Sabtu, 16 Mac 2019

PIP BRUNEI DARUSSALAM ADAKAN SIRI PERLAWANAN PERSAHABATAN DENGAN TABS


Rombongan PIP Brunei Darussalam bergambar dengan para pegawai TABS Safa Bandaraya.
KOTA KINABALU: Program Pembangunan Bolasepak Projek Ikan Pusu (PIP) Brunei Darussalam dalam rangka lawatan empat hari ke Sabah untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan Tunas Asas Bolasepak Sabah (TABS) Safa Bandaraya di padang sintetik Kompleks Sukan Likas di sini mulai petang Sabtu. 

Perlawanan persahabatan itu membabitkan kategori umur 15 tahun, 14, 13 dan 10.

Rombongan seramai 69 orang itu yang diketuai Rosmawati Haji Mohd Pengiran Salleh tiba di Stadium Likas pada Jumaat disambut Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim, Naib Pengerusi, Matasan Ahmad, setiausaha Puan Juraidah Abdul Rahim bersama beberapa jurulatih.

Lokman memberitahu, ini merupakan kunjungan kali pertama PIP ke negeri ini untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan.

Sambil mengalu-alukan kunjungan rombongan dari negara jiran itu, beliau berharap siri perlawanan persahabatan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Lokman memberi penerangan kepada rombongan PIP di Stadium Likas.
Menurut beliau, pihaknya gembira dengan program tersebut memandangkan program pembangunan bolasepak PIP yang wujud sejak 19 tahun itu di negara Brunei Darussalam akan dapat berkongsi pengalaman dengan mereka dalam soal pembangunan bolasepak di peringkat akar umbi.

"Perkongsian pengalaman seumpama ini membolehkan TABS juga dapat meningkatkan kualiti program pembangunan bolasepak akar umbi yang dijalankan ketika ini," katanya.

Lokman turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan SAFA Pusat kerana memberi kerjasama baik untuk menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Ketua jurulatih PIP, Haji Omar Jamil berkata, rombongan mereka akan berada di Sabah selama empat hari dan siri perlawanan persahabatan dengan TABS ini sebagai usaha memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda dalam akademi mereka.

PIP merupakan program pembangunan bolasepak utama di Brunei Darussalam dan membantu melahirkan beberapa pemain untuk menganggotai skuad kebangsaan negara berkenaan.
Para pegawai TABS ketika bersama rombongan PIP Brunei Darussalam merakam kenangan di Stadium Likas.


Selasa, 19 Februari 2019

SHAFIE AKUI TIDAK DAPAT HALANG BERSATU BERTAPAK DI SABAH

Presiden parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal (gambar) mengakui tidak dapat menghalang keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melebarkan sayapnya ke Sabah.

Ketua Menteri itu, berkata, "kita tidak boleh menghalang mereka atau mana-mana parti. Undang-undang kita membenarkan parti-parti baharu dibentuk".

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pendirian partinya (Warisan) sangat jelas dan hala tuju parti mereka.

Shafie yang sebelum ini berharap agar Bersatu tidak masuk ke Sabah, berkata, partinya telah bekerjasama dengan Pakatan Harapan sebelum dan selepas pilihan raya umum, membentuk kerajaan Persekutuan bersama-sama.

"Kami akan terus bekerjasama dengan mereka untuk kepentingan rakyat," katanya sebagai respon kenyataan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Bersatu Cawangan Sabah akan diwujudkan tidak lama lagi dan pemimpin yang mengetuainya akan ditentukan kemudian.
Tun Dr. Mahathir dalam sidang media mengenai keputusan Bersatu untuk melebarkan sayap ke Sabah.

Dr Mahathir dipetik sebagai berkata, kemasukan Bersatu ke negeri ini bukan untuk mencabar Warisan pimpinan Shafie sebaliknya untuk membantu mengukuhkan kerajaan negeri yang diterajui Warisan.

Ketua Menteri berkata, beliau memahami perasaan penyokong-penyokong Warisan dan rakyat Sabah berhubung keputusan Bersatu itu dan beliau menasihati mereka supaya mengawal emosi.

Shafie juga berikrar bahawa mereka akan terus mentadbir kerajaan sebaik mungkin dan memastikan hak-hak Sabah dikembalikan dan disahkan mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal menjadi keutamaan mereka.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Warisan dan Bersatu berunding susulan pendirian Bersatu untuk masuk ke Sabah.

Katanya, ini bagi mengelak salah faham kedua-dua parti berkenaan.

Ahad, 10 Februari 2019

SABAH BUKA TIRAI SAINGAN PIALA PRESIDEN HADAPI PERLIS 21 FEB


Justin memberi kata-kata semangat kepada pemain dalam perlawanan dengan pasukan Tuaran.
Jurulatih skuad Piala Presiden Sabah, Justin Ganai semakin hampir memperoleh senarai pemain yang akan membarisi kesebelasan utama pasukan bagi menghadapi saingan Piala Presiden 2019 yang dijadual bermula pada 21 Februari ini. 

Berpandukan ujian menerusi beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan, Justin yang pernah menggendalikan skuad senior Sabah sebelum ini sudah dapat bayangan pemain-pemain terbaik yang beliau perlukan bagi menggalas cabaran pasukan. 

Beliau mungkin hanya memerlukan satu atau dua perlawanan persahabatan sahaja lagi sebelum memuktamadkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan menentang pasukan Perlis ketika membuka tirai kempen Piala Presiden musim ini di Stadium Likas minggu hadapan. 

Jika diukur daripada lima perlawanan persahabatan yang sudah diadakan sebelum ini, jurulatih itu sebenarnya sudah mempunyai senarai pemain ditangannya yang bakal diturunkan dalam perlawanan pertama di halaman sendiri itu.

Secara kebetulan pasukan bimbingannya itu telah berjaya memenangi kelima-lima perlawanan persahabatan dengan terakhir meraih kemenangan besar 9-0 ke atas pasukan Tuaran di padang Sintetik Kompleks Sukan Likas, petang kelmarin.

Mereka mendahului lawan 4-0 pada separuh masa pertama sebelum terus mengasak dengan menghasilkan lima gol lagi di babak separuh masa kedua.
Barisan skuad Piala Presiden dalam perlawanan dengan Tuaran.
Dalam perlawanan menentang pasukan Kota Belud di padang SUKMA pada Khamis, pasukan kendalian Justin  itu membelasah pasukan pelawat juga 9-0.

Pasukan junior dengan maskot baharu,Tambadau itu menjaringkan lima gol di separuh masa pertama dan terus mengasak dengan menambah empat gol lagi di saingan babak kedua. 

Selasa lepas, skuad Piala Presiden turut menewaskan pasukan KDM Kota Marudu 2-0 juga di padang SUKMA.

Sebelum ini, dalam perlawanan persahabatan serupa, skuad Piala Presiden itu juga mengalahkan pasukan JKR 8-0 dan menewaskan skuad Piala Belia Sabah 3-1.
Asakan pemain-pemain skuad Piala Presiden ke gawang lawan.
Melalui perlawanan-perlawawan persahabatan tersebut sekurang-kurangnya Justin bersama penolongnya Johnny Dominicus sudah memiliki skuad terbaik yang mampu dicaturkan dalam saingan Piala Presiden musim ini terutama bagi menghadapi pasukan Perlis dalam perlawanan pertama Kumpulan A di Stadium Likas.

Selang empat hari kemudian, Sabah akan melayan pula kunjungan Pahang di Stadium Likas sebelum mereka beraksi di luar menghadapi UITM FC di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor pada 28 Februari ini.

Untuk rekod, Sabah berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Presiden musim lalu dan memenangi pingat gangsa Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak tahun lalu.


Isnin, 28 Januari 2019

SABAH KEKALKAN KHIDMAT PEMAIN MUSIM LALU

Datuk Seri Shafie berbual dengan Rawilson, ketua pasukan Sabah sambil diperhatikan pemain-pemain lain. Turut kelihatan Datuk Peter Anthony. (Gambar ehsan; The Rhinos Troops)

Sabah mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim ini yang dijadual bermula awal bulan hadapan.

Mereka yang dikekalkan ialah ketua pasukan, Rawilson Batuil, Azizzan Nordin, Sabri Sahar, Rozaimi Rohim, Robson Rendy Rining, Mohd Sakri Masri, Dendy Lowa, Jenius Karib, Ummareng Bachok, Randy Baruh, Rico Nigel Milus, Maxius Musa, Mohd Azwan Abdul Fattah, Alto Linus, Rahman Shah Marajeh, Stanley Sulong, Sulaiman Elias dan Evan Wensley. 

Ketua jurulatih, Jelius Ating turut menaikkan dua pemain dari skuad Piala Presiden musim lalu, Ranilson Batuil, adik kepada ketua pasukan Sabah dan Mohd Syukri Baharun menganggotai skuad Liga Perdana musim ini.

Jelius juga membawa balik bekas pemain Piala Presiden Sabah, Muhammad Mohd Safar yang bermain dengan pasukan PKNP FC (Perak) musim lepas.
                                       Jelius dan penolongnya Burhan Ajui.
Hanya tiga pemain tempatan tiada dalam senarai skuad kendalian ketua jurulatih itu termasuk Leopold Alfonso Otong dan Darwira Sazan dari Pulau Pinang yang digugurkan. Pemain muda Mohd Aidil Safee pula diturunkan ke skuad Piala Presiden.

Leopold ketika ini bermain untuk pasukan Semporna dalam Liga Bolasepak KDM Malaysia yang bermula bulan ini manakala Darwira difahamkan sudah kembali ke Pulau Pinang.

Bagi pemain import, Sabah masih mengekalkan khidmat pemain penyerang, Rodoljub Paunovic yang kontraknya hanya akan berakhir pertengahan musim ini.

Tiga lagi pemain import musim lalu, Hector Ramos dari Puerto Rico, Francis Kasonde (Zambia) dan Keisuke Ogawa (Jepun) telah menamatkan kontrak mereka akhir musim lalu dan tidak diperbaharui.

Sehingga ini, skuad Sabah yang kini dikenali dengan maskot baharu Tambadau (Seladang) belum lagi lengkap sepenuhnya dan masih mencari pemain import yang baharu.

Pada majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Sabah musim 2019 di sebuah hotel di Kota Kinabalu, pemain dari Korea Selatan, Park Tae Su dilihat bersama dua lagi pemain import hadir bersama-sama dengan pemain Sabah yang lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal yang menyempurnakan majlis tersebut melahirkan harapan bahawa pengurusan baru Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) dibawah kepimpinan Pemangku Presidennya, Datuk Peter Anthony akan memberi nafas baharu kepada badan bolasepak itu.

Katanya, dengan hala tuju baharu yang dirancang SAFA akan memastikan Sabah bukan sahaja mampu memiliki pasukan yang mencabar malah mempunyai pengurusan yang telus demi manfaat sukan bolasepak di negeri ini.
                Maskot baru pasukan, Tambadau menggantikan Sang Badak (Rhinos).


Khamis, 24 Januari 2019

SABAH MASIH MENCARI PENYERANG IMPORT

VINICIUS...pemain dari Brazil.
Sabah masih memburu pemain penyerang untuk disenaraikan dalam pasukan bagi menghadapi Liga Perdana musim 2019 yang akan bermula bulan hadapan.

Penyerang import dari Molova, Petru Leuca yang diuji jurulatih Jelius Ating melalui perlawanan persahabatan dengan kelab Stallion FC di Manila selasa lepas mungkin terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan.

Meskipun penyerang berusia 27 tahun ini berjaya menjaringkan satu gol untuk membantu Sabah mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Stallion FC namun kecederaan yang dialaminya memaksa Sabah mencari pemain penyerang yang lain.

Ekoran perkembangan itu, Jelius (gambar bawah) dijangka akan meneruskan usaha pencarian pemain penyerang yang sesuai untuk disenaraikan dalam pasukan.
Menurut laporan media tempatan, jurulatih itu dijangka akan menguji seorang lagi penyerang dari Brazil, Vinicius Calamari, 30, yang akan menyertai Sabah pada khamis dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Kaya FC, naib juara Liga Bolasepak Filipina musim lepas.

Bersama Calamari beraksi dalam perlawanan persahabatan kedua di Carmona, Cavite, Filipina itu ialah pemain dari Korea Selatan, Park Tae Su yang juga bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Stallion FC dua hari lepas.

Jelius berharap kedua-dua pemain tersebut dapat menunjukkan prestasi sebenar mereka dalam perlawanan berkenaan, lebih-lebih lagi perlawanan persahabatan kedua ini lebih mencabar berbanding perlawanan sebelum ini.

Sabah akan memulakan kempen Liga Perdana 2019 dengan menghadapi JDT II di Stadium Likas pada 2 Februari ini, jam 8.15 malam.

Sabtu, 17 November 2018

ALIJUS LETAK JAWATAN PRESIDEN SAFA ...tamparan hebat kepada sukan b-sepak negeri

Sukan bolasepak di negeri ini menghadapi tamparan hebat ekoran peletakan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil (gambar) selepas tiga bulan menerajui badan bolasepak itu.

Difahamkan beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatan itu awal minggu ini.

Alijus mengesahkan perkara tersebut kepada akhbar New Sabah Times, yang menyiarkan berita peletakan jawatannya sebagai tajuk utama halaman sukan akhbar itu, hari ini.

Beliau memberi alasan mengambil keputusan itu kerana ingin menumpukan perhatian terhadap tugasnya sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Bagaimanapun, kepimpinan SAFA difahamkan belum memanggil mesyuarat untuk memutuskan pendirian yang diambil Presiden mereka itu.

Para penganalisis sukan mengibaratkan situasi SAFA ketika ini seperti kapal yang mahu tenggalam tanpa pengemudi.

Perkembangan terbaru ini tidak syak lagi boleh menjejaskan persediaan Sabah untuk menghadapi Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia musim depan sekiranya tiada usaha dilakukan pihak kerajaan negeri untuk membantu menyelamat badan bolasepak berkenaan.

Ketiga-tiga pasukan tersebut difahamkan akan memulakan persiapan selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini iaitu sebaik sahaja selesainya saingan grand final Piala SAFA 2018 bermula 19 November hingga 24 November ini.

Sebelum ini, Haji Hamid Apdal, adik Ketua Menteri, Datuk Shafie Apdal juga meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden 1 selepas empat hari memenangi jawatan tersebut.

Namun begitu, difahamkan Anggota Majlis Tertinggi SAFA dalam mesyuaratnya menolak peletakan jawatan beliau yang bermakna Hamid, 52, masih kekal sebagai Timbalan Presiden 1 bersama Datuk Rahman Zakaria selaku Timbalan Presiden II.
                                         Laporan akhbar New Sabah Times.

Rabu, 3 Oktober 2018

SABAH BURU KE FINAL PIALA MALAYSIA

Jurulatih Jelius Ating menyatakan sesuatu kepada kapten Rawilson Batuil.

Selepas 11 tahun berlalu, Sabah kembali ke pentas saingan Piala Malaysia, detik yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat-peminat bolasepak Sabah.

Kejayaan melangkah ke separuh akhir mengetepikan pasukan Kelantan di suku akhir mengembalikan keyakinan para penyokong yang sekian lama dahagakan kemenangan.

Meskipun tewas 1-2 di Kelantan dan menang 1-0 di Stadium Likas memadai buat Sabah, pasukan Liga Perdana menempah tiket ke separuh akhir berdasarkan peraturan permainan dengan kelebihan tanpa bolos di tempat sendiri.

Sabah akan menghadapi Perak di separuh akhir pertama di Stadium Perak di Ipoh pada 7 Oktober ini dan melayan kunjungan lawan di separuh akhir kedua di Stadium Likas pada 21 Oktober ini.

Jurulatih Sabah, Jelius Ating menyifatkan kejayaan itu sebagai membuka peluang kepada pasukan untuk mencipta sesuatu yang istimewa dalam saingan kali ini.

Peluang sekarang terbuka untuk kami melangkah ke final. Soalnya sekarang apa yang kami mesti lakukan untuk dapat menempuhi halangan ke sana, katanya.

"Kami perlu meneliti kelemahan yang ada. Kami harus mengenal pastinya dan cuba untuk meningkatkan keupayaan dan kualiti permainan jika ingin pergi jauh dalam saingan ini," ujar beliau.

Menurut jurulatih itu, komitmen yang ditunjukkan pasukan selain sokongan padu lebih 20,000 penonton dalam perlawanan suku akhir di Stadium Likas merealisasikan harapan untuk mengatasi Kelantan.
Bekas pemain legenda negara, James Wong (gambar) berharap Sabah akan meneruskan cabaran mereka apabila bertemu Perak di separuh akhir secara timbal balik.

"Secara terus terang sebenarnya saya tidak menjangka Sabah pergi lebih jauh. Apabila mereka layak ke saingan Piala Malaysia, pada saya ia sudah satu bonus untuk mereka," katanya.

"Mereka sampai ke tahap ini, ia adalah pencapaian hebat mengambil kira mereka berada dalam kumpulan kuat yang antaranya dianggotai Pahang dan Selangor," tambah beliau.

Beliau percaya Sabah mampu melakukan yang terbaik untuk mara ke perlawanan akhir buat kali keempat.

Sebelum ini, Sabah pernah melayakkan diri ke final Piala Malaysia pada 1996, 2002 dan 2003.
Para penyokong Sabah yang membanjiri Stadium Likas mengibarkan bendera memberi sokongan padu kepada pasukan.