Selasa, 21 September 2010

HARGAI SUMBANGAN PENGUSAHA BUMIPUTERA

Bas-bas milik pengusaha Bumiputera menunggu giliran mendapatkan penumpang di Terminal Bas Bandaraya dekat Wawasan Plaza di Kota Kinabalu. Perkhidmatan bas terbabit sewajarnya dihargai memandangkan mereka membantu pihak kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada orang ramai sejak sekian lama.


BANTAH...Dullah Bache, wakil pengusaha menunjukkan surat bantahan mereka kepada LPKP supaya tiada perkhidmatan baru diberikan kepada syarikat lain ke Taman Telipok Ria. Perkhidmatan bas sedia ada ke kawasan berkenaan dipercayai mencukupi dan jika kebenaran terus diberikan kepada syarikat lain maka ia akan menjejaskan mereka.


Para pengusaha bas Bumiputera menggesa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah supaya tidak mengeluarkan permit baru terutama di kawasan yang sudah ada perkhidmatan yang mencukupi.

Ini bagi memberi peluang perkhidmatan sedia ada dapat berkembang selain mengelak mata pencarian pengusaha terbabit terjejas.

Baru-baru ini, pengusaha-pengusaha yang menjalankan perkhidmatan di Taman Telipok Ria dan sepanjang jalan lama Tuaran melahirkan kekecewaan kerana syarikat pengendali City Bus telah diberikan kebenaran pihak berkenaan menjalankan perkhidmatan baru di kawasan berkenaan.

Lantas ia mengundang rasa tidak puas hati di kalangan pengusaha yang menjalankan perkhidmatan di kawasan tersebut memandangkan langkah memberi kebenaran kepada syarikat baru tersebut menjejaskan perkhidmatan mereka.

Jurucakap pengusaha terlibat, Dullah Bachee mempersoalkan tindakan pihak berkenaan membenarkan syarikat tersebut menjalankan perkhidmatan di situ kerana perkhidmatan yang sedia ada sebenarnya masih boleh menampung permintaan pengguna.

"Kenapa mesti beri keistimewaan kepada syarikat berkenaan untuk beroperasi ke Telipok Ria sedangkan mereka sepatutnya memfokus perkhidmatan sebagai bas pengantara di dalam bandar," katanya.

Beliau berkata, pihak kerajaan khususnya LPKP harus menghargai sumbangan pengusaha Bumiputera selama ini kerana telah membantu kerajaan menyediakan perkhidmatan yang terdaya oleh mereka.

"Lagi pun, pengusaha-pengusaha ini telah berusaha menjalankan perkhidmatan dengan sebaik mungkin selama ini dan seharusnya LPKP mengambil kira perkara ini sebelum membenarkan syarikat baru menjalankan perkhidmatan di situ," katanya.

Pengerusi Barisan Nasional Bahagian Sepanggar yang juga Ketua Umno bahagian berkenaan, Jumat Idris turut berkongsi pandangan dengan pengusaha terbabit dan meminta LPKP supaya mengkaji semula kebenaran yang diberikan kepada syarikat terbabit.

Katanya, tindakan tersebut menjejaskan perkhidmatan pengusaha sedia ada yang secara kebetulan mereka merupakan pengundi di kawasannya.

"Perkara ini jika tidak ditangani boleh menjejaskan sokongan terhadap BN pada pilihan raya akan datang walaupun rata-rata mereka adalah penyokong kuat kerajaan di masa lalu," tegas beliau.

Sambil merestui bantahan yang dikemukakan pengusaha, Jumat berkata, kerajaan harus bersikap bertimbang rasa dan seharusnya memberi perhatian serius terhadap apa sahaja isu yang boleh mengundang ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah, Abdul Rahman Piut meminta pihak LPKP menghentikan tindakan memberi kesitimewaan tertentu kepada mana-mana syarikat bagi menjalankan perkhidmatan bas di kawasan yang sudah mempunyai perkhidmatan mencukupi.

Katanya, persatuan memandang serius sebarang tindakan mengeluarkan permit baru di kawasan yang dikenal pasti tiada keperluan bagi perkhidmatan baru.

"Beri peluang kepada pengusaha sedia ada selagi mereka berupaya menjalankan perkhidmatan dengan baik kepada pengguna," katanya.

Beliau menambah bahawa LPKP harus bersikap menghargai sumbangan pengusaha Bumiputera dan bukannya memberi tekanan kepada mereka kerana ini boleh menghakiskan sokongan kepada kerajaan.

"Kita tiada niat mempolitikkan perkara ini tetapi berdasarkan pengalaman kita selama ini sikap dan tindakan jabatan-jabatan tertentu boleh memberi masalah kepada kerajaan ketika pilihan raya," kata Rahman.

Beliau memberi contoh kebenaran yang diberikan kepada syarikat pengendali City Bus untuk memanjangkan perkhidmatannya ke Taman Telipok Ria amat mengecewakan ramai pengusaha di kawasan berkenaan.

Katanya, Ketua Umno Bahagian Sepanggar sendiri dapat merasakan keadaan itu dan ini sepatutnya tidak berlaku di saat kawasan itu kini dikuasai oleh pembangkang.

"Kita bimbang masalah yang berlaku ini memberi ruang kepada SAPP yang mewakili kawasan Parlimen tersebut untuk mengeksploitasikan apa yang berlaku," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan