Jumaat, 12 Oktober 2012

KM MAHU JENTERA PILIHAN RAYA DIPERHEBATKAN


KOTA KINABALU-- Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman (gambar) mahu semua ketua bahagian Umno di Sabah memperhebatkan jentera masing-masing dalam usaha meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau juga mahu semua bilik operasi berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Umno Sabah sedang giat menganjurkan mesyuarat dan kursus di setiap daerah mengundi bagi memperkemas persediaan parti, dan setakat ini separuh daripada 25 bahagian sudah mengadakan mesyuarat dan kursus masing-masing, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Sabah, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Setiausaha badan itu Datuk Yahya Hussin, Bendahari Umno Sabah Datuk Hajiji Noor dan Ketua Penerangan Datuk Sapawi Ahmad.

Pada pilihan raya umum lepas, BN Sabah yang ditunjangi Umno hampir menyapu bersih 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 25 kerusi Parlimen dan hanya tewas di kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau) dan Parlimen Kota Kinabalu.- Bernama.

Sabtu, 6 Oktober 2012

SK LIKAS JUARA PIALA BORNEO 2012 BAWAH 13 TAHUN

ASAKAN...pemain SK Likas, Mohd Hizaz Lokman (jersi no. 7) cuba melepasi kawalan para pemain Jerudong International School dari Brunei pada perlawanan akhir.

JUARA BARU...para pemain SK Likas bersama trofi dan hadiah yang dimenangi selepas disytiharkan sebagai juara kejohanan itu tahun ini.

KOTA KINABALU: Pasukan SK Likas muncul sebagai juara Kejohanan Bolasepak Piala Borneo 2012 bagi kategori bawah 13 tahun selepas menewaskan pasukan Jerudong International School, Brunei 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Sabtu.

Gol tunggal kemenangan SK Likas dijaringkan penyerang Mohd Nasip Mohd Zain sekali gus menobatkan pasukan itu sebagi juara baru kejohanan tahunan itu.

Kedua-dua pasukan bersaing hebat sejak awal-awal lagi namun SK Likas beraksi lebih cemerlang untuk mengetepikan pasukan lawan yang mereka kalahkan 2-0 pada perlawanan awal peringkat kumpulan.

Jerudong yang ingin membalas dendam ke atas kekalahan yang dialaminya di pusingan awal kepada SK Likas tidak berupaya berbuat demikian sebaliknya mereka sekadar berpuas hati untuk meraihkan sebagai naib juara.

SK Likas berjaya mara ke final setelah menumpaskan pasukan St. George FC dari Australia 3-1 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Likas sebelum itu manakala Jerudong International School menewaskan TABS untuk melayakkan diri ke peringkat itu.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, pasukan St. George mengalahkan TABS 1-0 melalui sepakan penalti pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 0-0 dalam perlawanan penuh masa.

Sebanyak lapan pasukan mengambil bahagian terdiri dari SK Likas, Jerudong International School dari Brunei, St George FC dari Sydney Australia, TABS, Blues FC, Kidball, Yayasan Sarawak Academy dan UMS yang dibahagikan kepada dua kumpulan.


Jumaat, 28 September 2012

RM19.25 JUTA UNTUK BAIKI RUMAH USANG RAKYAT

Sejumlah RM19.25 juta diperuntukkan kepada penduduk di Sabah bagi membaiki rumah yang telah usang dan memerlukan pembaikan melalui Program Nadi Kasih.

Program itu yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan yang membabitkan 66 kawasan di seluruh negeri Sabah. Ia dianggarkan merangkumi 3,850 rumah secara keseluruhannya dan setiap rumah akan menerima pembiayaan RM5,000.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman (gambar), berkata, peruntukan tersebut kena pada masanya memandangkan Sabah merupakan sebuah negeri yang besar dan sudah tentu banyak rumah penduduk yang perlu diperbaiki dan dipulihkan terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, usaha ini akan membantu meringankan beban rakyat dan memberi peluang mereka membaiki rumah yang usang supaya dapat didiami dengan selesa.

Berucap pada Majlis pelancaran taklimat khas Program Nadi Kasih Peringkat Negeri di Kota Kinabalu di sini, Ketua Menteri berkata, rakyat harus bersyukur kerana negeri ini telah menerima pelbagai bantuan dan mempunyai kerajaan yang prihatin di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib.

Katanya, banyak dasar kerajaan termasuk program-program dan projek yang menjurus membantu dan meringankan beban rakyat.

Beliau menambah, sebelum ini, sebilangan wakil rakyat juga telah menerima peruntukan sebanyak RM7 juta.

Dalam pada itu, Musa mengingatkan wakil-wakil rakyat (MP dan Adun) supaya menggunakan peruntukan itu dengan sebaik mungkin.

"Berikan peruntukan ini kepada rakyat yang memerlukan dengan mengenal pasti mereka yang benar-benar layak menerima bantuan itu,"tegasnya.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri kerana memberikan Sabah peruntukan yang terbesar setakat ini melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isnin, 24 September 2012

KERAJAAN BN AKAN TERUS BANTU RAKYAT, KATA ISNIN

Isnin (bersongkok) bersama Adun Kuala Penyu, John Teo (kiri sekali), Datuk Kimjus Duim, Lokman Sunggim (kanan sekali) dan Limus Jury (tiga dari kanan).

KUALA PENYU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membela rakyat di luar bagi membolehkan mereka dapat bersama-sama menikmati pembangunan secara berterusan.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih, berkata para pemimpin BN akan berusaha mengenal pasti mana-mana tempat yang masih memerlukan pembelaan dan pembangunan bagi memudahkan pihak kerajaan menghulurkan bantuan.

Katanya, inilah sebahagian tugas pemimpin agar tempat-tempat yang masih memerlukan bantuan akan dapat dibantu dan mereka tidak akan tersisih daripada menikmati kemajuan.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis merdeka raya anjuran Persatuan Muallaf Daerah Kuala Penyu di balairaya Kg. Melampai di sini, kelmarin.

Isnin yang juga Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur mahu masyarakat pelbagai kaum di daerah ini terus mengekalkan semangat perpaduan yang sedia ada sebagai landasan untuk memperkukuhkan jalinan permuafakatan di kalangan mereka walaupun berbilang kaum dan anutan agama.

Katanya, kerajaan BN memberikan komitmen yang tinggi dalam memartabatkan nilai perpaduan semua kaum di negara ini tanpa mengira perbezaan budaya, adat resam dan anutan agama mahu pun idealogi politik.

Belaiu melahirkan rasa bangga dengan sambutan serta komitmen yang ditunjukkan oleh masyarakat di kawasan ini yang jelas menampakkan semangat permuafakatan yang begitu kukuh.

“Walaupun terdapat perbezaan agama dan budaya namun nilai persaudaraan dan semangat kekeluargaan tetap terpelihara dengan baik," katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyalurkan peruntukan bagi menampung kos penyambungan bekalan elektrik balai raya di kampung berkenaan dan mengharapkan perlaksanaannya dapat dipercepatkan.

" Ini bukan duit saya, setiap peruntukan yang kita umumkan adalah amanah kerajaan untuk disalurkan kepada rakyat. Demikian juga halnya dengan pemimpin yang meninggalkan kita untuk menyertai pembangkang, semua projek pembangunan yang mereka umumkan sebelum ini adalah peruntukan kerajaan Barisan Nasional, rakyat jangan mudah tertipu," tegasnya.

Turut hadir pada majlis itu Adun Kuala Penyu, John Teo, Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Kimjus Duim, Naib Ketua Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim, Setiausaha Umno bahagian, Jali Nordin dan ahli perniagaan, Limus Jury.





Ahad, 16 September 2012

BEKAS PEMIMPIN SERTAI PKR TAK JEJAS BN, KATA KM



RASMI...Musa (tengah) bersama Datuk Salleh Tun Said, Datuk Yahya Hussin dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih (tiga dari kiri) ketika merasmikan Persidangan tahunan Umno Bahagian Beaufort.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menegaskan kekuatan dan sokongan rakyat terhadap BN di Sabah tidak terjejas berikutan tindakan bekas Timbalan Menteri persekutuan Datuk Yahya Lampong dan tokoh korporat terkenal, Tan Sri Ibrahim Menudin menyertai PKR.

"Itu hak masing-masing. Kita akan terus kuat dan mantap serta bersatu padu. Apa yang penting kami akan menghadapi pilihan raya umum dengan semangat berkobar-kobar bagi memastikan kejayaan besar BN di Sabah dan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Beaufort di Dewan Pa Musa Beaufort, di Beaufort pada Ahad.

Musa yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian ketika diminta mengulas perkara itu. Semalam, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ibrahim dan Yahya masing-masing menyertai PKR di Labuan dan Dalit, Tuaran.

Pada pilihan raya umum lepas, BN hampir menyapu bersih 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 25 kerusi Parlimen dan hanya tewas di kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau) dan Parlimen Kota Kinabalu.

Musa berkata kerajaan BN akan terus membangunkan negeri ini demi kebaikan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa meminta rakyat Beaufort menyokong sesiapa sahaja calon yang dikemukakan pucuk pimpinan parti pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau wakil rakyat daripada parti pembangkang...apa gunanya. Banyak tempat yang diwakili pembangkang tidak dapat berbuat apa-apa sebab tiada peruntukan dan tidak boleh berjumpa Perdana Menteri.

"Kalau wakil rakyat BN, Perdana Menteri ialah Pengerusi BN dan Ketua Menteri, Pengerusi BN negeri...senang berbincang. Jadi ini penting kita pastikan wakil rakyat BN supaya pembangunan dapat diteruskan di seluruh Sabah," katanya.

Parlimen Beaufort kini disandang bekas Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin yang baru-baru ini, menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang.

Musa berkata pakatan pembangkang yang memerintah di empat buah negeri kini ketakutan kerajaan BN akan mengambil alih kuasa di negeri-negeri berkenaan.

