Bekas Ketua Pemuda Umno Sabah, Azman Ruslan yang dilucutkan jawatan menyifatkan penggantiannya daripada jawatan Ketua Pemuda Umno Sabah sebagai perkara biasa dalam parti.
Azman yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Keningau, berkata beliau menerima pelucutan itu dengan hati yang terbuka kerana akur dengan apa juga keputusan yang dibuat kepimpinan parti.
Beliau yang juga seorang peguam digantikan oleh Naib Ketua Pemuda Umno Sabah, Awang Kadin Tang yang difahamkan berkuatkuasa serta-merta.
Ramai pihak terutama kalangan Pemuda Umno Sabah terkejut dengan keputusan mengejut penggantian jawatan Ketua Pemuda Umno Sabah yang dibuat secara mendadak tanpa berbincang terlebih dahulu dengan ketua-ketua pemuda Umno di negeri ini.
Malah, satu kumpulan yang diketuai Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepanggar, Mohd Razali Razi menuntut kepimpinan Pemuda Umno Pusat memberi penjelasan berhubung dengan pemecatan Azman daripada jawatan Ketua Pemuda Umno Sabah.
"Jika tiada penjelasan yang boleh diterima, kami menyarankan supaya Azman diberi semula jawatan itu," tegas Razali.
Azman berkata, beliau telah berjumpa dengan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin mengenai pertukaran itu dan beliau (Khairy) sendiri akan membuat pengumuman berhubung perkembangan terbaru itu.
"Soal pelantikan dan pertukaran jawatan tersebut adalah bidang kuasa Ketua Pemuda Umno Malaysia dan sebagai orang setia dalam parti, saya akur dengan keputusan yang dibuat," katanya sambil menyatakan pendirian untuk memberi sokongan kepada Awang Kadin bagi menerajui kepimpinan Pemuda Umno Sabah.
Beliau berkata, apa yang penting tumpuan harus diberikan bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 dan menarik sokongan generasi muda untuk terus bersama kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda Umno Bahagian Keningau itu juga meminta rakan-rakan pemuda supaya terus memberi sokongan kepada kepimpinan baru Pemuda Umno Sabah.
Azman sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Felcra Plantation, sebuah syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah oleh menterinya, Datuk Shafie Apdal.