Isnin, 6 Jun 2011

BERPUAK SUKARKAN HADAPI PILIHAN RAYA: MP

SALLEH......akar umbi tidak ingin situasi berpuak-puak.

Anggota Parlimen kawasan Silam, Salleh Kalbi berkata, perpaduan dalam Umno harus direalisasikan dan gesaan pemimpin agar semua ahli bersatu-padu harus tidak sekadar menjadi retorik sahaja.

Katanya, adalah amat penting bagi setiap anggota mematuhi nasihat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya sebarang masalah yang wujud di peringkat akar umbi diselesaikan.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat pemimpin dalam media sewajarnya diterjemah dalam bentuk tindakan.

Menurut Salleh, elemen berpuak-puak dalam parti perlu dielakkan sebagaimana yang disarankan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman sebelum ini.

Katanya, golongan akar umbi tidak mahukan situasi berpuak-puak ini berlaku tetapi ia disebabkan perbezaan antara kalangan pemimpin dalam kepimpinan di peringkat negeri.

“Jika berlaku perang dingin dalam kepimpinan Umno negeri, ini akan menyukarkan kita menghadapi pilihan raya umum ke-13,” katanya dalam satu temubual di Kota Kinabalu.

Anggota Parlimen Silam itu berkata, kepimpinan negeri harus menghargai kehadiran Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Shafie Apdal untuk meninjau keadaan di merata tempat di Sabah untuk memastikan penyaluran projek pembangunan dapat dilakukan.

“Kita harus bangga dengan usaha yang dilakukan oleh Naib Presiden Umno itu kerana ia memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar Umno negeri mencari kaedah yang bersesuaian untuk mendorong generasi muda untuk mendaftarkan diri menjadi pengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan