Sabtu, 3 November 2012

HIZAZ TERUJA SERTAI KEM PEMILIHAN 1MALAYSIA CARDIF CITY-ASTRO


 
GAMBAR ATAS: Hizaz ketika menyertai kem pemilihan 1MCC-Astro. GAMBAR BAWAH: Hizaz (kedua dari kiri) bersama rakan bergambar kenangan dengan jurulatih yang mengendalikan kem pemilihan itu.

 KOTA KINABALU: Pemain Mykids Soccer Sabah dan SK Likas, Mohd Hizaz Lokman gembira kerana berpeluang mengikuti kem pemilihan 1Malaysia Cardif City (1MCC)-Astro Kem Bola di padang Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Sabtu.

Dia adalah antara beratus-ratus pemain bawah umur 12 tahun mengikuti kem pemilihan berlangsung selama dua hari berakhir pada Ahad.

"Ini peluang sebenar untuk menunjukkan bakat dan saya akan berusaha melakukan yang terbaik supaya berjaya dalam pemilihan ini," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana dapat mengikuti pemilihan hari ini manakala rakan-rakannya yang lain dari SK Likas akan mengikuti pemilihan esok (Ahad).

"Mudah-mudahan kami mampu menarik perhatian panel pemilih dan jurulatih yang mengendalikan pemilihan ini. Bagi saya, ini peluang yang tidak ingin saya lepaskan," ujar pemain kidal itu.

Hizaz, 12, akan mewakili pasukan Sabah ke Kejohanan Mykids Soccer Peringkat Kebangsaan di Perlis pada 16-21 November ini dan juga akan bermain dalam pasukan SK Likas bagi menghadapi Kejohanan Antara Juara-Juara di Terengganu pada 1-9 Disember ini. 

Selain menyertai kem pemilihan ini, saya bersama rakan-rakan akan memberi tumpuan Kejohanan Mykids Soccer Kebangsaan di Perlis dan Kejohanan Antara Juara-Juara di Terengganu nanti, katanya.

"Kedua-dua kejohanan tersebut penting dan kami akan cuba mempamerkan permainan terbaik bagi meraihkan kejayaan," jelasnya.

Sebelum ini, Hizaz juga menganggotai pasukan SK Likas yang berjaya menjuarai Piala Borneo 2012 dan beraksi bersama pasukan sekolah itu dalam Liga Bolasepak Junior Kota Kinabalu 2012 di mana mereka menduduki naib juara selain bermain mewakili pasukan Bahagian Barat ke Kejohanan Bolasepak MSSS Bawah 12 Tahun peringkat negeri.



Selasa, 30 Oktober 2012

SABAH HANTAR DUA PASUKAN KE KEJOHANAN MYKIDS SOCCER KEBANGSAAN DI PERLIS


SERAH JERSI...Lokman mewakili Pengarah Urusan Perwira Progresif Construction Sdn. Bhd., Limus Jury menyerahkan sumbangan jersi kepada Osmera (tiga dari kiri).

KOTA KINABALU: Sabah akan menghantar dua pasukan untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Mykids Soccer Kebangsaan yang akan berlangsung di padang Kompleks Sukan Negeri Kangar, Perlis pada 16-22 November ini.

Satu pasukan akan bertanding bagi kategori bawah umur 12 tahun yang akan dianggotai 18 pemain Mykids Soccer Sabah dan satu pasukan lagi melibatkan pemain bawah 10 tahun yang terdiri daripada 15 pemain.

Ketua jurulatih remaja negeri Majlis Sukan Negara (MSN), Osmera Omaro, berkata, bagi kategori bawah 12 tahun, ini merupakan kali kedua Sabah mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut dan kali pertama menyertai bagi kategori bawah 10 tahun.

Katanya, tahun lepas Sabah menyertai kejohanan kebangsaan bawah 12 tahun di Perak dan berjaya memasuki pusingan suku akhir.

"Kali ini, kita memiliki pasukan bawah 12 tahun yang bagus dan saya percaya mereka mampu beraksi dengan cemerlang dalam kejohanan itu," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan jersi daripada Perwira Progresif Construction Sdn. Bhd. di padang SK Likas, pada Selasa.

Sumbangan jersi itu disampaikan Lokman Sunggim yang mewakili Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Limus Jury pada majlis penyerahan itu.

Osmera berkata, pasukan bawah 12 tahun akan diawasi jurulatih Norsi Sabtari manakala pasukan bawah 10 tahun akan dikendalikan Mohamad Erwan kerana beliau akan terlibat mengawasi pasukan Malaysia Projek 2019 yang turut bertanding dalam kejohanan itu.

Katanya, sebanyak 15 pasukan bawah umur 12 tahun dari seluruh negara akan menyertai kejohanan enam hari itu.

Menurut beliau, pasukan yang dijangka memberi cabaran kuat dalam kejohanan itu termasuk juara Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun MSSM, Terengganu, Pahang dan Perak.

"Namun begitu, kita juga mempunyai pasukan yang baik dan kita berharap mereka mampu menghadapi saingan lawan dan seterusnya mencapai kejayaan," ujarnya sambil menyatakan keyakinan skuad Mykids Soccer Sabah mampu pergi lebih jauh.

Beliau juga memberitahu, ketika ini Mykids Soccer Sabah juga telah dimasukkan di bawah program pembangunan bolasepak SAFA.


KOMPONEN BN BEAUFORT BEKERJASAMA SEBAGAI SATU PASUKAN, KATA ISNIN



Isnin (kanan) bersalaman dengan Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok pada konvensyen itu.

BEAUFORT: Pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) di semua peringkat harus memperkasakan kerjasama terutamanya ketika menjayakan program parti bagi memperkukuhkan BN menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Pemangku Ketua Umno Beaufort, Isnin Aliasnih berkata, ini penting dalam usaha untuk meraih kejayaan dalam pilihan raya.

Beliau memuji semangat juang yang ditunjukkan ahli-ahli Upko yang membanjiri dewan untuk menghadiri konvensyen berkenaan.


“Ini jelas menyangkal propaganda murahan yang sengaja digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang dengan menyatakan bahawa Upko akan keluar daripada komponen BN sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Upko Bahagian Beaufort di Dewan Dato Shahbandar Makang di sini.

Lebih 2,000 ahli Upko menghadiri konvensyen yang dirasmikan oleh Presiden parti itu, Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata, Umno dan rakan-rakan parti komponen akan terus berkerjasama sebagai satu pasukan untuk melaksanakan agenda ke arah memperjuangkan nasib rakyat yang memerlukan pembelaan.

“Kita akan terus bekerjasama malah mempertingkatkan lagi demi memantapkan gabungan ini. Kita tiada masalah kerana kita sentiasa menjalinkan kerjasama sebelum ini,” katanya.



Ahad, 28 Oktober 2012

KONVENSYEN UPKO BEAUFORT LULUS LIMA USUL



MEMBERANGSANGKAN...para peserta yang menghadiri konvensyen itu.

KUALA PENYU: Konvensyen Upko Bahagian Beaufort sebulat suara meluluskan lima usul untuk dikemukakan kepada parti pusat dan seterusnya diiringi harapan agar mendapat pertimbangan pihak kerajaan.

Usul tersebut ialah menangani isu bekalan air, cadangan menempatkan universiti baru di Kuala Penyu, peluang pekerjaan dan perindustrian, kewajaran pembinaan jambatan Menumbok-Wilayah Persekutuan Labuan dan cadangan bangunan mahkamah anak negeri di Kuala Penyu.

Kelima-lima usul itu dipersetujui sebulat suara lebih 2,000 peserta yang mengambil bahagian dalam konvensyen sehari di Dewan Dato Shahbandar Makang, kelmarin.

Naib Ketua 1 Upko Bahagian Beaufort, Lokman Sunggim (gambar), berkata usul terbabit akan dikemukakan kepada parti pusat secepat mungkin.

Katanya, bagi Upko bahagian, usul tersebut sangat penting kerana ia mencerminkan hasrat dan aspirasi rakyat di kawasan Beaufort khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu.

"Di peringkat bahagian kami memang banyak kali membincangkan perkara berkaitan dan persetujuan sebulat suara yang diberikan ahli Upko terhadap usul berkenaan pada konvensyen itu membuktikan mereka mahukan isu dan hal tersebut diberi perhatian oleh kerajaan," katanya ketika ditemui di sini.

Lokman berkata, bahagian itu juga gembira kerana konvensyen yang dirasmikan oleh Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok mendapat sambutan memberangsangkan daripada ahli-ahli upko dengan kehadiran lebih 2,000.

Menurutnya, ini menunjukkan sokongan ahli-ahli Upko bahagian tidak pernah luntur dan mereka memahami usaha-usaha baik yang dilakukan secara berterusan pihak kerajaan.

Beliau juga menyifatkan kehadiran sebahagian besar anggota majlis tertinggi parti ke konvensyen tersebut menjadikan suntikan semangat kepada ahli-ahli Upko dan penyokong BN di Kuala Penyu untuk terus berjuang dalam BN.

"Ini akan membantu memudahkan bahagian untuk terus berkerja dan merancang yang terbaik bagi persediaan rapi untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13," tegasnya.

Jumaat, 19 Oktober 2012

BAJET RM4.088B BUKTI KOMITMEN BELA RAKYAT

 
BAGUS...Musa bersama timbalan-timbalannya Pairin, Yahya dan Yee ketika di Dewan Undangan Negeri.   

KOTA KINABALU- Kerajaan negeri memperuntukkan RM4.088 bilion bagi Belanjawan Negeri 2013, yang meningkat RM40 juta berbanding anggaran perbekalan bagi 2012. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata anggaran perbekalan 2013 merangkumi tiga komponen utama iaitu Anggaran Emolumen RM663.17 juta (pertambahan RM39.51 juta berbanding RM623.66 juta pada 2012), Perbelanjaan Berulang RM1.120 bilion (pertambahan RM32.92 juta berbanding RM1.O87 bilion) dan Perbelanjaan Khas RM2.337 bilion (pertambahan RM34 juta berbanding RM2.303 bilion).

"Belanjawan 2013 ini merupakan bukti komitmen kita untuk terus memberikan perkhidmatan dan pembelaan yang terbaik kepada rakyat dan negeri Sabah."

"Belanjawan negeri ini untuk semua lapisan rakyat dengan mengambil kira keperluan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Negeri itu di Dewan Undangan Negeri di sini pada Jumaat.

Musa berkata hasil negeri juga meningkat dan dianggarkan berjumlah RM3.828 bilion tahun depan berbanding anggaran asal RM3.69 bilion tahun ini.

"Dengan mengambil kira bahawa hasil purata negeri Sabah bagi tempoh tiga tahun lalu (2009-2011) yang berjumlah dalam lingkungan RM3.8 bilion setahun, maka kerajaan negeri yakin bahawa sasaran kutipan hasil yang ditetapkan pada tahun depan adalah munasabah. - Bernama.