"Sekarang mereka datang ke Sabah berlagak umpama mengajar itik berenang. Sebenarnya rekod pencapaian kerajaan BN di Sabah jauh lebih baik. Keadaan politik di tempat mereka kini terumbang-ambing dan kucar-kacir. Misalnya di Selangor...di sana sini ada masalah termasuk masalah air.  

"Mereka juga menabur pelbagai janji yang tidak masuk akal. Saya sebagai Menteri Kewangan Negeri tahu Malaysia akan muflis jika semua diberi secara percuma. Ini satu pembohongan besar pembangkang...ini tidak betul," katanya.

Musa turut mempersoalkan; "Kalau semua diberikan percuma, mana untuk pembangunan? Sebagai contoh, di Sabah sahaja kerajaan negeri membayar emolumen atau gaji penjawat awam negeri sekitar RM700 juta setahun."

Beliau berharap rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan janji manis pembangkang yang terdesak meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13.- Bernama.

Jumaat, 14 September 2012

RUMAH TERBUKA MERDEKA RAYA WARGA PARLIMEN BEAUFORT DI KK RABU INI


KOTA KINABALU: Majlis Rumah Terbuka Merdeka Raya warga Parlimen P.177 Beaufort yang membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri Klias dan Kuala Penyu akan diadakan di Dewan SESB Karamunsing di sini, rabu ini.

Majlis itu akan bermula jam 7.00 malam hingga 11.00 malam.

Pengerusi jawatankuasa penganjurnya, Zahari Zinin, berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman akan menjadi tetamu kehormat pada majlis itu.

Katanya, majlis itu bagi memberi peluang kepada warga Parlimen Beaufort yang menetap di Kota Kinabalu dan sekitarnya berkumpul dan bersama-sama merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri di samping merayakan sambutan Hari Kemerdekaan.

Sehubungan itu, Zahari yang juga Bendahari Umno Bahagian Beaufort mempelawa warga Parlimen Beaufort di Kota Kinabalu dan sekitarnya supaya datang beramai-ramai bagi menyerikan majlis tersebut.

“Kita mengalu-alukan mereka dapat meluangkan masa dan membawa keluarga masing-masing untuk hadir ke rumah terbuka merdeka raya ini,” katanya.

Menurutnya, mereka yang hadir juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah melalui cabutan tiket bertuah selain pihak penganjur turut menyediakan duit raya untuk kanak-kanak.


Khamis, 6 September 2012

KUALA PENYU SESUAI UNTUK LOKASI UNIVERSITI BARU

Daerah Kuala Penyu sangat berpotensi untuk menempatkan institusi pengajian tinggi jika kerajaan negeri bercadang untuk membina sebuah lagi universiti baru di negeri ini.

Bekas Bendahari Pergerakan Pemuda Upko pusat, Limus Jury (gambar), berkata kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman bahawa kerajaan negeri sedia menimbang kemungkinan untuk mewujudkan universiti kedua bagi Sabah telah menerima sambutan baik daripada rakyat.

Limus yang ketika ini menjadi seorang ahli perniagaan berjaya berpendapat perkembangan ini sangat diperlukan bagi menggerakkan kegiatan ekonomi dan pembangunan sosial di daerah ini.

"Dengan pembinaan universiti tersebut, ia secara langsung dapat menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat di Kuala Penyu dan Beaufort," katanya.

Selain itu, beliau yang juga bekas bendahari Upko Bahagian Beaufort, berkata Kuala Penyu amat berpotensi untuk terus memajukan sektor pelancongan dan pewujudan univerisiti baru itu akan merangsang sektor berkenaan.

Ketika berucap kepada pelajar baru Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu Isnin lepas, Musa berkata kerajaan negeri bersikap terbuka dengan sebarang pandangan dan bersedia menerima cadangan untuk membina sebuah lagi universiti berdasarkan keperluan dan kedudukan universiti yang sedia ada di Sabah.

"Kita akan tengok dan melakukan pengumuman yang perlu jika kita rasakan ia boleh dilaksanakan," katanya yang juga Pro Canselor UMS dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu, menurut laporan akhbar Berita Harian, dua lokasi iaitu Kuala Penyu dan Silam dicadangkan bagi tapak bagi pewujudan universiti baru di Sabah itu.

Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) di Beaufort di sini mengalu-alukan pandangan supaya universiti baru itu dibina di Kuala Penyu memandangkan sebelum ini terdapat cadangan supaya kawasan Menumbok yang berhampiran Pulau Labuan dijadikan sebagai hub institusi pengajian tinggi.

Ahli jawatankuasa BN Bahagian Beaufort yang juga Naib Ketua Upko bahagian berkenaan, Lokman Sunggim, berkata daerah Kuala Penyu masih mempunyai kawasan tanah yang luas yang boleh dijadikan tapak bagi tujuan itu.

"Kita mempunyai tanah yang belum dibangunkan seluas kira-kira 300 ekar di Matabawan selain kawasan tanah yang dicadangkan bagi projek Gula Sabah yang sudah dibatalkan kerajaan boleh dijadikan tapak pembinaan universiti tersebut," katanya.