Ahad, 15 September 2013

PIALA BORNEO BAWAH 13: TABS DISENARAIKAN BERSAMA THAILAND B, ATFA QUEENSLAND DALAM KUMPULAN A

Sebanyak lapan pasukan mengesah penyertaan dalam Kejohanan Bolasepak Piala Borneo bagi kategori bawah 13 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu di sini pada 3-5 Oktober ini.

Pasukan itu terdiri dari TABS (Safa Bandaraya Kota Kinabalu), Thailand B, ATFA Queensland, St George FA Sydney (Australia), SK Likas, DPM Sports School KK, Jerudong International School dari Brunei dan Papar Sport Centre. 

TABS disenaraikan dalam Kumpulan A bersama-sama dengan pasukan Thailand B, ATFA Queensland dari Australia dan Papar Sport Centre manakala Kumpulan B terdiri dari juara bertahan SK Likas, St George FA Sydney, Jerudong International School dan DPM Sports School.

Barisan pemain TABS bersama jurulatih mereka Hassan Madisah (kiri sekali).

Mengikut jadual perlawanan yang dikeluarkan Borneo Sports & Adventure Holidays selaku penganjur kejohanan, Thailand B akan menentang ATFA Queensland pada perlawanan pembukaan di Stadium Likas pada 3 Oktober ini jam 9 pagi.

Perlawanan kedua TABS akan menghadapi Papar Sport Centre, diikuti ST George FA menentang Jerudong International School dan SK Likas akan melawan DPM Sports School.

Pada hari kedua, perlawanan akan diadakan di Stadium Penampang manakala perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium UMS.

Penyandang juara SK Likas ketika ini melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kejohanan itu walaupun mungkin terpaksa berhadapan dengan pasukan-pasukan baru yang lebih mencabar kali ini.

TABS di bawah bimbingan jurulatih Hassan Madisah turut mempersiapkan pasukannya dengan melakukan latihan intensif kepada pemain-pemain setiap hujung minggu dengan dibantu jurulatih Ismail Todiki.

"Kami berusaha untuk membentuk kombinasi terbaik dalam pasukan kerana selain menghadapi Piala Borneo, pasukan kami juga akan mewakili Pantai Barat dalam Kejohanan antara zon bawah 13 tahun," katanya.

Menurutnya, jika semua berjalan lancar, pasukannya mampu menghadapi saingan lawan dalam kedua-dua kejohanan itu.



Jumaat, 30 Ogos 2013

PEMIMPIN MENONGKAH ARUS: PERCATURAN ATAU SATU "PERMAINAN"?

Berani menongkah arus bermakna bersedia berhadapan dengan risiko. Dalam politik, istilah demokrasi sangat luas. Ada kalanya menyokong di peringkat awal tidak semestinya bersetuju di akhirnya.

Dalam politik macam-macam boleh berlaku. Bagi sesetengah orang politik, kesetiaan adalah bertempat.

Lebih bahaya jika ada anasir luar cuba meresap, sesebuah organisasi politik boleh terancam. Orang-orang di dalam organisasi menjadi rapuh dan mudah hilang pedoman menyebabkan kepimpinan boleh dilanda krisis tanpa diduga.

Bagaimanapun parti-parti politik seharusnya sentiasa bersiap sedia setiap masa dengan apa juga kemungkinan yang boleh mengundang kemelut dalaman.

Ada ketikanya sesebuah organisasi goyang disebabkan gejala yang tercetus dari dalam dan tidak kurang elemen dari luar juga boleh memporak-perandakan.

Secara kebetulan banyak parti-parti politik akan mengharungi kongres atau perhimpunan agung masing-masing sepanjang akhir tahun ini.

Parti-parti besar biasanya kurang dilanda kemelut yang sukar dikawal kerana mungkin pengaruh barisan kepimpinan tertinggi mampu mengawal keadaan. Suara pemimpin mereka lebih didengar dan pihak akar umbi selalunya mudah berkompromi selagi sesuatu saranan itu dilihat baik untuk organisasi berkenaan.

Namun begitu, bagi parti-parti kecil atau dalam pengertian lain, hanya memiliki wakil rakyat sama ada Anggota Dewan Undangan (Adun) atau Anggota Parlimen (MP) yang jumlahnya sedikit berisiko untuk bergolak jika tiada kesepakatan tulen dalam kalangan pemimpin atasan mereka.

Parti-parti seperti ini menyebabkan teraju utama kepimpinan terutama presiden “pusing kepala” apabila parti menghadapi pemilihan jawatan tertinggi.

Di Sabah, sudah ada beberapa parti bakal berhadapan dengan situasi ini.

Parti Liberal Demokratik (LDP) umpamanya tidak lama selepas Setiausaha Agungnya mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden menyebabkan Datuk Teo Chee Kang digugurkan dari jawatan tersebut.

Presidennya, Datuk V.K Liew menyatakan bahawa pengguguran Teo kerana setiausaha agung itu gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagaimana yang dikehendaki perlembagaan parti selain tidak mematuhi resolusi mesyuarat majlis tertinggi pada 9 Jun lepas yang memutuskan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan sebaliknya mengekalkan kedua-dua penyandang.

Bagi menggantikan tempat Teo, setiausaha agung baru, Lorreto S Padua Jr dilantik oleh Liew.

Sebagai respon sehari kemudian, timbalan presiden, Senator Datuk Chin Su Phin menyertai pendirian beberapa bahagian, tampil menyuarakan sokongan kepada Teo yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti.

Teo mendakwa seramai 27 daripada 35 ahli majlis tertinggi memberi syor secara bertulis kepadanya supaya satu mesyuarat majlis tertinggi diadakan di ibu pejabat di Kepayan pada 6 September ini.

Satu lagi kerabat Barisan Nasional (BN), Upko yang dijadualkan mengadakan kongres tri-tahunannya di Penampang pada Oktober ini juga akan menjadi tumpuan sekiranya jawatan presiden dan timbalan berlaku pertandingan.

Sehingga ini, hanya jawatan timbalan presiden sahaja sudah ada pemimpin berhasrat untuk bertanding jawatan tersebut. Naib presiden, Datuk Seri Panglima Wences Angang dan setiausaha agung, Datuk Wilfred M. Tangau adalah dua pemimpin terawal yang disebut-sebut akan bertanding.

Jawatan presiden yang disandang Tan Sri Bernard Dompok walaupun belum ada kenyataan rasmi pemimpin lain mahu mencabarnya namun bahagian-bahagian yang mula bermesyuarat pada Jumaat dikatakan sudah dirisik oleh pemimpin yang berminat menawarkan diri.

Pendekatan secara berhati-hati ini mungkin bagi mengelak risiko yang bakal menimpa serta sebagai satu strategi mengelak “senjata makan tuan”.

Adalah bukan mustahil, pertarungan boleh berlaku bagi jawatan nombor satu itu jika dilihat daripada perkembangan dan trend yang berlaku sekarang.

Soalnya, siapakah pemimpin yang bakal menongkah arus itu memandangkan jawatan itu tidak pernah dicabar sejak kewujudan parti itu yang sebelumnya dikenali sebagai Parti Demokratik Sabah (PDS).


Isnin, 26 Ogos 2013

FREDOLIN DIJANGKA AMBIL ALIH KETUA UPKO BAHAGIAN BEAUFORT?

LIMUS...Adun Kuala Penyu.

FREDOLIN...bakal ketua bahagian baru?

LOKMAN...pertahan jawatan naib ketua bahagian 1.

BEAUFORT: Dua jawatan utama dalam Upko Bahagian Beaufort dijangka berlaku perubahan mendadak berikutan keputusan ketua bahagian, Datuk Seri Panglima Wences Angang melepaskannya secara sukarela bagi memberi laluan pemimpin baharu mengambil alih teraju.

Manakala jawatan timbalan ketua bahagian yang disandang bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing dijangka turut bertukar berikutan tiada tanda-tanda penyandangnya berhasrat mempertahankan jawatan berkenaan.

Ini bermakna jawatan nombor satu dan dua dalam bahagian itu akan menyaksikan peralihan yang hampir pasti diisi oleh pemimpin baharu yang berpengaruh.

Berdasarkan perkembangan sekarang, jawatan ketua bahagian hampir pasti diambil alih seorang pemimpin muda, Fredolin Penggo yang sebelum ini merupakan timbalan ketua pemuda bahagian kerana beliau dijangka menguasai sebahagian besar cawangan untuk mencalonkannya bagi jawatan tersebut.

Selepas Wences mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu ketika mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian untuk kali terakhir minggu lepas, hanya Fredolin sahaja yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan berkenaan.

Sehingga ini, tiada pemimpin lain yang menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan ketua bahagian. Bagaimanapun keputusan rasmi yang menentukan tiada pertandingan bagi jawatan itu ialah pada 3 September iaitu tarikh tutup penerimaan pencalonan bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan.

Begitu juga bagi jawatan timbalan ketua bahagian, Adun Kuala Penyu yang baru, Limus Jury dijangka tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk memperoleh pencalonan terbanyak bagi beliau mengambil alih jawatan tersebut.

Hanya jawatan naib ketua bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian besar kemungkinan akan menyaksikan pertandingan sengit memandangkan beberapa orang difahamkan sudah menawarkan diri untuk mencuba nasib.

Naib ketua bahagian 1, Lokman Sunggim awal-awal lagi mengumumkan kesediaan untuk mempertahankan jawatan manakala naib ketua bahagian II, Monih Epin juga besar kemungkinan akan bertanding semula sekiranya mendapat pencalonan.

Lokman dan Monih telah memenangi jawatan mereka pada pemilihan lepas mengalahkan dua calon lain, Peter Kong dan Alihassan Ibrahim.

Walaupun tewas dalam pemilihan, Peter dilantik mengisi jawatan naib ketua bahagian III manakala Alihassan dilantik sebagai bendahari bahagian.

Dua naib ketua bahagian lantikan sebelum ini, Peter Kong dan Jaliman Saban setakat ini belum ada ura-ura mahu bertanding semula sebarang jawatan dalam pemilihan kali ini.

Lokman ketika ditemui selepas merasmikan cawangan-cawangan Upko bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kerukan di sini baru-baru ini menjelaskan, beliau sedia bertanding semula bagi jawatan nombor tiga itu kerana ramai ahli masih mahukan beliau menduduki jawatan berkenaan.

“Saya menghormati kehendak akar umbi dan kerana itu saya akan mempertahankan jawatan. Saya memenangi jawatan ini pada pemilihan tiga tahun lepas kerana sokongan majoriti perwakilan dan saya percaya mereka masih memberi sokongan kepada saya,” tegasnya.

Lokman yang juga ahli jawatankuasa Barisan Nasional (BN) Bahagian Beaufort, berkata, pihaknya juga boleh bekerjasama baik dengan bakal ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian yang baru.

“Kedua mereka, Fredolin dan YB Limus bukan sahaja sahabat baik tetapi merekalah yang mendorong saya terus berkhidmat dalam parti selama ini,” katanya sambil menambah bahawa inilah masa terbaik untuk meneruskan perjuangan itu.

Lokman berkata, pihaknya akan terus sedia menyumbang khidmat dan buah fikiran dalam parti selagi perjuangan itu sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh.

Ahad, 25 Ogos 2013

DUA PRESIDEN PARTI DI SABAH BAKAL DICABAR DALAM PEMILIHAN?

DOMPOK...Presiden Upko.

Kepimpinan tertinggi dua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah dijangka menyaksikan pertandingan dalam kongres masing-masing tahun ini, satu fenomena baharu selepas pilihan raya umum ke-13 lepas.

Parti terbabit - Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Kebangsaan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dijangka akan mengadakan kongres masing-masing tahun ini dan bagi Upko, ia akan diadakan pada Oktober ini.

Jawatan presiden kedua-dua parti tersebut akan menjadi tumpuan kali ini. Bagi LDP, Setiausaha Agungnya Datuk Teo Chee Kang telahpun menyatakan hasrat menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu yang ketika ini disandang Datuk V.K Liew.
V.K LIEW...Presiden LDP.

Jawatan presiden Upko yang ketika ini dipegang Tan Sri Bernard Dompok, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi walaupun belum ada seberang kenyataan secara terbuka kesediaan daripada kalangan pemimpinnya untuk mencabar jawatan berkenaan namun sudah ada desas-desus dari luar yang mahu jawatan itu dipertandingkan.

Sejauh mana ia menjadi kenyataan bergantung kepada pendirian 23 bahagian parti itu yang akan mengadakan mesyuarat agung tri-tahunan bulan depan dan seterusnya membuat pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan.

Yang menariknya bagi LDP, pendirian Teo yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah untuk bertanding jawatan presiden parti sudah disahut oleh 13 bahagian yang menyatakan sokongan mereka secara terbuka. Bahagian berkenaan ialah Luyang, Gum-Gum, Tanjung Aru, Tambunan, Likas, Petagas, Liawan, Klias, Melalap, Senallang, Tanjung Batu, Inanam dan Lahad Datu.

Ketika mengumumkan pendiriannya untuk bertanding jawatan presiden baru-baru ini, Teo berkata keputusan itu diambil sebagai menghormati dan memenuhi kehendak akar umbi.

Berbeza dengan Upko, LDP sebelum ini sudah melakukan pertukaran presiden daripada presiden pertamanya, Datuk Chong Kah Kiat kepada Datuk V.K Liew yang sebelum itu adalah setiausaha agung parti.

Upko pula akan mencipta sejarah buat pertama kali berlaku pertandingan jawatan presiden sekiranya ura-ura yang kedengaran sekarang berasas. Sumber dari luar menyebut bahawa seorang pemimpin kanan parti itu yang juga berstatus menteri dijangka bakal mencabar jawatan nombor satu itu.

Secara kebetulan kedua-dua presiden parti terbabit, Datuk V.K Liew dan Tan Sri Bernard Dompok tewas bagi kerusi Parlimen (Sandakan dan Penampang) yang mereka tandingi pada PRU ke-13 lepas.

Adakah faktor ini yang mungkin menyebabkan kedua-dua presiden berkenaan terpaksa dicabar dalam pemilihan parti masing-masing kali ini?. Atau ada elemen lain yang mendorong tranformasi perlu dilakukan dalam kepimpinan tertinggi kedua-dua parti komponen BN itu?. Kita tunggu dan lihat.



PASUKAN BAWAH 13 SAFA BANDARAYA TUMPU KEJOHANAN ANTARA ZON DAN PIALA BORNEO

JUARA...barisan pemain bawah 13 Safa Bandaraya yang menjuarai Kejohanan Bolasepak Bawah 13 Zon Pantai Barat bergambar bersama pengurus dan jurulatih mereka.

Pasukan bawah 13 tahun Safa Bandaraya Kota Kinabalu yang baru sahaja menjuarai Kejohanan Bolasepak Bawah 13 Tahun Zon Pantai Barat akan memberi tumpuan Kejohanan Bolasepak Bawah 13 Antara Zon yang akan berlangsung di Kota Kinabalu bulan depan dan Piala Borneo sebelum akhir tahun.

Pasukan ini menewaskan pasukan Safa Kota Belud 2-0 dalam perlawanan Kejohanan Bawah 13 Tahun Zon Pantai Barat. Satu lagi perlawanan yang sepatutnya menentang pasukan tuan rumah, Safa Tuaran tidak dijalankan berikutan keputusan mereka tidak menghantar pasukan bagi kategori itu.

Ketua jurulatih, Matasan Ahmad memberitahu, pasukan itu akan mewakili Zon Pantai Barat ke Kejohanan bawah 13 antara zon dan juga layak bertanding bagi kategori bawah 13 Piala Borneo yang dijadualkan diadakan di Kota Kinabalu.

Katanya, latihan pusat sebagai persediaan menghadapi kedua-dua kejohanan itu akan dilakukan minggu depan.


PENJARING...Mohd Hizaz Lokman dan Muhammad Aiman Azahari masing-masing menjaringkan satu gol dalam perlawanan dengan pasukan Kota Belud.

Pengurus pasukan bawah 13 Safa Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata jurulatih Hassan Madisah akan bertanggungjawab mengendalikan latihan pusat itu.

"Dia (Hassan) sedang merangka jadual yang sesuai bagi latihan tersebut memandangkan pemain-pemain yang terlibat merupakan pelajar di beberapa sekolah yang berlainan di sekitar Kota Kinabalu," katanya.

Menurut beliau, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada pegawai-pegawai Safa Bandaraya terutama Alijus Sipil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bolasepak Remaja Safa, Datuk Yusof Kassim atas insiatif dan pembabitan mereka dalam usaha berterusan untuk menggilap bakat pemain-pemain muda.


SIMPANAN...pemain-pemain gantian pasukan bawah 13 Safa Bandaraya.






WENCES LEPASKAN KETUA BAHAGIAN TAWAR DIRI TANDING TIMBALAN PRESIDEN

KUALA PENYU: Ketua Upko Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Wences Angang (gambar) mengumumkan pada Sabtu untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut pada mesyuarat agung pemilihan bahagian berkenaan bulan depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pemimpin lain untuk bertanding jawatan berkenaan dalam pemilihan kali ini.

“Selepas menerajui kepimpinan bahagian ini lebih 20 tahun, sudah tiba masanya saya melepaskan jawatan ini untuk memberi ruang kepada pemimpin lain untuk mengambil alih kepimpinan bahagian,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian parti itu di pejabat Upko bahagian di sini.

Menurutnya, setakat ini sudah ada pemimpin yang berminat untuk bertanding jawatan nombor satu bahagian itu tetapi enggan menamakan calon tersebut.

Katanya, ini merupakan peluang terbuka kepada pemimpin baharu untuk menawarkan khidmatnya kepada parti.

Tarikh tutup pencalonan ditetapkan pada 3 September ini dan senarai calon yang layak bertanding bagi semua jawatan akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Jutih Kangang pada hari berikutnya.

Sebanyak 84 cawangan layak menghantar perwakilan ke mesyuarat agung berkenaan.

Serentak dengan itu, Wences yang juga Naib Presiden Upko turut menyatakan hasrat menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden pada Kongres Tri-tahunan parti itu yang dijadualkan pada Oktober ini.

Beliau berharap pihaknya akan memperoleh pencalonan yang mencukupi untuk melayakkan beliau bertanding bagi jawatan tersebut.

Seseorang calon memerlukan sekurang-kurangnya lapan bahagian membuat pencalonan bagi melayakkannya berbuat demikian.

Jawatan timbalan presiden ketika ini dipangku naib presiden 1, Datuk Dr Ewon Ebin berikutan tindakan penyandangnya Datuk Wilfred Bumburing menyertai pembangkang sebelum pilihan raya umum ke-13 lepas.

Bumburing yang memimpin Angkatan Perubahan Sabah (APS) bertanding atas tiket Parti Keadaan Rakyat (PKR) pada pilihan raya lepas dan berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Tamparuli tetapi tewas bagi kerusi Parlimen Tuaran, yang dimenangi Datuk Wilfred Madius Tangau, Setiausaha Agung Upko.

Dalam perkembangan lain, jawatan tertinggi dalam kepimpinan Upko pusat dijangka akan menyaksikan pertandingan pada kongres kali ini. Bagaimanapun ia tertakluk dengan kelayakan pencalonan yang dilakukan 23 bahagian yang akan mengadakan mesyuarat agung tri-tahunan masing-masing sepanjang bulan depan.

Khamis, 15 Ogos 2013

HIZAZ BANTU SAFA BANDARAYA TUMPASKAN SAFA PAPAR

Mohd Hizaz (jersi hijau) menjaringkan empat gol ketika beraksi dalam perlawanan itu.

KOTA KINABALU: Bekas penyerang Mykids Soccer Sabah, Mohd Hizaz Lokman meledakkan empat gol untuk membantu pasukan bawah 13 tahun Safa Bandaraya Kota Kinabalu menumpaskan pasukan bawah 13 Safa Papar 5-2 dalam perlawanan bola  sepak persahabatan di padang C Kompleks Sukan Likas di sini, Rabu lepas.

Safa Bandaraya mendahului pasukan pelawat 3-1 pada babak separuh masa pertama menerusi jaringan Mohd Hizaz Lokman (dua gol) dan satu gol lagi dihasilkan Mohd Aiman Azahari.

Gol Safa Papar diperoleh menerusi Kurnia Izzudin.

Safa Bandaraya yang turut diperkuatkan pemain bawah 13 tahun skuad negara, Xsavier Xcico Felix  membantu pasukan tuan rumah meneruskan gandingan berkesan pada saingan separuh masa kedua.

Ini membolehkan penyerang Mohd Hizaz terus beraksi cemerlang dengan menambah jaringan bagi melengkapkan hatriknya serta menghasilkan gol kelima buat pasukan tuan rumah.

Pemain Safa Papar, Kurnia pula  menyumbang satu gol lagi bagi pasukannya, gol kedua peribadi pada minit-minit akhir permainan.

Barisan pemain kedua-dua pasukan bergambar sebagai kenangan sebelum perlawanan.

Jurulatih skuad bawah 13 Safa Bandaraya, Michael Wong, berkata perlawanan itu sebagai persiapan pasukannya menghadapi Kejohanan bolasepak bawah 13 Zon Pantai Barat yang berlangsung di Tuaran pada 22 Ogos ini dan Piala Borneo di Kota Kinabalu tidak lama lagi.

Mengenai kejohanan di Tuaran itu, katanya, Safa Bandaraya akan berentap dengan pasukan dari Kota Belud dan Tuaran.

"Pasukan yang akan menjuarai kejohanan ini nanti akan mewakili Pantai Barat ke kejohanan antara zon," katanya.