Isnin, 14 Disember 2009

KISAH PELAJAR MALAYSIA DI INDONESIA

Memang sukar diterima jika memakai kameja T yang berunsurkan Malaysia apalagi memaparkan lambang negara boleh mencetuskan kerisauan sebaik menjejak kaki di bumi Indonesia terutama di ibu kotanya, Jakarta. Sebagai warga Malaysia, agaknya kita bangga untuk berpakaian sedemikian tetapi jika kita berada di negara jiran ini, kita mungkin perlu berfikir banyak kali atau sebaiknya melupakan sahaja.


Sepintas lalu terasa aneh juga tetapi inilah realiti yang terpaksa dialami sekumpulan 22 pelajar tahun akhir jurusan undang-undang Universiti Malaya (UM) ketika berada di negara jiran itu, baru-baru ini..


Pelajar terbabit melakukan lawatan di beberapa bandaraya di Indonesia seperti kota Jakarta dan Bandung dalam usaha untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa negara ini dan Indonesia selain dengan harapan dapat berinteraksi secara lebih dekat dengan rakan-rakan mahasiswa yang sudah tentu memanfaatkan terhadap hubungan dan keakraban dua negara berjiran.


Rata-rata pelajar Malaysia berkenaan kali pertama berkunjung ke negara jiran serumpun ini, tentulah bagi mereka masih samar situasi sebenar di negara berkenaan walaupun sesetengahnya memang sedar wujudnya sentimen anti-Malaysia yang bertiup ekoran daripada beberapa isu remeh seperti tarian pendet dan kemelut pembantu rumah sebelum ini, yang terlalu digambar-gemburkan oleh media Indonesia.


Bagi pelajar terbabit, kalau adapun mungkin terdetik sedikit emosi bagi kalangan rakyat Indonesia kerana isu remeh yang dicanangkan media namun tidaklah membayangkan bahawa keadaan seharusnya hinggakan ke tahap mencetuskan kebimbangan dan luar dugaan.


Kumpulan pelajar berkenaan mula merasakan sesuatu yang tidak selesa sebaik mereka tiba di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta Jakarta, ada sahaja orang memerhati gerak-geri mereka. Secara kebetulan seorang daripada pelajar itu memakai kameja T yang memaparkan logo FAM atau Persatuan Bolasepak Malaysia sedikit-sebanyak memberi andaian bahawa kumpulan pelajar terbabit adalah dari Malaysia..


Dalam kesibukan itu, perhatian tertumpu kepada seorang wanita yang berada di salah satu tempat duduk di bangunan lapangan terbang tersebut yang sentiasa sahaja memerhati gelagat kumpulan pelajar tersebut hinggakan ada di antara pelajar berkenaan terlalu rimas, disusuli pelbagai kebimbangan bermain di minda. Tiba-tiba sahaja wanita yang sentiasa memerhati itu tampil mendekati dan menegur sapa. Wanita yang sebelumnya dirasakan pelik rupa-rupanya seorang warga Malaysia yang bertugas di kota Jakarta yang berada di situ menanti ketibaan suami dan anak yang datang melawat dari Malaysia.


Wanita berkenaan ada sebab untuk memerhati pelajar-pelajar dari Malaysia itu kerana apabila sudah berkenalan, menyatakan, dia ingin memastikan bahawa kumpulan pelajar itu sememangnya dari Malaysia dan mahu memberitahu mereka suapaya sentiasa berhati-hati apabila berada di sini terutama di kota Jakarta yang masih terlalu kuat bibit-bibit perasaan kebencian terhadap Malaysia.


Seperti yang diceritakan Mohd Al Hafidz, anak saya yang secara kebetulan salah seorang pelajar yang menyertai rombongan 22 pelajar Fakulti Undang-Undang UM itu, wanita yang bertugas sebagai pegawai dari Malaysia di Jakarta itu memperkenalkan dirinya kerana bimbang keselamatan mereka sepanjang berada di negara jiran ini.


Menurut Hafidz, pegawai tersebut menasihati mereka berhati-hati jika keluar bersiar-siar khususnya di kota Jakarta dan seeloknya mereka berjalan secara berkumpulan dan ditemani “pandu” serta mengelak dari keluar bersendirian.


“Di sini (kota Jakarta) masih kuat sentimen anti-Malaysia, kita perlu waspada…” jelas pegawai wanita itu. Apabila diberitahu program mereka banyak tertumpu di Bandung, dia menceritakan keadaan di sana (Bandung) tahap sentimen itu agak kurang berbanding di kota Jakarta kerana di sini mereka memandang orang Malaysia lain macam.


Ekoran itu, rakan-rakan meminta Hafidz yang kebetulan memakai kameja T yang mempunyai logo FAM supaya jangan memakai baju itu kerana bimbang ia boleh mengundang risiko termasuk membangkitkan kemarahan warga di kota itu. Malah keadaan itu segera menyedarkan mereka bahawa situasi di Malaysia amat jauh berbeza memandangkan kita sedikitpun tidak memperlihatkan kecurigaan apalagi kebebencian terhadap rakyat Indonesia yang ada di negara kita.


Dalam satu program perbincangan antara pelajar Malaysia itu dengan para pelajar Fakulti Undang-Undang di Universitas Padjajaran (Unipad), Bandung dapat dirasai masih ada unsur-unsur provokasi terhadap masyarakat Malaysia namun pelajar-pelajar kita bijak menangani situasi dengan mengalihkan suasana, yang akhirnya perbincangan ditamat dengan semangat setiakawan.


Hafidz yang turut terbabit dalam perbincangan itu, memberitahu; ketika itu seorang rakan pelajar Malaysia cuba menanyakan mengenai pandangan rakan mereka dari Universitas Padjajaran berhubung isu kenapa warga Indonesia masih ada perasaan benci dengan Malaysia. Pertanyaan itu bukanlah sesuatu yang sangat sensitif malah ada kewajaran untuk dirungkai atas semangat persahabatan dan intelek. Pelajar tersebut bagaimanapun bukan sahaja tidak memberi respon yang positif sebaliknya menimbulkan perkara lain berkaitan soal pertindihan tuntutan pulau-pulau, yang sebelum ini telah menyebelahi pihak Malaysia.


Membimbangi perbincangan menjadi panas dan tidak terkawal, pelajar-pelajar Malaysia, kata Hafidz telah cuba mengalihkan perhatian kepada perkara lain dan sesi perbincangan itu berakhir dengan baik.


Dalam program interaksi berasingan bersama pelajar-pelajar Institut Teknologi Bandung (ITB), yang memfokuskan perbincangan mengenai kebudayaan kedua-dua negara, Hafidz turut mewakili UM bagi memperkata dan memperjelaskan tentang kebudayaan negara yang diwarisi pelbagai etnik.


“Sememangnya kita berasa bangga dengan apa yang kita warisi, budaya yang pelbagai dan dapat pula dikongsi dengan rakan-rakan di Indonesia. Begitu juga kita dapat memahami serba-sedikit kebudayaan yang menjadi kebanggaan mereka tanpa prejudis,” katanya.


Pengalaman menerusi program diskusi dengan pelajar-pelajar di Indonesia serta apa yang dilalami sendiri ketika “ambil angin” terutama di gedung-gedung membeli-belah di Kota Jakarta dan di kedai-kedai, warung serta melihat corak kehidupan warganya, Hafidz membuat kesimpulan bahawa perasaan sentimen anti-Malaysia masih lagi belum reda di negara jiran itu walaupun ia tidak mencerminkan pendirian sebenar majoriti rakyat negara itu.


“Tahap sentimen itu lebih dirasai di kota-kota besar terutama Jakarta dan ia tidak begitu ketara di kawasan-kawasan yang kurang mewah, maksudnya di luar kota. Kami dapat merasakan suasana itu dan ini sebenarnya banyak membantu kami membawa diri di sana. Ia juga menjadi iktibar kepada kami,” katanya.


Berdasarkan kisah dan pengalaman para pelajar Malaysia itu sesungguhnya langkah yang diambil Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk menganjurkan lebih kerap pertemuan pengamal-pengamal media kedua-dua negara akan mewujudkan suasana saling memahami dalam menangani isu-isu berbangkit yang membabitkan kedua negara.


Ia juga dapat membantu media di kedua-dua negara lebih berhati-hati sebelum menerbitkan sesuatu bahan tulisan dengan mengambil kira sensitivi masyarakat masing-masing supaya tidak mencemari hubungan baik kedua-dua negara pada masa akan datang.


Adalah sesuatu yang menyedihkan jika permainan media terhadap sesuatu isu hanya “menyakiti” Malaysia sehingga kehadiran warga kita di Indonesia diselubungi kengerian yang tentunya tidak berbaloi dengan layanan baik kita terhadap warga Indonesia sama ada yang bertugas, belajar atau datang sebagai pelancong ke sini.




MENGABADIKAN KENANGAN DI UNIPAD...para pelajar jurusan Undang-Undang Universiti Malaya bergambar di hadapan bangunan Universitas Padjajaran Bandung ketika melawat universiti berkenaan, baru-baru ini.


TAKTIK PENGEMIS INDON...pelbagai cara dilakukan oleh warga Indon untuk menarik orang ramai supaya menghulurkan simpati kepada mereka. Contohnya, lihatlah gelagat seorang pemuda yang mengemis di kawasan lampu isyarat di kota Jakarta menggunakan monyet terlatih untuk meraih simpati dan taktik ini sememangnya berkesan dan pastilah ada sahaja yang menghulurkan sedekah kepada pengemis jalanan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan