Khamis, 28 April 2011

SPEAKER PERJELAS KENYATAAN POLITIKNYA

MESRA...gandingan Musa-Salleh akhir-akhir ini dicemburui pihak tertentu menyebabkan timbul pelbagai spekulasi politik.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said berkata kenyataan politiknya yang disiarkan di media baru-baru ini dibuat atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah.

Katanya, beliau hanya menyatakan pendiriannya bagi mempertahankan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah yang juga Ketua Menteri yang cuba hendak dijatuhkan.

"Itulah pendirian saya atas kapasiti sebagai timbalan pengerusi dan saya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Tidak ada kesalahan dalam hal itu," katanya kepada wakil media di sini.


Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud memulakan tugas buat pertama kali sebagai Speaker DUN Sabah yang baru yang sebelum ini menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Bekas Ketua Menteri itu mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin yang menyatakan bahawa adalah tidak sesuai untuk Speaker membuat kenyataan politik dalam media.

Chin berkata, Salleh harus belajar dari Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan mengekalkan watak sebagai neutral.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, Salleh berkata, Umno Sabah mahukan Musa untuk terus memimpin Barisan Nasional (BN) Sabah selepas pilihan raya umum akan datang.


Katanya, beliau mewakili Umno Sabah dalam memberi sokongan kepada Musa untuk menerajui BN Sabah dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan