Jumaat, 18 Disember 2009

USIA BAS, RAMAI GULUNG TIKAR

Akhir-akhir ini, ramai pengusaha bas Bumiputera di Sabah merungut dan kesal dengan tindakan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah secara mengejut mengubah peraturan mengenai usia bas dengan menetapkan 20 tahun sahaja yang dibenarkan beroperasi.

Tindakan itu disifatkan mereka bukan sahaja sangat menyulitkan malah mengakibat ramai pengusaha terpaksa gulung tikar memandangkan banyak bas yang menjalankan perkhidmatan ketika ini melebihi usia tersebut.

Lebih menghampakan mereka, pada dasarnya ketetapan dipersetujui bahawa usia bas ialah 25 tahun oleh menteri yang memegang potfolio LPKP sebelum ini tetapi kini sudah bertukar kementerian.

Ramai pengusaha yang baru menyedari peraturan itu apabila datang berurusan dengan pejabat LPKP, mahu agar usia bas ditetapkan kepada 25 tahun kerana tenpoh itu masih dirasakan relevan dengan keadaan jalan raya di Sabah dan mengharapkan LPKP Sabah melihat kembali perkara ini sejajar dengan gagasan kerajaan; Rakyat Didahulukan.

Para pengusaha berkata, usia bas 25 tahun masih boleh digunakan, lebih-lebih lagi ia diwajibkan melalui pemeriksaan Puspakom sekaligus ini memastikan di segi keselamatan pengangkutan awam itu.

Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS) yang memberi respon terhadap isu itu, berpendapat memang terdapat kewajaran untuk menetapkan usia bas kepada 25 tahun kerana ia telah dipersetujui pihak berkenaan sebelum ini.

Ketua Penerangan PPBBS, Abdul Rahman Piut, berkata, LPKP seharusnya mengambil kira keluhan pengusaha dan seterusnya mempertimbangkan untuk melanjutkan usia bas kepada 25 tahun.

"Kita tidak rela melihat ramai pengusaha yang gulung tikar dan sebab itu, LPKP terutama pengerusi wajar meneliti semula peraturan itu dan kami (persatuan) menyokong keprihatinan mereka mengenai isu ini," katanya.

Rahman juga mengesyorkan LPKP segera membatalkan peraturan yang menetapkan usia bas 20 tahun kerana reaksi yang diterima sudah cukup memberi gambaran ketidaksenangan pengusaha dan ini tentunya mengundang bantahan yang lebih besar.

"Kami sendiri akan membuat protes...pada peringkat awal kami akan terus mengikuti perkembangan dan pada masa yang sama akan berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Ir Edmund Chong dalam masa terdekat," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan