutnya, secara kebetulan, pengetua sekolah ketika ini sedang mengerjakan ibadah haji di Mekah dan dijangka kembali ke tanah air pada pertengahan November ini. 

Katanya, keputusan muktamad berhubung pemilihan pemain terbabit akan dibuat selepas pengetua kembali bertugas kelak.

AKSI...Hizaz (jersi biru) ketika beraksi dalam Kejohanan Piala Borneo bawah 13 tahun di Stadium UMS. 

Ketika ditemui di sini selepas pengumuman keputusan pemilihan itu, Mohd Hizaz, berkata dia sangat gembira kerana impiannya untuk memasuki sekolah sukan terbaik di negara ini telah tercapai.

"Apabila saya mendapat peluang menyertai ujian pemilihan di sekolah ini, saya berikrar pada diri saya untuk melakukan yang terbaik dengan mempamerkan keupayaan sebenar."

"Saya bersyukur kerana semua rakan-rakan saya turut terpilih termasuk dua di sini dan seorang lagi berjaya ke Gambang," ujarnya.

Penyerang kidal itu berkata, mereka berempat dari Sabah memang berazam supaya berjaya dalam pemilihan itu.

Katanya, dia meminati bolasepak sejak usia tujuh tahun dan mahu pergi lebih jauh dan keinginan ini mendorongnya untuk memasuki SMK Mutiara Impian.

"Saya tahu SMK Mutiara Impian merupakan sekolah sukan terbaik dan mereka adalah juara kategori bawah 14 tahun Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)," katanya.

Menurut Hizaz, dia juga gembira kerana diberi peluang oleh jurulatih menjadi pemain kesebelasan utama pasukan bawah 13 tahun sekolah ini menentang pasukan bawah 14 tahun sekolah sama dalam satu perlawanan persahabatan pada hari kedua pemilihan.

Ayah kepada Enel, Danny Tan memberitahu, beliau berpuas hati semua pemain dari Sabah telah membuktikan kebolehan mereka dan menarik perhatian jurulatih untuk memilih mereka.

"Kita bangga dengan bakat mereka. Walaupun anak saya dipilih ke sekolah sukan Gambang namun peluang itu mestilah dimanfaatkan," katanya.