Ahad, 5 September 2010

MAMPU KAH SHAFIE JADI SANDARAN RAKYAT SABAH?


Datuk Seri Shafie Apdal...hanya masa menentukan hala tujunya.

PERGOLAKAN politik di Sabah akhir-akhir ini seolah-olah menuntut kehadiran seorang pemimpin yang benar-benar mempunyai kewibawaan bukan sahaja untuk menangani kemelut yang sedang melanda, malah mungkin yang mampu menyelamatkan jiwa rakyat yang penuh kekeliruan dan amarah pada masa ini.

Ketidak-puasan hati dapat dirasakan begitu meluap di kalangan rakyat dan ini memerlukan kebijaksaan untuk meredakannya kerana jika tidak ada usaha sedemikian, ia dibimbangi boleh menjejaskan sokongan mereka terhahap pemerintah.

Dengan kemelut yang melanda teraju kepimpinan BN, ditambah dengan adu-domba beberapa pemimpin, yang kita tidak begitu pasti matlamatnya menyebabkan pemimpin lain dalam gabungan itu hilang kesabaran, lantas mengambil keputusan mengejutkan.

Yang terbaru, tindakan Naib Presiden LDP, Datuk Peter Pang untuk keluar parti mengejutkan ramai pihak walaupun ia dilihat tidaklah menjejaskan sangat kepimpinan BN di peringkat negeri.

Namun situasi itu tidak syak lagi mengundang pelbagai spekulasi yang sudah tentu menyebabkan rakyat biasa diselubungi seribu tanda tanya dan persoalan.

Kritikan pedas selain kenyataan balas yang beremosi terhadap LDP, salah sebuah parti komponen dalam BN gara-gara kenyataan Timbalan Presidennya, Chin Su Phin selepas mesyuarat BN Sabah baru-baru ini, bahawa partinya tidak lagi boleh bekerjasama dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berakhir dengan parti itu kehilangan seorang pemimpin kanannya yang didakwa tidak bersetuju dengan kenyataan nekad yang disifatkan melampau terhadap Pengerusi BN Sabah itu.

Pang mempunyai hak berbuat demikian kerana sebagai seorang anggota kabinet negeri, beliau tentulah tidak sewajarnya mendiamkan diri tetapi harus mempunyai pendirian. Lebih-lebih lagi, beliau tidak boleh bersikap menggigit tangan tuannya yang mengangkat beliau daripada seorang ahli perniagaan melonjak mendadak menjadi timbalan ketua menteri.

Apa pun pergeseran dalam kalangan pemimpin yang menjadi sandaran rakyat turut mempengaruhi pemikiran dan emosi rakyat itu sendiri. Ibarat gajah sama gajah bertarung, tikus yang berada di tengah tentulah terhimpit dan menjadi mangsa.

Akhir-akhir ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Haji Apdal mungkin terpaksa menggalas tugas yang berat untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku dengan kepemimpinan BN di Sabah kerana beliau bukan sahaja seorang pemimpin kanan dalam Umno, juga seorang menteri di peringkat persekutuan tetapi beliau juga mempunyai hubungan yang akrab dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak hairanlah Pengerusi BN Pusat dan Presiden Umno itu mempunyai kepercayaan kepada Shafie untuk membantu rakyat Sabah merungkai segala kemelut yang melanda mereka dan memperbetulkan sebarang kekeliruan supaya mereka tidak terpedaya dengan pelbagai tomahan terhadap kerajaan BN.

"Datuk Shafie boleh diibaratkan sebagai penyelamat rakyat Sabah jika beliau terus diberi peranan untuk membaik-pulih sebarang "kerosakan" yang berlaku di Sabah termasuk emosi rakyat yang sudah terjejas," kata seorang bekas pemimpin belia sejak era Usno.

Berbanding dengan pemimpin lain di sini, menurut beliau, kita dapati Datuk Shafie lebih bersifat sangat terbuka dan berterus-terang malah kita sangat mudah mendekati beliau asalkan kita berniat baik.

Jadi, rakyat sudah tentu menginginkan pemimpin muda seperti beliau ini yang bersedia berkongsi harapan dan melihat jauh harapan yang disandarkan rakyat.

"Saya rasa kita tidak perlu pemimpin rakus, monopli dan terlalu bersandarkan kuasa semata-mata sehingga rakyat sukar memberi pandangan. Minda rakyat harus tiada kongkongan kerana mereka pun berhak membuat teguran dan buah fikiran yang baik untuk masa depan generasi mereka," katanya meluah perasaan.

Saya sendiri secara peribadi sangat bersetuju bahawa rakyat seharusnya diletakkan di hadapan menjadi keutamaan pemimpin kerana mana-mana pemimpin, apa tak lagi pemimpin yang dilabelkan sebagai nombor satu seharusnya menyedari bahawa beliau datang dan kemudian berada di puncak kekuasaan kerana keringat yang dicurah rakyat terhadapnya.

Oleh kerana itu, pada saya, teraju kepimpinan seharusnya bersedia berkongsi dengan pemimpin bawah peringkat akar umbi dan rakyat seluruhnya bagi memastikan sesuatu kejayaan dapat dikecapi bersama. Bak kata orang, pemimpin dan rakyat saling memerlukan baik dalam apa juga keadaan sekalipun.

Kelebihan Datuk Shafie sebagai Naib Presiden Umno dan seorang anggota kabinet Persekutuan yang memegang portfolio penting khususnya bagi rakyat Sabah dan Sarawak, saya kira sewajarnya perlu diberi sokongan seluruh rakyat Sabah untuk seboleh-bolehnya mengubah lanskap politik di Sabah, yang pada saya begitu statik sejak era pemerintahan Usno, Berjaya, PBS dan terbawa-bawa hingga ke saat ini.

Saya fikir pandangan ini bukanlah keterlaluan walaupun ada kalangan melihatnya begitu, kerana sebagai generasi baru dalam pentas politik, kita melihat Datuk Shafie seorang pemimpin muda yang sangat sederhana tetapi mempunyai naluri kepimpinan yang boleh menembusi gerak denyut nadi rakyat.

Tentu ramai yang bersetuju bahawa politik berteraskan kelompok tertentu, rakus, tahu semua, adu-domba, berlagak wira, bercakap lain di hati lain sudah tiada lagi tempat dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun, merdeka dan hidup di dalam sebuah negara demokrasi. Hakikat merdeka dan demokrasi yang sering dicanangkan sebaiknya bukan sekadar di bibir sahaja sebaliknya harus direalisasikan dengan jiwa yang ikhlas.

Sudah tiba masanya, kita semua rakyat dari segenap lapisan memberi tumpuan untuk membina dan membawa negeri kita ini ke suatu era yang berani menampilkan kepimpinan yang berlandaskan kemurnian jiwa, ketulusan, berkongsi harapan dengan rakyat dan menyandarkan impian bersama.

Mudah-mudahan, Datuk Shafie yang sebelum ini sanggup melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sabah kerana kesediaan memberi tumpuan tugas yang diamanah Perdana Menteri diizinkan oleh Allah S.W.T untuk kembali ke negeri bawah bayu ini untuk melakukan permulaan bagi kepimpinan baru di Sabah yang menjadi impian rakyat, yang selama ini sudah pun terluka oleh "keadaan" yang berlaku.

Kita juga memanjat doa semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dirahmati olehNya di atas usaha dan kerja-kerja kita termasuk cara berfikir dalam politik yang menjurus ke arah kebaikan dan input yang diberikan untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat kita di Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan