Khamis, 31 Mei 2012

KOLEJ KDM BUKTI BUMIPUTERA SABAH DIHARGAI


Pairin (kiri) melakukan gusti lengan dengan Ketua Menteri, Datuk Musa Aman, salah satu acara sukan tradisi sempena Pesta Kaamatan.

Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata kerajaan pusat sudah memberi persetujuan untuk membina Kolej Kadazandusun dan Murut (KDM) di Kaingaran, Tambunan.

Katanya, ini membuktikan bahawa kepentingan masyarakat Bumiputera di Sabah tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata majlis pelancaran pecah tanah bagi kolej akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal Jun ini.

“Pelaksanaan projek ini membuktikan kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa memberi sokongan untuk memajukan kaum Kadazandusun dalam agenda pembangunan negara selain penganjuran Pesta Kaamatan,” katanya.

Berucap pada majlis pelancaran sukan tradisi sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2012 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di perkarangan Hongkod Koisaan di sini, Pairin berkata, cadangan penubuhan kolej itu dibuat oleh Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun dan Murut Sabah (Pekadin).

Beliau juga berkata, kerajaan pusat mengagihkan peruntukan yang besar bagi mempercepatkan proses pembangunan agar Sabah terus maju seiring dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Katanya, usaha itu termasuk membina dan menaiktaraf jalan kampung melalui program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang membabitkan kos RM2.3 bilion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan